Selasa, 11 Ogos 2009

Boleh orang Pas faham amaran Sultan Azlan?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

AMARAN Sultan Azlan Shah bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan.
Apakah amaran Sultan Azlan Shah ini dapat didengar oleh penyokong-penyokong Pas, DAP dan PKR di Perak? Apakah mereka boleh membaca dan memahami maksud amaran tersebut?
Amatlah malang bagi sebuah negeri (negara) seperti negeri Perak yang mempunyai parti-parti yang menghasut penyokongnya supaya berhimpun, mogok lapar dan berbaring atas jalan raya hanya kerana tidak bersetuju dengan undang-undang yang tidak menyebelahi mereka.
Dalam masa yang sama, mereka membawa kes ke mahkamah. Mereka mengharapkan mahkamah membuat keputusan yang menyebelahi mereka. Apabila keputusan mahkamah sebaliknya, mereka menentang, mogok lapar, berbaring atas jalan raya dan turut menancam mahu mengadakan ‘tindakan disiplin’ seolah-olah mereka ada undang-undang lain yang mereka anuti.
Hari ini, apabila ada amaran sedemikian, esok ada ada pula penulis dan blogger biadap akan menyerang Sultan. Jika Mufti yang menegur, mereka akan memaki hamun mufti. Malahan, ada pemimpin Pas turut mencabar Mufti supaya bercakap dan mengeluarkan fatwa.
Inilah masalahnya pembangkang sekarang. Mereka angkuh dan sombong. Mereka serang Sultan yang bertakhta di negeri tersebut. Mereka serang Mufti yang dilantik oleh Baginda Sultan kerana mereka merasakan dalam Pas, DAP dan PKR sudah ada yang lebih layak menjadi Mufti.
Jika Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi amaran supaya jangan menghina institusi raja di Perak, mereka akan mengaitkan sebenarnya Umno lebih dahulu menghina Sultan.
Kalau Mufti tegur jangan keterlaluan bercakap mengikut emosi, mereka akan kata Mufti adalah alat Umno. Orang Pas, DAP dan PKR ini sebenarnya golongan yang tidak boleh ditegur dan tidak boleh diajar.
Mereka golongan yang suka memilih undang-undang rimba, berguling atas jalan raya, menabur fitnah dengan menggunakan CD dan VCD dan ulama mereka, yang tebal serbannya tidak pernah mengatakan perbuatan memfitnah itu sebagai ‘berdosa’.
Penyokong mereka akan menjual VCD dan CD itu untuk mencari keuntungan dan mencari makan untuk membesarkan anak-anak mereka, supaya anak-anak mereka akan dapat melanjutkan pelajaran dan apabila pandai nanti, boleh memaki hamun kerajaan lagi.
Ketika mereka berdemonstrasi, mereka menyalahkan polis kononnya menggunakan kekerasan tetapi selama ini polis tidak pernah menerima ucapan terima kasih daripada orang-orang Pas, PKR dan DAP yang menyebabkan negara ini aman damai kerana kewujudan polis.
Jika negara ini tidak aman, mustahil anak-anak mereka ini boleh belajar dan berjaya dalam pelajaran. Jika negara ini tidak aman dan damai, mustahil anak-anak mereka boleh bergelar YB dan ada yang sudah bergelar YAB.
Timbullah pemimpin desperado yang memerlukan orang-orang yang sanggup merempuh halangan polis, tahan terkena semburan gas pemedih mata dan sanggup berguling di atas jalan raya.
Mereka bertakbir di atas jalan raya untuk memberi gambaran kononnya mereka lebih Islamik dari anggota polis yang beragama Islam. Kenapa mereka mahu kerajaan memansuhkan ISA?
Tentulah sebabnya mereka mahu bebas memaki Mufti, menyerang kepimpinan kerajaan dan lebih penting senang mereka mahu menghina institusi raja-raja Melayu. Bagi mereka, jika raja-raja Melayu sudah mereka hina, habislah segala-galanya hak Melayu yang boleh mereka hina setelah mereka mempertikaikan biasasiswa orang-orang Melayu, quota belajar universiti bagi orang-orang Melayu dan tidak lama lagi, pasti mereka akan menentang azan di masjid, asalkan ia kepunyaan Melayu dan Islam.
Itulah sebabnya, ada seorang Exco wanita dalam Kerajaan Negeri Selangor menyanjung sikap seorang rakan Exconya dengan gelaran hero kepada rakyat kerana keberanian Exco itu berkata ‘bir’ bukan arak.
Bila ada seorang anggota DAP ditemui mati secara pelik, mereka buat tunjuk perasaan dan mendesak kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian itu tetapi apabila seorang anggota polis terkorban ketika menjalankan tugas, mereka tidak akan bersuara untuk memberi pembelaan kepada si mati dan keluarganya.
Orang Melayu tidak sedar semua ini. Mereka sanggup menjadi kuda kayu dan berguling atas jalan raya kerana mereka ada seorang pemimpin Cina yang ketika berucap boleh menyebut sepotong ayat al-Quran.
Mana Nik Aziz Nik Mat ketika DAP menghina Sultan? Nik Aziz akan sokong DAP demi undi. Nik Aziz akan setuju dengan DAP selagi dia merasakan Pas dapat faedah ketika berbaik-baik dengan DAP.
Di Perak, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang dapat menjadi Menteri Besar kerana ‘perkenan’ Sultan memilih untuk sembah derhaka kepada Baginda Sultan apabila cadangan mahu membubarkan DUN Perak tidak mendapat perkenana.
Kenapa Baginda Sultan tidak memperkenankan cadangan Nizar anggota 3N (Nizar, Ngeh dan Nga) ini ialah disebabkan dia sudah kehilangan sokongan majoriti dalam DUN Perak.
Nizar terlupa Baginda Sultan tahu ketika memperkenankan perlantikan Nizar dahulu, pembangkang mempunyai 31 kerusi DUN tetapi ketika Nizar memohon untuk membubarkan DUN, bersama-samanya hanya 28 ADUN sahaja.
Tentulah Baginda Sultan tahu yang 28 itu kurang dari 31 dan yang 31 kini sudah bersama-sama Barisan Nasional (BN).
Soalnya, mereka yang masih mahu berhimpun untuk menuntut DUN Perak dibubarkan ialah dari kalangan gila talak jawatan menteri besar dan mereka yang tidak terima undang-undang yang tidak memihak kepada mereka.

Tiada ulasan: