Khamis, 20 Ogos 2009

Hishammuddin Lega, Idris Jusoh Macam Mana?


Oleh Zainal Yusof

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa gembira kerana kepimpinan Umno serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno dari maklum balas dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli Umno di negeri ini ‘bertaut kembali’.
Namun, banyak pihak mengharapkan Hishammuddin tidak ‘terperangkap’ dengan kehadiran buat pertama kalinya Ketua Umno Bahagian Besut, setelah tidak pernah menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu selepas tidak lagi dilantik menjadi Menteri Besar, sebagai ‘bertaut kembali’.
Orang Umno Terengganu sudah masak dengan permainan politik Idris, sekejap ada dan sekejap tidak ada – kerana dia bukan baru dalam politik Terengganu. Malahan, beberapa pihak mendesak Hishammuddin supaya memastikan 10 ADUN yang terlibat dalam memboikot Persidangan DUN Terengganu, April lalu supaya ‘tidak lagi bermain acilut’ dalam politik.
Mereka akan menunjukkan muka apabila Hishammuddin datang ke Terengganu dan akan hilang apabila ada program-program anjuran Umno dan Kerajaan Negeri yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Sepuloh ADUN yang dimaksudkan ialah Idris sendiri, Muhammad Ramli Nuh, Mohamad Zawawi Ismail, Abdul Halim Jusoh, Datuk Din Adam, Datuk Rosol Wahid, Alias Abdullah, Zakaria Abdullah, Ramlan Ali dan Mohd Pehimi Yusof.
Hakikatnya, masih ada kelibat beberapa ADUN ini menggunakan pelbagai saluran untuk memburuk-burukkan Menteri Besar. Malahan, semua usaha Menteri Besar untuk mendekati rakyat’ menjadi bahan ejekan dan mereka menyenaraikan pelbagai kelemahan Menteri Besar melalui pelbagai media.
Terbaru, sebuah akhbat komuniti harian edisi Terengganu menyenaraikan kelemahan-kelemahan Menteri Besar yang disimpulkan sebagai ‘tidak layak untuk kekal’ sebagai Menteri Besar.
Rencana serabut itu kemudiannya dipetik seorang penulis blog yang pernah bekerja dengan salah seorang Exco di era kepimpinan Idris, untuk memperbesar-besarkan apa yang mereka anggap sebagai Menteri Besar yang tidak mempunyai kebolehan.
Setakat ini Hishammuddin tidak memberi bukti apakah yang membuatkan beliau mengakui Umno Terengganu sudah ‘bertaut kembali’ kerana perkataan ‘bertaut’ itu seolah-olah perpecahan sebelum ini dianggap oleh Hishammuddin sebagai ‘perkara kecil atau kocakan di cawan kopi’ sahaja.
Sebenarnya, Umno Terengganu tidak berpecah jika Hishammuddin melihat dari kacamata ‘ketua-ketua bahagian’ yang dipilih perwakilan bahagian-bahagian kerana dari lapan bahagian di Terengganu, hanya Umno Besut sahaja yang menimbulkan masalah ini – sekaligus memperlihatkan seolah-olah Umno Terengganu dilanda kemelut.
Tujuh Ketua Umno Bahagian, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus sebenarnya memang bersama-sama Datuk Ahmad Said tetapi entah macam mana Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ‘terpengaruh’ dengan cerita kononnya Datuk Ahmad Said ‘tergugat’ di Terengganu.
Dalam Umno, kadang-kadang mereka yang setia memang tersisih manakala mereka yang ‘keluar masuk’ akan terbela. Itulah sebabnya, satu rencana yang ditulis penulis yang mengambil hujah mudah mengatakan Terengganulah satu-satunya negeri yang menang pilihan raya mendapat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri bukan dari kalangan Menteri Besar sedangkan negeri-negeri lain yang menang, Presiden Umno mengekalkan Menteri Besar sebagai pengerusi.
Hujah ini ada kebenarannya tetapi negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Sabah, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak tidak ada Geng 10 yang sentiasa marancang untuk mencemarkan kepimpinan Menteri Besar.
Tanpa mereka sedari, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang Idris pegang sejak 2004 dilepaskan oleh Idris atas kerelaannya sendiri dan bukan kerana ada tuntutan dari pihak Datuk Ahmad Said yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu selepas PRU 12, 8 Mac 2008 yang lalu.
Barangkali ketika Idris ingin melepaskan jawatan itu, dia tidak terlebih dahulu merujuk kepada rakan-rakannya yang Sembilan orang termasuk Rosol dan Din yang dikatakan cukup kuat bekerja untuk ‘memalukan’ Datuk Ahmad Said.
Paling tidak sedap didengar ialah sudah ada cerita kononnya Geng 10 ini pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil PKR untuk menumbangkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said.
Sejauh mana kebenaran dakwaan ini, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri kenalah menyiasatnya dan jika perlu, bertindak segera sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

Tiada ulasan: