Oleh: Safiah Musa
BETUL sangat kata-kata Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas Naib Pengerusi DAP supaya rakyat jangan cuba “memperjudikan” nasib negara ini dengan memilih parti yang belum bersedia untuk mentadbir.
Walaupun bahasa yang Tunku Abdul Aziz gunakan ialah bereksperimen, tetapi saya memilih untuk mempergunakan perkataan memperjudikan. Memperjudikan akan lebih mudah difahami oleh kaki-kaki judi dalam PKR, dalam DAP dan dalam PAS. Terutama yang kaki laga ayam dan bertanding lawan suara burung, di Kelantan.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas Naib Pengerusi DAP
Sebagai seorang yang cukup terkenal dengan intergriti, sampai hari ni, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dapat elaun setiap bulan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berani nak menyerang Tunku Aziz.
Anwar Ibrahim yang merupakan kawan baik Lim Guan Eng juga tidak berani buat komen apa-apa terhadap kenyataan dan tutur kata Tunku Aziz, sebaik sahaja beliau keluar dari DAP.
Sebab apa mereka berdua, Mohamad Sabu dan Anwar Ibrahim tidak berani membelasah Tunku Aziz, ialah kerana apa yang diperkatakan oleh Tunku Aziz itu betul dan tidak layak dipertikaikan. Malangnya, ada lagi orang PAS, khususnya yang kurang cerdik mahu menyokong DAP dan gabungan Pakatan Rakyat yang tidak “beteh menjadi” alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
Anwar kemaruk ingin menjadi Perdana Menteri kerana hasratnya itu sudah terpadam sejak dia keluar (dipecat) dari Umno.
Itu sebabnya, berhempas pulas dia mahu meneruskan cita-citanya itu kerana dia “mahu namanya dibersihkan” dari catatan sejarah yang memalukan.
Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Anwar bukan sahaja tidak mampu berlawan dengan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malahan, kini Anwar sudah tidak mampu untuk berlawan dengan pengaruh Datuk S Nallakarupan.
Sepatutnya, mereka yang berada di atas pagar mengucapkan terima kasih kepada Tunku Aziz kerana memberi ingatan seperti ini. Jika tidak, ramai lagi yang masih mahu menyokong PAS, PKR dan DAP, padahal parti ini sebenarnya “belum bersedia”.
Belum bersedia di sini bermaksud, mereka bukan merupakan satu gabungan yang boleh berpakat. Masing-masing mempunyai agenda sendiri, dengan hasrat mahu mencari seorang Perdana Menteri dari parti masing-masing.
Ketika PAS terpilih menjadi Ketua Pembangkang suatu ketika dahulu, DAP kurang seronok. Kini, apabila pakatan ini memilih Anwar yang banyak isu peribadi sebagai Ketua Pembangkang, bukan kerana sokongan mereka kepada Anwar, tetapi DAP tidak rela melihat wakil PAS sekali lagi menjadi Ketua Pembangkang.
Maka, bukalah minda seluas-luasnya. Lapangkan dada dan telitilah kata-kata Tunku Aziz seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, Selasa 29 Mei 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan