Khamis, 27 Ogos 2009

Orang Besut, Rosol dan Din…kena terima Qada’ dan Qadar Allah



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

JURUCAKAP Geng 10, Datuk Rosol Wahid menafikan mereka akan menyertai PKR dan dakwaan sebuah laman portal mengenainya dianggap sebagai tidak betul tetapi tidak pula ada apa-apa tindakan undang-undang mahu diambil terhadap laporan tersebut.
Rosol berkata laporan portal itu dibuat semata-mata untuk menjatuhkan imej Umno di samping sebagai provokasi supaya mereka menyertai PKR (lihat Kosmo! Khamis, 27 Ogos 2009).
Menurut Rosol, beliau bersama ADUN Umno yang lain tidak pernah pun berbincang mengenai perkara tersebut walaupun beliau mengakui masih wujud masalah dalaman dalam kalangan pemimpin parti itu di Terengganu.
Sebenarnya bukan setakat portal Malaysian Insider yang melaporkan desas-desus mengatakan Rosol memang ada bertemu dengan pemimpin umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kemaman, selepas pilihan raya kecil DUN Manek Urai, malahan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, turut mengulas mengenainya.
Setakat ini, Rosol memang dilihat menjadi ‘kepala’ kepada Geng 10 yang pernah memboikot Persidangan DUN Terengganu sebelum ini, dikatakan masih aktif mengadakan pelbagai pertemuan dengan ‘pihak Kuala Lumpur’ bertujuan mengganggu gugat kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Terengganu.
Tidak hairanlah Rosol mengesahkan ‘masih wujud masalah dalaman dalam kalangan pemimpin parti itu’ yang sekaligus rakyat boleh menghakimkan sendiri siapa Rosol sebenarnya di Terengganu sekarang.
Satu ketika, beliau melepaskan jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu apabila Idris Jusoh melepaskan jawatan pengerusi, tetapi dalam masa yang sama beliau menerima ‘perlantikan’ menjadi jurucakap kepada Geng 10, seolah-olah beliau masih menjadi ‘setiausaha’ kepada seorang ‘pengerusi’ satu kumpulan yang pernah memboikoit sidang DUN.
Rosol adalah bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu. Rosol adalah bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Rosol adalah bekas Exco Islam Hadhari Terengganu dan Rosol adalah ADUN Ajil.
Di Bahagian Hulu Terengganu, Rosol gagal mempertahankan kerusi timbalan ketua bahagian. Dia ditolak perwakilan cawangan-cawangan. Kenapa orang seperti ini masih diterima pakai cakap-cakapnya di Kuala Lumpur? Apa yang hebatnya Rosol di kacamata pemimpin besar Umno di Kuala Lumpur?
Baguslah kalau Rosol berikrar akan berdiri teguh dan menghormati kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tetapi dalam masa yang sama, jika beliau dengan kawan-kawannya masih menjadi ‘duri dalam daging’ kepada BN dan Umno di Negeri Terengganu, Rosol sebenarnya tidak faham Perlembagaan Umno dan tidak layak untuk ‘dilayan oleh Najib’ selaku Perdana Menteri.
Di peringkat negeri, Rosol ada ketua. Di peringkat Persekutuan, Rosol ada ketua. Di peringkat bahagian, Rosol ada ketua. Di peringkat cawangan, Rosol kena tahu siapa ketuanya. Susahlah kalau dia hanya ‘bertaukekan’ Kuala Lumpur sedangkan peranannya sebagai ADUN dan wakil rakyat DUN Ajil tidak dipikulnya secara bijaksana.
Jika ada portal berita dan akhbar melaporkan desas-desus mengatakan Geng 10 akan menyertai PKR, itu sebenarnya ada asas. Cuma, cita-cita PKR ini khabarnya tidak akan berjaya kerana Pas dikatakan ‘lebih mahu bekerjasama’ dengan Datuk Ahmad Said daripada ‘bekerjasama dengan kumpulan desprado’ ini.
Sejauh mana kebenaran dakwaan itu, tiada siapa yang dapat mengesahkan tetapi jika benar ada pertemuan antara anggota Geng 10 dengan Anwar, tanpa pengetahuan Perdana Menteri (PM, datuk Seri Najib Tun Razak, ini adalah perbuatan ‘pengkhianat’.
Alhamdulilah, apabila Rosol mengatakan “apa yang pasti, kita masih wakil rakyat BN (Barisan Nasional), itu tiada kompromi.”
Setakat hari ini, Geng 10 yang dilihat aktif memberitahu ‘masih wujud masalah dalaman’ tetapi di pihak yang menyokong kepimpinan Datuk Ahmad Said hanya berdiam diri. Apakah Geng 10 tidak segan kepada kumpulan yang lebih ramai dari mereka hanya kerana mereka merasakan ‘perasaan orang Besut’ perlu dijaga?
Sokonglah usaha baik yang Menteri Besar lakukan. Jika ada yang tidak sesuai, tegur. Tetapi bukan dengan menghebahkan kepada umum bahawa ‘masih wujud masalah dalaman’ kerana ketika ‘orang Besut’ menjadi Menteri Besar, sebenarnya semua ADUN berusaha sedaya upaya mempertahankannya tanpa ‘mendedahkan masih wujud masalah dalaman’ walaupun ramai yang tahu ‘ada bumbung yang akan runtuh, ada kolam renang yang akan bocor dan ada tamadun yang bakal dicipta’.
Menjadi pemimpin ini, kena ikut giliran. Bila sampai giliran kita sepatutnya menjadi penyokong, kenalah kita berubah dan bersedia menjadi penyokong.
Ingat, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, walaupun ramai yang resah gelisah dengan corak kepimpinan Tun Abdullah, tiada Ahli Parlimen yang memboikot Persidangan Parlimen hingga memberi gambaran Umno dan BN itu ‘masih wujud masalah dalaman’.
Ada cara untuk menyelesaikan masalah. Mustahil ‘orang Besut’ tidak tahu mengajar anak-anak buahnya yang ‘kononnya setia’ kepadanya bagaimana cara menyelesaikan masalah dalaman? Jika ‘orang Besut’ mahu melantik ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam menjadi jurucakap kepada Geng 10, silakan tetapi janganlah gunakan ‘lesen bercakap’ itu sampai orang tahu menilai diri kita, seorang ADUN cap ayam yang tidak tahu hemah dan adap ketika bercakap.
Apakah hanya Rosol, Din Adam dan ‘orang Besut’ sahaja sayangkan Umno Terengganu? Apakah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Datuk Nasir Ibrahim Fikri, Datuk Mohd Jidin Shafee tidak sayangkan Umno Terengganu?
Cuba ‘orang Besut’, Din Adam dan Rosol belajar dari tujuh ketua bahagian ini bagaimana cara berpolitik, bagaimana cara menyelesaikan masalah, belajar menerima hakikat, belajar cara berhemah kalau bercakap untuk membuktikan bahawa orang Umno dan BN Terengganu adalah ‘pasukan’ yang baik dan hebat.
Untuk apa mendedahkan pekong orang lain? Untuk apa menceritakan keburukan orang lain. Untuk apa mencaci orang lain. Untuk apa memfitnah orang lain sedangkan orang yang kita dedahkan pekongnya, kita ceritakan keburukannya, kita caci kepimpinannya dan kita fitnah itu adalah kawan, saudara dan pemimpin kita sendiri yang pernah kita hidup atas sokongannya?
Apakah Datuk Ahmad Said tidak pernah menjadi penyokong ‘orang Besut’ ketika ‘orang Besut’ menjadi Menteri Besar. Jadi, kenapa untuk kesekian kalinya, ‘orang Besut’ tidak mahu menjadi penyokong kepada Datuk Ahmad Said yang pernah ‘menyokongnya’ suatu ketika dahulu menjadi Menteri Besar?
Apakah Rosol tidak biasa duduk semeja dengan Datuk Ahmad Said ketika sama-sama menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam era ‘orang Besut’ menjadi Menteri Besar? Kalau sudah biasa, kenapa jadi masalah untuk bersama-sama Datuk Ahmad membangunkan Negeri Terengganu yang sibuk dengan cerita bumbung stadium runtuh, kolam renang bocor dan bumbung Lapangan Terbang berterbangan?
Begitu juga dengan Din Adam. Datuk Ahmad Said pernah menjadi Exco serentak dengan Din Adam menjadi Exco. Malahan, apabila Datuk Ahmad menjadi Menteri Besar, Din adalah orang yang terawal dihubungi untuk mempelawa Din kembali memegang jawatan Exco Belia dan Sukan, bagi menjayakan SUKMA ketika itu. Namun, secara biadap, melalui orang lain, Din menolak tawaran tersebut.
Jika ‘orang Besut’ sedar dia pernah mendapat sokongan dari Datuk Ahmad Said ketika dia menjadi Menteri Besar, kalau Rosol dan Din ada ingatan dan kesedaran bahawa mereka pernah bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Datuk Ahmad, kenapa tiba-tiba, demi menjaga perasaan ‘seorang individu’ mereka sanggup menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Umno dan BN di Terengganu?
Cuma, satu saya ingin mengingatkan Rosol dan Din, mereka baru dalam politik Terengganu jika dibandingkan dengan pengalaman dan penglibatan Datuk Ahmad Said. Rosol dan Din baru sepenggal menjadi Exco Kerajaan Negeri tetapi Datuk Ahmad sudah menjadi Exco sejak zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lagi.
Janganlah lupa sejarah dan faktor ini. Tidak salahlah apabila Tuanku Sultan Terengganu memperkenankan perlantikan Datuk Ahmad menjadi Menteri Besar kerana Tuanku Sultan pastinya mempunyai penelitian mendalam mengenainya.
Orang Besut yang mengenepikan Datuk Rosli Mat Hassan, Datuk Rahman Bakar, Datuk Wan Ahmad farid Wan Salleh dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang dari bertanding dalam pilihan raya, lantas meletakkan Mohd Jidin dan Nasir Ibrahim Fikri bertanding di Parlimen, wajib menerima qada’ dan qadar Allah SWT apabila dia ghairah ‘membuang’ orang, tiba-tiba ada kuasa yang lebih ‘besar’ membuangnya dari kerusi Menteri Besar.
Mustahil Rosol dan Din tidak belajar Rukun Iman yang ke 6, percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah!

1 ulasan:

Che Leh Jangok berkata...

Walau apa pun kesimpulan kita, biarlah hendaknya tindakan yang diambil itu akhirnya berdasar kepada selera pengundi umum. Janganlah sekali kali kita terperangkap dalam ciri ciri assobiah dan membuat kesimpulah berdasarkan pilihan orang pilihan. Kalau benar sudah benar ikhlas kesimpulah yang kita buat maka putuskanlah bagaimana pun. Kemasukan dalam akaun di Bank Pusat tetap akan positif.
Yang hamba bimbang ialah kita ini tidak dapat lepas dari sifat biasa kita yang selalu salah tala dan silap tuju. Berselisih sesama sendiri sampai bergolok bergadai. Walhal ketika menghadapi lawan kita leka leka menunggu nunggu pembiayaan dari kayangan.
Soalnya kini; siapa sebenarnya musuh dan siapa sebenarnya kawan yang sedang kita taburkan isu isu yang keemasan menjadi emas ini.