Rabu, 26 Ogos 2009

Kalau Rohaizat orang PKR ok, tetapi tanding guna tiket BN, jadi masalah



Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

BARISAN Nasional (BN) harus menerima keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, 25 Ogos 2009, dengan kemenangan menyebelahi Pas, Mohd Salleh Man, yang sudah enam kali kalah pilihan raya dengan majoriti 4,551.

Ketika komplen dari Pergerakan Pemuda Umno terdapat pengundi hantu yang menyokong Pas berjumlah lebih 3,000 tidak diterima, Pas tentunya meraikan kemenangan dalam bulan Ramadan ini dengan kata-kata kekuatan mereka semakin menyerlah dan mereka akan menang besar nanti apabila tiba PRU 13.

Mohd Salleh mendapat 9,618 undi, Rohaizat Othman hanya mendapat 5,067 dan terdapat 83 undi rosak. Peratusan keluar mengundi rendah tetapi BN harus belajar dari keputusan ini supaya jangan memilih calon muda, asalkan dia muda tetapi banyak masalah peribadi yang melilit dirinya.

Ketika semua penyokong BN tidak mahu orang lama dipilih, kononnya bimbang banyak isu yang akan mengejar calon BN itu, hakikatnya tidak semestinya yang muda itu baik dan yang lama itu kurang baik. Kenapa ya, BN tidak menamakan Datuk Ahmad Saad sebagai calon BN?

Apakah dosa Ahmad Saad ketika dia digugurkan dari jawatan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh dahulu? Malangnya, dalam Umno, seseorang yang sudah jatuh, bukan mahu dibela malahan, kalau boleh mahu dipijak-pijak lagi.

Tidak ada peluang kedua buat Ahmad Saad yang sudah terbukti pernah menjadi ADUN di Permatang Pasir dan kemudiannya dipindahkan ke Penanti.

Dalam Umno, seseorang yang hendak menjadi calon tidak boleh kalau lesen guamannya ditarik oleh Majlis Peguam. Dalam Umno, jika seseorang itu ingin menjadi calon, berkahwin dua tidak boleh diberikan peluang menjadi calon. Berbeza dengan PKR, walaupun mereka berbogel, mereka masih boleh dipertahankan dan masih boleh kekal menjadi Exco.

Dalam PKR, seseorang yang berhutang sampai RM66 juta, masih boleh terus menjadi Menteri Besar. Dalam PKR, tidak salah jika ada isteri seseorang yang didakwa ada skandal dengan pemimpin besar mereka. Namun dalam Umno, segala-galanya tidak boleh.

Malahan, Pas sanggup menjadikan isu berkahwin dua Rohaizat Othman sebagai isu penting untuk merosakkan peribadinya. Malangnya Rohaizat yang terlalu muda, melatah dan menafikan hingga menyebabkan ada seorang lelaki yang mengaku menjadi wali kepada pernikahan kedua Rohaizat mencabar Rohaizat untuk membuat penjelasan.

Dalam bahasa mudah, Umno Permatang Pauh tidak berfungsi sebenarnya. Setakat ini hanya DUN Seberang Jaya sahaja yang masih kekal di tangan BN. Kalau pemimpin bahagian Permatang Pauh bersikap terbuka, ambillah semua bekas-bekas pemimpin yang Umno bahagian untuk duduk sekali dalam kepimpinan bagi mengembalikan kegemilangan Umno di kawasan itu.

Jika perlu, carilah jalan untuk memindahkan pengundi ke kawasan lain dan melupakan sama sekali Permatang Pauh kerana ‘kawasan Pas’ boleh mempunyai sekitar 3,000 pengundi hantu, bagaimana kawasan Umno dan BN, ia tidak berlaku?

Sesiapa sahaja selepas ini, jadikanlah pengalaman Rohaizat sebagai ‘sempadan’. Jika kita tidak layak untuk dipilih sebagai calon, tolaklah dengan berhemah dan jangan menerima tawaran kerana glamour. Kekalahan Rohaizat boleh dilupakan begtu sahaja kerana DUN Permatang Pasir memang kubu Pas tetapi meletakkan Rohaizat lebih membebankan BN.

Tempoh berkempen yang singkat, banyak dihabiskan dengan mempertahankan keperibadian Rohaizat. Apalah salah jika BN meletakkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh sebagai calon, melihat kepada pengalaman meletakkan Pemuda di Manek Urai, hampir-hampir memberi kemenangan kepada BN.

Dalam postmortem yang bakal diadakan BN, ambil kiralah semua hujah ini kerana BN boleh menang menentang Pas jika kena calonnya dan tidak banyak masalah yang melilit tubuh badan calon yang dipilih BN.

Lebih malang, jika Rohaizat tidak berterus-terang dengan PM dan TPM mengenai masalah yang dia tanggung dan membiarkan BN memikul beban yang dia buat.

2 ulasan:

PUTRA MERDEKA berkata...

salam,
yang susah kalau laporan risikan tidak dipakai,
atau jentera risikan yang semakin lemah, pemimpin meletak calon bukan bersandar dari wajah parti malah wajah-wajah yang mereka 'sukai' itu yang parah!

terasarindu berkata...

sememangnya, parah.