Khamis, 27 Ogos 2009

Umno jangan takut untuk bertindak ke atas Kumpulan 10 di Terengganu



Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

BUKAN main lega hati dan perasaan saya membaca Utusan Malaysia, Khamis 27 Ogos 2009 mengenai berita bertajuk ‘MB yakin kemelut selesai’.
Maklumlah, sejak sekian lama, saya hanya terdengar khabar yang tidak baik sahaja mengenai situasi politik Terengganu, yang memperlihatkan betapa ada wakil-wakil rakyat yang tidak tahu mengenang budi dan menjadi masalah kepada pentadbiran di Terengganu.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said yakin kemelut politik yang melanda kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu akan dapat diselesaikan segera.
Ahmad ketika memberi jaminan itu turut percaya akan mendapat sokongan majority daripada wakil rakyat BN negeri ini.
“Berdasarkan suasana politik sekarang, beliau menjelaskan, sokongan kepada pucuk pimpinan negeri semakin bertambah baik dan ia memberi petanda positif wakil rakyat BN mampu bertaut semula.
“Ia (hubungan) semakin baik. Sekarang datang (hadiri persidangan Dewan Undangan Negeri), dulu tak datang langsung.
“Dah bertambah baik dengan menyokong usul dan bila ada pengundian, mereka setuju,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri.
Ramai yang rasa di hari baik bulan baik ini, kesemua ADUN BN kembali bertaut. Maklumlah, pembangkang sentiasa mengharapkan BN berpecah bagi memudahkan mereka berkuasa di Terengganu tetapi di bawah kepimpinan Ahmad yang mesra rakyat, dipercayai BN akan kembali memerintah Terengganu dengan kemenangan lebih besar dalam PRU 13 akan datang.
Sebelum ini, terdapat 10 ADUN di Terengganu memboikot persidangan DUN. Tindakan ‘ganjil’ mereka ini tidak mendapat perhatian dari Lembaga Disiplin Umno mahu pun pucuk pimpinan BN di Kuala Lumpur. Cuma ada arahan mulut dari Perdana Menteri, meminta ke semua 10 ADUN yang ‘memboikot’ persidangan DUN Terengganu supaya hadirkan diri di hari kedua persidangan yang lalu.
Ketika tidak hadir persidangan tersebut, ada antara ADUN-ADUN ini mendakwa menerima SMS bernada ugutan dari Pejabat Menteri Besar kononnya nyawa mereka akan terancam dan menyebabkan mereka semuanya berkumpul di Hotel Residence Felda, Kuala Terengganu.
Namun, mereka tidak pula takut untuk keluar makan dan bersembang dengan kumpulan mereka, sebaliknya memilih untuk membuat aduan polis keesokkan harinya.
Ekoran dari aduan polis tersebut, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir ditangkap polis dan didakwa di mahkamah.
Tidak pula kedengaran ADUN-ADUN ini ‘memboikot’ Dr. Ahmad Ramzi sebaliknya salah seorang ADUN itu melalui blognya melahirkan rasa hairan bagaimana boleh keluar nombor telefon Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar di telefon genggamnya.
Dalam masa yang sama, seorang kerani syarikat swasta di Kuala Lumpur ditahan polis dan hasil siasatan, jelas kerani ini membenarkan komputernya digunakan seseorang untuk tujuan penghantaran SMS bernada ugutan tersebut.
Setakat ini, tiada pula kedengaran Umno akan mengambil tindakan terhadap Dr. Ahmad Ramzi walaupun dia sudah didakwa di mahkamah. Dr. Ahmad Ramzi adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Marang dan pernah bertanding kerusi Parlimen Marang dalam PRU 12 yang lalu atas tiket BN tetapi tewas kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Setakat hari ini, Lembaga Disiplin Umno hanya ‘bertugas’ jikalau ada pemilihan Umno dan kesalahan-kesalahan lain, Lembaga Disiplin Umno dilihat tidak berminat untuk membincangkannya.
Rakyat Terengganu selama ini mahu diberikan gambaran kononnya ‘kerja-kerja jahat’ hanya dilakukan oleh mereka yang menyokong Datuk Ahmad Said dan jika ada kerja-kerja baik, semuanya datang dari Kumpulan 10 yang terlibat memboikot persidangan DUN.
Bukan itu sahaja, Kumpulan 10 yang memboikot persidangan DUN ini juga menjelajah ke seluruh Terengganu dan menggunakan ‘kabel’ mereka di Kuala Lumpur untuk membuat fitnah dan memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Ahmad Said.
Kejayaan awal Kumpulan 10 ini ialah ‘menanggalkan’ jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dari Datuk Ahmad Said dan menyebabkan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melantik Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu.
Kumpualn 10 bersorak gembira dengan ‘keberanian’ Najib itu dan mereka (Kumpulan 10) membuat pelbagai desakan kepada Hishammuddin supaya melantik anggota Kumpulan 10 untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Negeri.
Namun, Hishammuddin yang didakwa sebagai teman rapat salah seorang anggota Kumpulan 10, tidak terpengaruh dengan kehendak kumpulan ini sebaliknya melantik mereka yang dilihat boleh bekerjasama dengan Menteri Besar memegang jawatan penting tersebut.
Bukan main sedih anggota Kumpulan 10. Ada yang menyambut kedatangan Hishammuddin ke Kuala Terengganu sebelum pengumuman perlantikan dibuat, enggan menghantar Hishammuddin pulang ke Kuala Lumpur apabila nama mereka tidak disenaraikan.
Secara perlahan-lahan, Hishammuddin khabarnya mahu melantik juga seorang dua dari anggota Kumpulan 10 untuk duduk dalam beberapa posisi penting (yang direka) bagi meredakan keadaan. Antaranya, sudah ada ADUN dari kawasan Parlimen Besut dilantik menjadi Penolong Setiausaha, satu jawatan yang tidak ada dalam Perlembagaan Umno.
Jika Najib menerima dan melayan karenah Kumpulan 10 ini, mendesak itu dan ini, suatu hari nanti, semua negeri-negeri lain yang dikuasai BN akan menghadapi masalah serupa. Jika mereka tidak dapat sesuatu, mereka akan buat kumpulan sendiri, boikot persidangan DUN dan ugut kepimpinan.
Budaya ini budaya ‘hamlau’. Jangan dilayan! Cukuplah dengan apa yang sudah mereka buat. Jika perlu, pecat mereka dari Umno. Jika Timbalan Presiden MCA boleh dikenakan tindakan pecat kerana salah laku, kenapa Kumpulan 10 yang memboikot persidangan DUN tidak boleh dikenakan tindakan serupa?
Takut kerajaan tumbang? Perbuatan Kumpulan 10 ini sebenarnya lebih merosakkan Umno dan BN untuk jangka masa panjang. Jika sesuatu berlaku kepada Umno dan BN dalam PRU 13 akan datang, tindak-tanduk manusia ibarat ‘gunting dalam lipatan’ inilah yang harus dipertanggungjawabkan!
Kenapa Kumpulan 10 ini melakukan semua ini? Hanya kerana mereka tidak puas hati dengan apa yang mereka minta tidak dipenuhi. Itu sahaja. Mereka tidak meletakkan kepentingan parti, agama, bangsa dan negeri Terengganu di hadapan kepentingan kumpulan mereka yang tamak dan haloba.
Mereka (Kumpulan 10) tentunya tidak suka dengan kata-kata ini kepada kumpulan mereka tetapi tahukah mereka, tindak-tanduk mereka itu melambangkan betapa ceteknya fikiran mereka? Mereka bekerja untuk kepuasan hati seseorang dan bukan untuk kepentingan yang lebih besar.
Apakah Najib Najib perlu mengekalkan orang-orang seperti ini menjadi ADUN dalam PRU 13 akan datang? Layakkah mereka ini kekal sebagai ahli Umno? Perlu apa mereka ini dibiarkan bercakap, bertindak dan melakukan ikut selera mereka? Apakah mereka terlalu kuat dan berkuasa?

1 ulasan:

C L J berkata...

Ada satu seruan yang selalu hamba sebar merata di seluruh tanah tanah melayu ini. Seruan itu bukan berasal dari diri hamba sendiri, Asal datangnya adalah dari lidah pena Tun Sri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Maka kini hamba menjadi pembawanya pula. Barangkali tetaplah hamba membawanya sampai bila2 atau sampai ada pula yang akan menyambut sambung untuk terus menerus bendung kemurnian semangat tersanjung ini. Pesan Tun Sei Lanang kepada Raja Melaka begini binyinya: "Anak Melayu itu, jika pun ia berbuat salah, janganlah engkau bunuh akan dia, selagi ia masih tetap Melayu melainkan jika dosanya derhaka." Seruan ini sesuai pun dengan hukum hudud. Maka tetap hamba bawa seruan ini sampai bila bila selagi hamba ini masih mampu jadi Melayu untuk terus hidup dan dan mempertahankan bumi ini untuk terus jadi bumi Melayu.