Oleh Ujang Saiful Bahri
BETUL Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid menafikan dia akan melompat ke PKR, seperti dakwaan sebuah portal berita mengenai pertemuan secara sembunyi-sembunyi Geng 10 dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi, tabloid Siasah keluaran 31 Ogos-5 September 2009 sudah menjadikannya ‘spekulasi’.
Ketika Rosol mengakui tiada kompromi mengenai Geng 10 akan kekal dalam Umno, tindak-tanduk mereka tidak menunjukkan mereka setia kepada parti, khususnya di peringkat negeri.
Sama ada dia sedar atau tidak, tingkah lakunya, termasuk hanya berdiam diri ketika persidangan DUN berlangsung walaupun menghadirkan diri, seolah-olah mereka (baca: Geng 10) mempunyai strategi sendiri untuk merosakkan Umno.
Memetik kata-kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, sepatutnya semua ADUN memainkan peranan aktif untuk sama-sama menyuarakan sebarang masalah ketika persidangan DUN kerana persidangan DUN hanya sekali setahun.
Jika mereka tidak hadir, mereka tidak rugi apa-apa melainkan rakyat yang mereka wakili ‘mengalami kerugian’ kerana mempunyai wakil rakyat yang ‘kaki ponteng’ persidangan.
Apabila diarahkan untuk hadir oleh Perdana Menteri, mereka hadir dalam keadaan terpaksa dan mengunci mulut masing-masing daripada menyuarakan kehendak rakyat yang mereka wakili juga tidak merugikan apa-apa kepada ADUN yang mendapat gaji dan elaun kehadiran ini, tetapi pengundi-pengundi mereka ‘terus mengalami kerugian’ kerana memilih mereka mewakili rakyat.
Hari ini, tabloid yang dikenali mirip Pas sudah meramalkan Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu akan menjadi Menteri Besar jika benar Geng 10 (kini dikatakan sudah menjadi Geng 12) akan bekerjasama dengan Pas untuk menumbangkan kerajaan negeri dan menukar Menteri Besar.
Namun, dengan penafian Rosol dan kemudiannya diikuti penafian ‘sifu’ kepada Geng 10, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa mereka akan terus kekal di dalam Umno, desas-desus itu mungkin tidak menjadi kenyataan.
Namun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata di Terengganu, semua ahli-ahli parti (Pas) diminta bersiap sedia kemungkin ada pilihan raya semula DUN Terengganu dalam masa terdekat.
Jika Rosol faham mesej ini, segala-galanya timbul kerana tingkah laku mereka yang tidak habis-habis mencari jalan ‘mahu membantah’ keputusan Sultan Terengganu yang memperkenankan perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.
Dakwaan berita tabloid yang mengatakan Datuk Ahmad mengenepikan semua penyokong Idris Jusoh dari menduduki kerusi Exco dan jawatan-jawatan penting adalah satu pembohongan nyata kerana satu sumber yang mengaku rapat dengan Datuk Ahmad memberitahu, Datuk Din Adam yang merupakan ADUN Bukit Besi yang merupakan penyokong ‘nombor wahid’ kepada Idris ditawarkan untuk dilantik semula menjadi Exco Belia dan Sukan tetapi menolaknya dengan cara ‘kurang beradap’.
“Dia (Din) yang menolak. Bukan mahu ketepikan sesiapa,” kata seorang Setiausaha Umno bahagian yang tahu kisah Din menolak tawaran dari Datuk Ahmad.
Walau bagaimana pun, Datuk Ahmad memang tidak menyerahkan nama Rosol sebagai salah seorang Exconya kerana beliau bimbang istana tidak dapat menerima Rosol yang dikatakan terlalu kuat mengoncang pagar Istana ketika hari mengangkat sumpah dibatalkan.
Dakwaan mengatakan ‘semua orang Idris diketepikan’ juga dianggap fitnah oleh seorang ketua Pemuda bahagian yang mendakwa semua ADUN di Terengganu kali ini adalah kalangan penyokong Idris termasuk Datuk Ahmad Said kerana dialah yang memilih dan menyokong nama-nama ini diletakkan bertanding di peringkat DUN kepada Perdana Menteri.
“Tiada seorang pun orang Datuk Ahmad,” kata ketua Pemuda ini sambil menambah, “tetapi rezeki Idris tidak ada, nak buat macam mana.”
Sepatutnya semua mereka ini adalah orang Umno dan tidak timbul soal orang Idris Jusoh atau orang Datuk Ahmad Said, tekan ketua Pemuda Umno bahagian ini.
Jumaat, 28 Ogos 2009
Betul ke Ustaz Harun bakal MB Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan