Khamis, 13 Ogos 2009

Kisah Abdul Mubin ‘makan kawan’ hanya kerana tak dapat jadi Pegawai Khas


Oleh Wan Yusof Haji Wan Ngah


MEMBACA tulisan blogger ‘gembala lembu’ terkemuka Terengganu, Abdul Mubin Ismail dalam blognya http://jaranganakmelayu.blogspot.com atau ‘JAM’ baru-baru ini, terpanggil saya untuk menjawab beberapa perkara yang saya rasa perlu dipertahankan supaya kekeliruan tidak terus dibenarkan menjadi keutamaan kepada blogger ini.
Di Malaysia, orang luar Terengganu sering menganggap orang Terengganu jenis manusia suka makan kawan. Ketika orang lain makan berkawan, orang Terengganu kekal dengan gelaran ‘makan kawan’.

Menyebut pasal makan kawan, blogger bernama Abdul Mubin Ismail (spesis ini hampir pupus) ini adalah contoh paling ketara. Dia menulis ikut suka hatinya dan tidak langsung ada rasa tanggungjawab terhadap rakyat, negeri dan parti – yang suatu ketika dahulu dia sendiri dapat makan dan membesarkan tomboloknya dengan bekerja kepada seorang ‘pemimpin Umno’ di pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu.
Sebagai ‘lembu yang dikenyangkan’ dengan Umno, ketika mulutnya disuapkan dengan ‘nasi Umno’ dia menggigit Umno dan tanpa dia sedari, dia menjadi penghasut kepada rakyat Terengganu supaya sangsi kepada institusi Menteri Besar yang diterajui pemimpin Umno.

Dalam tulisan saya ini, ingin saya siarkan semula tulisan Abdul Mubin dengan harapan pembaca semua boleh menilaikannya dan saya juga memetik artikel seumpamanya yang tersiar dalam Sinar Harian, yang sesetengah pembaca menganggapnya sebagai ‘media cap ayam’.

Percayalah, Menteri Besar Terengganu yang ada hari ini bukan naik kerana memijak kepada YB Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau naik kerana rezekinya di situ. Maka, ketika kenaikkan Idris Jusoh memerlukan sokongan semua pihak, kenapa kenaikkan Yang Amat Berhormat Datuk Ahmad Said perlu dicaci dan dihina dengan begini rupa – oleh anak-anak Terengganu sendiri? Spesis apakah mereka ini?


Dunia mungkin membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tanpa batasan menghancurkan. Dunia mungkin tidak menghalang sesiapa berbogel ketika bersendirian di rumah tetapi apabila ada gambar Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebar dalam internet adakah ‘kebebasan itu’ sesuatu yang bernilai?


Abdul Mubin sebagai blogger mungkin ‘menuntut’ haknya menjadi blogging bebas tetapi kebebasan yang disalah gunakan memang tidak harus dibiarkan melainkan ‘gembala lembu’ ini diserang semula supaya rakyat yang pernah membaca tulisannya mempunyai fikiran kedua untuk mempertimbangkan kandungan tulisannya.


Atas nama kebebasan ini, saya sebagai anak Terengganu tidak mahu dikenali sebagai ‘orang Terengganu suka makan kawan’ tampil mempertikaikan tulisan Abdul Mubin ini dan serentak dengan itu, mengajak penulis dari media cap ayam supaya berbahas (polemik) dengan hujah, mengapa (jika tidak bersebab) mereka menyerang YAB Datuk Ahmad Said?

Apakah tidak ada seorang pun penyokong dan pengikut Datuk Ahmad Said yang terasa hati dengan ‘serangan tidak beretika ini’? Apakah mereka menulis kerana mereka merasakan penulis ini tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan? Apakah mereka (penulis termasuk blogger) tidak dipersoalkan di akhirat kelak dengan apa yang mereka tulis?

Dalam tulisan Abdul Mubin dalam http://jaranganakmelayu.blogspot.com yang bertajuk YANG TAK TERKATA TAPI TERTULIS Abdul Mubin menulis;
Membaca Sinar Harian, Sabtu 8 Ogos 2009, halaman N18, tajuk : “Apa kalutnya politik Terengganu?” berbaur pelbagai rasa menyelubungi diri. Cuma yang paling nyata timbul rasa fikir – “kenapalah tak suka kepada Mat Said tu… kesihan dia, kesihan dia…” (ulang beberapa kali seperti lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad).

Telah beberapa kali disebutkan dalam blog JAM ini, MB Mat Said tidak ‘seburuk dan selemah’ seperti yang digembar-gemburkan oleh ‘musuh-musuh politik’ beliau. MB Mat Said orang yang bagussssss….. hebatttttt…. cemerlanggggg…..

JAM tidak berhasrat untuk memberi respon terhadap semua perkara yang dibangkitkan dalam rencana berkenaan, cuma nak sentuh beberapa perkara saja :

(1) Tak baik mengatakan MB Mat Said orang yang mempunyai psikologi yang tidak stabil semata-mata kerana dia mencabar ADUN PAS bergaduh di luar dewan. MB Mat Said bukan ‘mencabar untuk bergaduh’ tetapi hanya sekadar ‘mengajak’ Wahid Endut (Adun PAS Wakaf Mempelam) bergomol di luar dewan saja. Selain itu tak ada lagi… Yang sebelum itu, masa awal-awal jadi ADUN dan dilantik sebagai YDP MDK, beliau hanya sepak terajang bakul sayur penjaja sayur di pasar Kemaman. Bukan sepak terajang orang. Itu bukan bergaduh. Bergaduh antara orang dengan orang, bukan orang dengan bakul.

Kenapa dengan mengajak bergaduh dianggap sebagai psikologi tidak stabil? Pernahkah penulis-penulis ini melihat dan membaca laporan ada seorang Menteri Besar yang menunjukkan signal lucah kepada penyokong pembangkang – kesan provokasi penyokong pembangkang dan akhirnya foto signal lucah itu digunakan pembangkang untuk ‘dis kredit’ Menteri Besar tersebut?
Apakah seseorang yang diprovokasi tidak wajar untuk mempertahankan diri dan membalas balik provokasi dari provokater tersebut hanya kerana mahu menghormati Abdul Mubin dan penulis dari akhbar cap ayam?
Dakwaan mengenai Datuk Ahmad Said ketika menjadi ADUN dan dilantik menjadi YDP MDK, beliau dikatakan menyepak bakul sayur penjaja sayur di Pasar Kemaman diungkit dengan tujuan mahu melonggokkan semua kelemahan Datuk Ahmad Said bagi melengkapkan suatu tulisan dengan tujuan merosakkan institusi Menteri Besar itu.
Datuk Ahmad bukan malaikat. Saya sendiri tidak berhasrat mempertahankannya jika beliau melakukan kesalahan. Tetapi menghina beliau hanya kerana beliau tidak melantik Datuk Din Adam sebagai salah seorang Exco hingga menyebabkan Abdul Mubin tidak dapat kembali menjadi ‘pegawai khasnya’ (kalau di Selangor dipanggil Setiausaha Politik seperti jawatan Teoh Beng Hock yang terbunuh cara mengejut), menyebabkan Datuk Ahmad dijadikan sasaran bersiri kecaman melalui blog peribadinya, amat tidak wajar.
Menurut cerita mereka yang rapat dengan Datuk Ahmad, tawaran pernah dibuat kepada Datuk Din Adam, yang juga ADUN Bukit Besi supaya kembali menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu, sebaik sahaja Datuk Ahmad disahkan sebagai Menteri Besar.
Datuk Ahmad dikatakan menelefon sendiri Din tetapi Din meminta masa untuk menimbangkan tawaran tersebut dan akhirnya, menolak tawaran itu melalui orang lain (tidak dijawab terus kepada Datuk Ahmad Said) kerana khabarnya Din memerlukan ‘endorse’ dari bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Kalau kerana tidak dapat jadi pegawai khas Exco, menyebabkan ‘sigembala lembu’ ini marah-marah berpanjangan, hingga terus menerus menghina institusi Menteri Besar, sepatutnya pembaca dan rakyat Terengganu bolehlah mendesak bekas Pegawai Khas kepada Exco Belia dan Sukan ini, berjumpa doktor pakar psikologi, memeriksa tahap kestabilan psikologinya!
Ketika dia bersedia menerima rawatan itu, ramai-ramai anak Terengganu yang tentunya mengharapkan sentuhan Datuk Ahmad Said menjadikan 1Terengganu, pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan’ menyanyikan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, …kesihan dia, kesihan dia,kesihan dia…..yang liriknya ditulis Penyair ternama Allahyarham JM Aziz untuk ditujukan kepada Abdul Mubin sigembala lembu.



(2) Jangan memperlekehkan MB Mat Said sebagai ‘lemah penguasaan bahasa Inggerisnya’. Mana ada lemah, MB Mat Said hanya ‘langsung tak reti’ bahasa Inggeris je… dia sekolah kampung, kesihanlah kepada MB kita nin. Itu pun baca teks ucapan dalam bahasa Inggeris masa perasmian FEI-WEC 2008 dulu tu, molek bedo’oh (molek benar) dah tu… Sampai ada yang menyaksikan siaran langsung di TV, menyangka siaran TV yang sedang disaksikan oleh mereka adalah siaran TV BBC atau siaran TV Amerika. Mereka tak percaya demikian hebatnya MB Terengganu ‘mengeja dan membaca’ teks ucapan Bahasa Inggeris yang disediakan.

Menghina dan memperlekehkan kemampuan YAB Datuk Ahmad Said yang dikatakan tidak tahu berbahasa Inggeris juga menunjukkan ada satu usaha dibuat oleh mereka ini (termasuk Geng 10 yang sudah tinggal Geng enam) untuk menghimpunkan Menteri Besar supaya beliau terus dilihat sebagai seorang yang tidak layak duduk di kerusi nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Apakah penulis dan wartawan dari media cap ayam dan blogger seperti Abdul Mubin pernah mendengar Menteri Besar sebuah negeri yang berjiran dengan negeri Terengganu bercakap dan berucap dalam bahasa Inggeris?
Kenapa ketidakbolehan Menteri Besar itu tidak dibandingkan dengan Menteri Besar sebelumnya? Inilah masalah kita sebagai penulis. Jiwa kita kotor. Kerja kita hanya mahu mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Kita tidak pernah nampak betapa kita juga penuh dengan kesalahan dan kelemahan.Kita kononnya mahu ‘mendabik dada’ seolah-olah, kitalah yang terhebat di dunia ini, kerana kita boleh menulis, boleh menjatuhkan air muka orang lain dan boleh memalukan orang lain melalui blog dan surat khabar.
Kita lupa, penguasaan bahasa Inggeris kita juga amat memalukan. Suatu ketika dahulu, seorang bekas Timbalan Menteri yang juga merupakan seorang penulis tersohor pernah menulis mengenai kelemahan penguasaan bahasa Inggeris Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin jika dibandingkan dengan penguasaan bahasa Inggeris Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penulis tersebut, yang sudah kehilangan kehormatan memilih untuk ‘berbalah’ dengan semua orang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak mengekalkan kedudukannya di sebuah syarikat media tersohor di negara ini.
Apabila pemimpin-pemimpin tidak menghormati penulis, janganlah penulis berkecil hati kerana angkara seorang berdua penulis cap ayam yang ada, menjadikan dunia penulisan penuh dengan kecemaran dan kejijikan.
Mereka ingat, lesen menjadi penulis, boleh mendedahkan aib orang lain tetapi mereka terlupa bahawa suatu ketika nanti aib mereka pula didedahkan orang lain. Minta dijauhkan Allah dari segala kejian ini.
Saya tidak percaya Menteri Besar Terengganu tidak tahu berbahasa Inggeris kerana beliau adalah graduan dari sebuah universiti tempatan yang turut melahirkan ramai professional di Negara ini. Saya juga percaya penulis dan blogger yang menghentam Menteri Besar sendiri, sama seperti ADUN Paka, Zakaria Abdullah yang tidak sempat menjejakkan kaki ke universiti.
Sebenarnya tidak ada hinanya seseorang yang tidak berjaya belajar hingga ke menara gading kerana ‘rezeki’ di tangan Allah. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pun bukan graduan dari mana-mana universiti dalam atau luar negara, tetapi terbukti mereka jauh lebih berjaya dari wartawan dan blogger cap ayam.


(3) MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut)? Hissss… jangan kata macam tu. MB Mat Said nin kang orang yang amat patriotisme kepada kekampungan dan ke-Terengganuan. Cakap beliau tu bukan membur, tapi cara kekampungan dan ke-Kijalan. Mesra rakyat kanggg…. MB Mat Said bukan tak reti nak cakap bahasa baku, tapi memang pelat begitu. MB nin kang orang yang tak menyombong, suka rendah diri, ‘low profile’. Sekali sekala ‘membur’ tu nak buat macam mana. Terlepas cakap dan tak disengajakan lah tu. Tapi dalam membur-membur gitu, cakapnya penuh dengan visi dan misi. Buktinya, baru setahun lebih jadi MB, macam-macam ‘cakap membur’ dah diucapkannya. Pembangunan dan membangunkan rakyat tak penting, yang penting mesti bercakap. Tak buat dan tak laksana tak apa, asal cakap. Membur ke, 'kembur' ke, rakyat Terengganu bukan tahu semua tu. Mereka sudah boleh ditutup mata dan mulut dengan dana hari raya, dana remaja dan macam-macam dana lagi.

Apa kena mengena dengan bahasa pertuturan untuk melayakkan seseorang menjadi Menteri Besar? Salah kalau beliau bercakap dalam bahasa tempatan dan loghat Terengganu? Kenapa dengan penulis ini? Sampaikan bahasa pertuturan pun dijadikan bahan-bahan untuk menebalkan ‘kertas kerjanya’ untuk menghina institusi Menteri Besar Terengganu.
Ada juga Menteri Besar (bukan dari kalangan Umno- BN) yang bercakap dalam loghat Kelantan. Tidak pula menjadi bahan kajian kepada penulis dan wartawan cap ayam ini. Menteri Besar yang bercakap dalam loghat Kelantan boleh bertahan empat penggal menjadi Menteri Besar tidak menjadi bahan cacian Abdul Mubin tetapi Datuk Ahmad Said yang baru menjadi Menteri Besar Terengganu, dihina hanya kerana tidak tahu berbahasa baku, yang KPI nya Abdul Mubin tentukan, barangkali!
Sepatutnya Abdul Mubin yang pernah bekerja sebagai pegawai khas kepada Din Adam belajar bahasa Inggeris dari Din yang khabarnya lulusan universiti terkemuka dunia (dunia nyata bukan kerajaan atas langit).
Khabarnya, Abdul Mubin pun mempunyai ramai kawan-kawan yang lulusan universiti tetapi kehidupan mereka teruk dan menjadi ‘peminta sedekah’ terhormat kepada orang-orang politik.
Tak kan tak tahu kot!

(4) DS Najib dan DS Hishamuddin? Alaaaa… mereka ni bukan orang Terengganu. Peduli apa dengan orang Terengganu. Yang penting, mereka dah berkuasa. Yang lagi penting bagi mereka, mereka perlukan sokongan orang UMNO Terengganu untuk memastikan mereka mendapat kuasa dan kedudukan. Sekarang dah dapat. Buat apa nak bersusah payah memikirkan soal rakyat Terengganu lagi. Rakyat Terengganu? Mampus dia lah… Lagi pun, batu, diulang : batu (kalau ada), perlu ditekup. Kalau tak tekup batu, nanti tergugat pula kuasa, kedudukan dan kepentingan.
Keinginan Abdul Mubin menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai bukan orang Terengganu dan ‘pergi mampuslah orang Terengganu’ adalah kemuncak kepada keburukan hati dan jiwa manusia blogger ini.
Saya tidak berhasrat mempertahankan Datuk Seri Najib dalam tulisan saya ini kerana saya yakin rakyat Terengganu tidak ‘sebusuk’ Abdul Mubin dan ‘gembalanya’ kononnya Perdana Menteri hanya mahukan undi sahaja dari Terengganu tetapi nasib rakyat Terengganu tidak pernah diperdulikan.

Jika ada statistik dari Abdul Mubin siblogger busuk ini yang mengatakan Datuk Seri Najib tidak memperdulikan rakyat Terengganu, saya mahu melihatnya tetapi sekadar mahu melepaskan perasaan kecewa tidak menjadi pegawai khas kepada Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu, biarkanlah dia ‘menjerit sampai ke subuh’.
Begitu juga dengan kemarahannya terhadap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga bukan orang Terengganu. Dulu, ketika Datuk Ahmad Said menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, sigembala Abdul Mubin ke hulu ke hilir merosakkan imej Datuk Ahmad Said hingga Kuala Lumpur menggantikannya dengan Hishammuddin.
Bila Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno tidak melantik salah seorang dari ‘gembala Abdul Mubin’ menjadi orang penting dalam Badan Perhubungan Umno Terengganu, Abdul Mubin sanggup menggunakan ayat …mampus dialah! Spesis apalah Abdul Mubin ‘anak lelaki’
Ismail ini?
Datuk Seri Najib adalah anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak. Datuk Seri Hishammuddin adalah anak kepada Allahyarham Tun Hussein Onn. Bahasa mereka bahasa indah. Bahasa mereka penuh dengan berbudi bahasa. Mereka bukan penulis cap ayam dan bukan blogger jenis spesis Abdul Mubin yang kerjanya paling tinggi menjadi pegawai khas kepada Datuk Din Adam yang merupakan bekas juruteknik rendah dan akhirnya menjadi Exco Belia dan Sukan.
Dalam era Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Datuk Ahmad Shaberry Cheek dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan. Datuk Seri Idris Jusoh dilantik menjadi Pengerusi MARA. Dulu, Allahyarham Datuk Razali Ismail dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Abdullah Md Zin pernah dilantik menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Tidak betullah kalau ada dakwaan mengatakan Datuk Seri Najib hanya memerlukan sokongan dari Terengganu untuk dapat kuasa dan kedudukan.
Tidak benar tuduhan tu dan Abdul Mubin sebenarnya ‘terlajak’ kerana terlalu mahu menjaga hati dan perasaan sigembalanya.

(5) Yang Sinar Harian menyiarkan rencana panjang lebar sebegitu, apa halnya? Ini sudah tentu yang ‘mengupah’ wartawan/penulis berkenaan adalah Deris Jusoh and the geng atau Deris Jusoh sendiri. Kalau tak pun, geng 10 budak hitam yang kecewa dan derhaka tu. Atau ada gembala lembu yang beri makan lembunya di tangan? Deris Jusoh pun satu hal, kalaupun nak ‘mengupah’ orang menulis, janganlah bagi tulis puji-puji Deris Jusoh pula dalam tulisan tu. Buat macam tu, nampak sangat tembelangnya. Bukan apa, boleh jadi modal lembu-lembu peliharaan untuk meragut rumput umpanan tu. Tak percaya? Sama-samalah tunggu.

Biarlah akhbar atau media cap ayam mahu menulis atau memuji Datuk Seri Idris Jusoh kerana itu penilaian mereka. Yang menjadi persoalan, mengapa Abdul Mubin perlu memanjangkan lagi mesej yang hendak disampaikan media ini melalui blognya? Apakah kerana ‘seronok meragut rumput-rumput’ umpanan yang terhidang?
Jika media mahu menulis kehebatan Idris, silakan. Tetapi jangan pula ‘lupa rumput di bumi’ kerana yang terlalu hebat juga sudah runtuh. Ada yang sudah bocor dan ada bumbung Lapangan Terbang-berterbangan.
Memang betul dalam zaman Idris menjadi Menteri Besar, stadium dibangunkan tetapi di zaman Datuk Ahmad, bumbung stadium runtuh. Itu fakta tepat tetapi janganlah kerana memuji Idris yang membangunkan stadium, kolam renang dan memperbesarkan lapangan terbang, semua kerosakkan mahu dibebankan di bahu Menteri Besar sekarang.
Nasib baiklah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri mengilhamkan KLCC, Menara Kuala Lumpur, KLIA, Putrajaya dan sebagainya tidak menerima nasib serupa dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak walaupun beliau sudah bersara.
Untungnya Nik Aziz Nik Mat di Kelantan, beliau tidak membina pusat aquatic yang bertaraf dunia dan kontraktornya dari Korea atau mana-mana negara yang terkagumkan.
Din Adam tak kenal ke kontraktor ni? Datuk Rosol Wahid tak tahu apa-apa ke soal perlantikan kontraktor ini? Datuk Wan Hisham Wan Salleh jangan pula kata dia tak perasan pun siapa kontraktor yang dipilih.
Tapi, Dr. Mahathir tidak perlu risau jika ada media cap ayam dan blogger bergembala bernama Abdul Mubin kerana jika berlaku apa-apa bencana kepada bangunan-bangunan ini (minta dijauhkan), penulis dan blogger ini akan menyalahkan Perdana Menteri yang ada kerana runtuh atau tercabut bumbungnya di zaman orang lain.

(Di bawah ini adalah petikan rencana yang tersiar dalam Sinar Harian yang dimaksudkan- Redaksi)

Apa-apa pun, diperturunkan sepenuhnya rencana menarik berkenaan untuk tatapan kita bersama, terutama kepada yang terlepas membeli dan membelek akhbar Sinar Harian kelmarin.

Apa kalutnya politik Terengganu?

(Sumber : Sinar Harian, 8 Ogos 2009 (Sabtu), halaman N18)

Dengan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tafsiran yang paling tepat mengenai politik Terengganu sekarang ialah kian kalut dan seolah-olahnya tidak dapat dibendung lagi. Dari satu segi, kekalutan ini agak luar jangkaan kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008, negeri ini masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga. Sedangkan beberapa negeri lain, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Kelantan pula kekal seadanya. Dari satu segi yang lain, kekalutan ini memang tidak memeranjatkan kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang banyak mencetuskan persoalan berbanding dengan penyelesaian.

Seperti yang diketahui umum, Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh atas perkenan istana. Tanpa mempersoalkan kewajaran dan kerasionalan istana memperkenankan lantikan itu, yang jelas Ahmad Said tidak mendapat sokongan kebanyakan ADUN dalam BN, malahan juga tidak memperoleh sokongan rakyat di negeri itu. Sejak awal pelantikan sebagai Menteri Besar, personaliti beliau sering menjadi bahan persendaan orang Terengganu yang kuat dengan semangat kedaerahan.

Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.

Satu demi satu malang menimpa negeri yang mempunyai sumber minyak: gagal mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu, keruntuhan bumbung stadium, penangkapan seorang ahli UMNO kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan, dan penyiasatan SPRM terhadap beberapa orang penting dalam UMNO. Semua ini mencerminkan kecelaruan negeri yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh sebab Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu daripada ADUN dalam BN, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negeri ketika itu pernah menyebut bahawa Menteri Besar akan “jatuh berdebuk macam nangka.” Namun, lebih setahun berlalu, “nangka yang kelihatan kurang ranum itu masih tergantung di pokok.”

Masa depan

Apabila beberapa ADUN dalam BN melakukan “pemberontakan” terhadap Ahmad Said, dan akibatnya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO tidak melantik Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, banyak menjangkakan bahawa perjalananan politik beliau sudah sampai penghujung. Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menandakan Ahmad Said tidak memperoleh cap Najib. Lebih janggal lagi, beliau satu-satu Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada UMNO yang tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan.

Ahmad Said terus bertahan sebagai Menteri Besar, meskipun dari banyak segi, kepimpinan dan prestasinya terus dipersoalkan. Dengan tiadanya kata muktamad daripada Najib seolah-olahnya pucuk pimpinan UMNO-BN ini rela membiarkan dirinya memikul beban yang berpanjangan, walaupun ini mengorbankan kebajikan rakyat dan menghancurkan masa depan partinya di negeri itu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said gagal dalam ujian yang penting, iaitu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun ini apabila BN gagal mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail. Meskipun BN belum mengumumkan calonnya, cakap-cakap tersebar bahawa para pengundi akan beralih kepada Pas. Alasannya, mereka ingin mengajar Ahmad Said yang memang tidak layak sebagai Menteri Besar Terengganu. (Sebenarnya, bahasa yang mereka gunakan terhadap Ahmad Said bunyinya agak keras.)

Semasa kempen pilihan raya kecil itu semakin rancak, seorang ahli UMNO Terengganu pernah menyatakan kebimbangannya bahawa faktor Menteri Besar dan bukannya faktor calon, Datuk Wan Farid Wan Mohd Salleh yang memungkinkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen ini.

“Mu tahu,” kata ahli UMNO itu, “orang ramai marah kerana MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut). Cakap tak macam MB. Mu tengok, poster MB kurang, orang benci.”

Dalam nada yang kian marah, dia menambah, “Tidak seperti Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa jadi penggerak, Mat Said (Datuk Ahmad Said) tidak boleh buat apa satu, slow. Pegawai kerajaan negeri tidak sokong. Macam mana nak menang?” Tengah-tengah orang sibuk nak pilihan raya, dia tukar, pecat pegawai kerajaan; nak tutup anak syarikat kerajaan negeri. Langsung tak fikir!”

Pemerhati politik

Kemarahan ahli UMNO itu melarat kepada pembelian kereta Mercedes. “Mu fikir, teruk tak teruk Mat Said, negeri lain bawah BN pakai Perdana, dia beli Mercedes. Macam tak faham dasar kerajaan BN. Bila orang tanya, dia jawab lebih kurang – dah beli nak buat macam mana, kena pakailah. Kita dengar naik malu.”

Seorang ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang turut bertugas untuk BN dalam pilihan raya kecil itu memberitahu: “Zaman Datuk Deris (Datuk Seri Idris Jusoh), beliau selalu berhubung dan mengadakan mesyuarat dengan JKKK. Paling tidak beliau sms untuk tanya khabar dan berita. Zaman Mat Said (Datuk Ahmad Said), kita JKKK tak tahu apa satu.”

Selaku ketua perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah bijak dengan mengetepikan beberapa individu yang dilantik oleh Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan dalam UMNO. Pada pandangan umum, mereka dilantik oleh Ahmad Said lebih bersifat “membalas budi” dan bukannya berdasarkan prestasi atau “boleh buat kerja.” Misalnya, pelantikan Zubir Embong yang kerjaya politiknya berkubur sejak tahun 1990, sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dilihat oleh banyak pihak tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada parti.

Malangnya, tindakan berani beliau itu hanya setakat itu. Rakyat Terengganu khususnya dan pemerhati politik di negara ini amnya, masih tertunggu-tunggu tindakan berani Najib dan Hishammuddin berhubung dengan kepimpinan negeri itu. Hingga kini, kedua-duanya belum menampakkan keberanian untuk membuat keputusan.

Akibatnya, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, sebilangan ADUN yang anti-Ahmad Said mula hilang kesabaran mereka dan seakan-akan memberikan kata dua – ingin berpaling tadah. Namun, Najib dilaporkan meminta mereka bersabar kerana beliau baru sahaja mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Sudah berbulan-bulan berlalu, macam mana Najib tidak beri kata putus tentang MB Terengganu,” ulas seorang anak Terengganu yang bekerja di Lembah Klang. Sama ada nak kekalkan MB sekarang, yang penting mesti ada keputusan. Bukan terus tergantung.” Tambah dia lagi, “Macam ambil alih syarikat, Najib mesti patut sudah ada perancangan, siapa yang akan dilantik sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), siapa nak jaga kewangan, pengurusan.”

Untuk kekal sebagai Menteri Besar, Ahmad Said boleh berlindung di sebalik istana. Tetapi, berapa lama? Lambat-laun Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan. Mampukah UMNO-BN bertahan di negeri itu?

Apakah sejarah tahun 1999 berulang lagi akibat keengganan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berundur, satu negeri jatuh ke tangan Pas. Mungkin musuh-musuh politiknya gagal menjatuhkan beliau, tetapi rakyat mampu melakukannya. Buktinya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu – rakyat memberikan mesej yang jelas.

Ulasan saya: Penahanan seorang ADUN Terengganu oleh SPRM menjadikan penulis ini seperti hilang arah. Dia terlupa di Negeri Sembilan, seorang ADUN bukan sahaja ditahan malah sedang didakwa di mahkamah. Negeri Sembilan merupakan salah satu negeri yang hilang majoriti 2/3 di DUN tetapi tidak mendapat perhatian penulis ini kerana ia menunjukkan ‘tahap setengah masak’ seseorang penulis.
Serangan ghout kepada Menteri Besar hingga berpapah beredar meninggalkan majlis bukan hujah politik yang boleh diperbahaskan di sini kerana ada wakil rakyat pembangkang, ketika bertanding dan menang pilihan raya menggunakan kerusi roda tetapi masih terus mendapat sokongan pengundi, namun penulis Sinar Harian tidak nampak semua ini kerana sebab ‘kaca matanya mungkin untuk rabun dekat sahaja’.
Mengenai seorang ahli Umno yang ditahan dan didakwa kerana dituduh menghantar sms bernada ugutan, kita serahkan sahaja kepada mahkamah memutuskannya kerana itu tidak ada kena mengena dengan Menteri Besar dan Pejabat Menteri Besar, walaupun sebelum ini Geng 10 mendakwa menerimanya dari seorang pegawai kepada Menteri Besar. Barangkali orang yang kena dakwa di mahkamah kes penghantar sms bernada ugutan itu ada kaitan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Tidak tahulah Idris Jusoh terlibat atau tidak dalam kes ini kerana perbicaraan sedang tertangguh sekarang.
Begitu juga dengan dakwaan kononnya beberapa orang penting dalam Umno Terengganu yang dikatakan sedang disiasat SPRM tidak ada kaitan langsung dengan Umno dan Menteri Besar kerana jika betul ia berlaku, apakah kaitannya dengan Umno dan Menteri Besar?
Mengenai Datuk Ahmad Said merupakan satu-satunya Menteri Besar yang tidak dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, telah dijadikan hujah kononnya Datuk Ahmad Said bukan ‘cap Najib’. Sebenarnya ‘kejatuhan’ Datuk Ahmad dari kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu adalah ‘angkara’ jahat Geng 10.
Sebelum rombakan dibuat oleh Presiden Umno terhadap kepimpinan Umno di peringkat negeri, Geng 10 yang berketuakan ‘sigembala lembu’ berhempas pulas merosakkan imej Datuk Ahmad Said dengan gambaran bahawa kepimpinannya dipertikaikan.
Serangan bertubi-tubi melalui pejabat Perdana Menteri dan pejabat Timbalan Perdana Menteri akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila Najib akhirnya menamakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Bukan main berseronok Geng 10 dan ketuanya ‘sigembala lembu’ mendengar perkhabaran tersebut dengan harapan kedudukan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar turut tergugat apabila jawatan nombor satu dalam Umno negeri sudah ‘terlepas’.
Khabarnya desakan demi desakan terus dibuat kepada Datuk Seri Najib supaya menggugurkan Datuk Ahmad Said dan inilah sebenarnya ‘kerja hakiki’ Geng 10 ini ialah mendesak kepimpinan dan mereka mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya kepada kawasan-kawasan yang mereka wakili.
Dengan adanya penulis-penulis upahan memperbesar-besarkan peranan pendesak ini, maka Terengganu yang tenang berjaya digambarkan sebagai sebuah negeri yang sedang dilanda kekalutan.Jangan lupa perbuatan 10 ADUN yang memboikot Persidangan DUN Terengganu, April lalu seperti mahu dilupakan begitu sahaja. Mereka ini sebenarnya pengkhianat kepada kerajaan dan Umno (BN)! -

(Akan bersambung tulisan ini dengan pandangan beberapa penulis lain yang turut berminat memberi ulasan mereka. Sila layari http://citra-bangsa.blogspot.com. -Redaksi)

2 ulasan:

PAKCIK berkata...

apa yang tidak bagus dikatakan bagus ...bersikap adil dan tuluskan diri sendiri untuk menerima hakikat tersebut.

add berkata...

saya malas nak baca semua. tapi saya boleh buat kesimpulan mubin ni sebenarny dengki dengan hambali latif ...itu je