Oleh Malek Saiful Muda
SELAMA ini Pas menjadikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai sasaran mereka, tetapi beberapa teguran Khairy atau KJ ini benar-benar menyentuh ‘maruah’ dan ‘nilai harga diri’ parti itu dalam Pakatan Pembangkang.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bukit Mertajam baru-baru ini, KJ yang juga Ahli Parlimen Rembau menyentuh tentang Pas yang tersisih dari ‘kabinet’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang (lihat Berita Harian, Isnin 10 Ogos 2009).
Memang tepat kata KJ, kenapa Pas tidak meletakkan syarat untuk menjadikan ADUN tunggal mereka di DUN Permatang Pasir sebagai Exco sedangkan itulah satu-satunya kerusi Pas dalam DUN Pulau Pinang.
Tepatlah kata KJ, supaya Pas keluar dari Pakatan Pembangkang demi menjaga maruah parti kerana parti itu tidak lagi dihormati dalam gabungan itu.
Pas pasti tidak mengaku bahawa mereka ‘disisihkan’ dalam Pakatan Pembangkang kerana selama ini, mereka memang rela diperkudakan hingga dalam isu arak di Selangor, Pas benar-benar keseorangan tanpa sesiapa mahu membelanya.
Menurut KJ lagi, isu membabitkan Islam di Selangor dan Pulau Pinang jelaskan menjatuhkan maruah serta kedudukan parti itu dalam gabungan yang mendakwa memberi hak sama serta adil kepada semua pihak.
Sambil menyatakan simpati, beliau berkata, Pas sering dilayan tidak adil terutama dalam pemberian kuasa walaupun ia terbesar dalam gabungan berdasarkan ahli dan sumbangan dari segi tenaga kerja pada setiap pilihan raya.
“Seperti di Pulau Pinang, Pas langsung tidak diberikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri walaupun ada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Di Selangor pula, cadangan mereka supaya perjualan arak tidak dibenarkan di kawasan majoriti Islam tidak didengar. Ia seolah-olah parti itu tiada suara.
“Pada pilihan raya kecil Permatang Pasir difahamkan Pas akan bertanding, saya cadangkan mereka minta jawatan Exco Pulau Pinang. Jika tidak dapat , keluar pakatan dan nilai harga diri,” katanya.
Dalam perkembangan seperti ini, Pas tidak mungkin akan mahu mendengar cadangan KJ ini kerana bagi Pas, ‘boss mereka’ sekarang adalah PKR dan DAP. Di Perak misalnya, pemimpin Pas benar-benar menjadi kuda kayu kepada DAP manakala di Selangor, Pas tidak dapat berkata apa-apa kerana PKR dan DAP terlalu kuat buat mereka.
Dalam situasi politik seperti ini, Pas akan lebih ‘kuat’ jika mereka dapat bekerjasama dengan Umno dan BN kerana perjuangan Pas dan Umno banyak persamaannya jika dibandingkan dengan perjuangan PKR dan DAP.
Malangnya, kerana ‘malu alah’ dengan DAP dan PKR, Pas kononnya lebih rela dijadikan ‘kuda kayu’ oleh rakan-rakan mereka ini kononnya mereka ‘selangkah dan sehayun’ dengan PKR dan DAP di dalam memusuhi Umno.
Orang-orang Pas kononnya terlalu angkuh apabila Umno mahu menghulurkan tangan mengajak berbincang soal kerajaan perpaduan, seolah-olah Umno sudah begitu lemah hingga terpaksa mencari mereka.
Hakikatnya Umno nampak, Pas tidak akan berdaya menyaingi PKR dan DAP dalam Pakatan Pembangkang kerana ‘ilmu politik Pas’ tidak sehebat permainan PKR dan DAP.
Hari ini, Pas akan tersenyum sumbing kerana ‘terpaksa merelakan’ diri mereka menjadi kuda kayu sedangkan mereka sendiri sedar, bahawa DAP dan PKR bukanlah kawan yang berguna dalam memperjuangkan Islam dan kepentingan Melayu.
Hari ini, Pas tentunya berada di dalam keadaan serba-salah apabila NGO’s dan Umno bahagian-bahagian mula menyatakan pendirian bersama Timbalan Presiden Umno yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pengkhianat bangsa Melayu.
Jika kepimpinan Pas dapat menerima cadangan KJ supaya mereka keluar dari Pakatan Pembangkang, benarlah Pas merupakan sebuah parti yang mempunyai maruah dan tahu nilai harga diri.
Namun, jika mereka tidak dapat menerima cadangan KJ itu, bukan bermakna mereka seronok untuk terus kekal bersama Pakatan Pembangkang sebaliknya mereka sudah tidak mempunyai ‘formula’ untuk menyelamatkan diri dari ‘masuk perangkap politik’ DAP dan PKR.
Sama-samalah kita tunggu, apakah reaksi Pas terhadap cabaran dan cadangan KJ ini!
Selasa, 11 Ogos 2009
KJ ‘ajar’ Pas supaya tahu ‘nilai harga diri’
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan