Khamis, 12 Julai 2012

Pembaharuan SPR : Pembangkang Tetap Tak Percaya


Oleh Tarmizi Md Salleh

PELBAGAI pembaharuan yang diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Aziz Yusof sebenarnya bakal menjadikan pilihan raya lebih rahsia, telus dan adil. Tetapi, pihak pembangkang akan mencari kesalahan lain, yang bakal dijadikan bahan ceramah mereka, kononnya SPR tidak bersih.

Dari segi logiknya, pembangkang melakukan semua ini kerana mereka mahu menjadikan isu ini sebagai modal mereka menyerang kerajaan jika mereka kalah dalam PRU 13 akan datang, kononnya SPR tidak adil dan tidak bebas.

Sebenarnya, buatlah apa sahaja. SPR lakukan pelbagai perubahan. Namun, mereka yang berhati dan berjiwa pembangkang akan terus menyerang SPR dan menyerang kerajaan kononnya, SPR tidak bebas dan kerajaan menguasai SPR.

Maka, mereka berhimpun atas nama BERSIH.... 1.0, 2.0 dan 3.0 menuntut lapan perkara, yang tujuh darinya sudah ditunaikan. Namun, jika jiwa mereka jiwa pembangkang, jiwa mencari kesalahan dan jiwa menyalahkan pihak kerajaan, sampai bila pun mereka tidak akan duduk diam, selain membuat kacau ganggu untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia tidak adil.

Malangnya, mereka yang menentang kerajaan ini dilihat cukup kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Walaupun mereka sebenarnya menentang keputusan Mahkamah Majistret yang menghalang mereka daripada mendekati dan berada di Dataran Merdeka, kerajaan masih sedia menubuhkan jawatankuasa mengkaji Perhimpunan Bersih 3.0 ini, walaupun perhimpunan itu perhimpunan haram.

Jadi, saya melihat apa yang diumumkan Tan Sri Abd Aziz Yusof mengenai pembaharuan SPR supaya lebih rahsia, adil dan telus, hanyalah sia-sia kerana pembangkang tidak akan percaya. Malahan, mereka akan mencari kesalahan lain pula dan mereka akan buat bising lagi kononnya SPR hanyalah alat kerajaan dan berat sebelah.

SPR boleh buat apa sahaja tetapi janganlah buat perubahan kerana mengikut kehendak pembangkang. Kerajaan yang memerintah negara ini adalah kerajaan yang mewakili suara majoriti rakyat. Kenapa suara majoriti tidak dihormati tetapi suara pembangkang yang minoriti diberi layanan istimewa?

Jika SPR mahu tunduk dan akur dengan tuntutan rakyat, akur dna tunduklah kepada kerajaan. Ini kerana kerajaan mewakili suara majoriti. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memerintah negara ini kerana parti yang beliau wakili menjadi pilihan majoriti rakyat negara ini.

Kadang-kadang, rakyat yang menyokong kerajaan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Seolah-olah, mereka yang kerajaan layan adalah dari kalangan pembangkang sedangkan penyokong kerajaan rasa diketepikan. Kenapa jadi begitu?

Apa yang kerajaan takut sangat dengan pembangkang ini? Kenapa mereka dari kalangan pembangkang kerajaan tidak berani tangkap jika mereka melakukan kesalahan? Itulah sebabnya apabila ada cadangan mendakwa S Ambiga di bawah Undang-undang Penderhakaan kepada Yang DiPertuan Agong seperti pendakwaan yang pernah dibuat ke atas mereka yang terlibat dengan Al-Maunah, Lim Guan Eng memusing cerita ini kononnya Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz sebagai “rasis” dan anti orang India.

Padahal, jelas ia merupakan pertanyaan apakah orang yang menentang undang-undnag hingga terjadinya rusuhan tidak boleh didakwa di bawa undang-undang yang sama, yang pernah dikaitkan kepada kumpulan Al-Maunah?

Mulai dari hari ini, kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib kenalah lebih berani bertindak dan jangan terlalu memberi muka kepada pembangkang yang mungkin diserang sindrom sakit mental dan gila mengejar kuasa hingga sanggup menjadikan negara ini sebagai “medan kucar-kacir”.

Tiada ulasan: