Selasa, 29 Mei 2012

Ubah Mentaliti Tidak Perlu Lunas Hutang – Mohd Radzif


Oleh: Safiah Musa
Dipetik dari: http://rahmank.com/
MEMBACA kenyataan Pengarah Urusan bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Berhad, (SME Bank), Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus (lihat Utusan Malaysia hari ini, 28hb Mei 2012) bertajuk ‘Duit Kerajaan Perlu Dibayar’, menarik perhatian saya.
Kata Mohd Radzif, mentaliti tidak perlu membayar hutang dengan intitusi pembangunan kewangan (DFI) tempatan kerana wang dipinjam adalah milik kerajaan menjadi punca utama entiti yang berkenaan dibelenggu hutang besar.
Pengarah Urusan SME Bank ini seterusnya berkata, kegagalan individu dan syarikat melunaskan hutang-hutang hanya akan menyebabkan sesebuah entiti kewangan hilang keupayaan.
“Apabila hilang keupayaan, entiti-entiti kewangan seperti DFI, termasuk SME Bank, tidak mampu memainkan peranan membantu usahawan-usahawan”
“Oleh sebab itu, tidak kira individu atau syarikat-syarikat yang berhutang dengan DFI mesti mengubah mentaliti bahawa duit kerajaan tidak perlu dibayar,” katanya.
Kalau apa yang dikatakan oleh Pengarah Urusan SME Bank ini diguna pakai untuk PTPTN, saya percaya ia ada persamaan.
Ubahlah mentaliti dari tak mahu membayar pinjaman kepada mahu membayar pinjaman.
Para mahasiswa universiti yang sedang belajar sekarang, berusahalah sedaya upaya untuk mencapai keputusan yang baik, kerana kerajaan akan menukarkan pinjaman menjadi biasiswa jika pencapai CGPA mahasiswa di atas 3.7.
Jika para mahasiswa yang sudah berusaha sedaya upaya tetapi pencapaian keputusan tidak begitu baik, berazamlah untuk membayar hutang PTPTN sebaik sahaja mula bekerja. Yang penting, bekerja dan tidak terlalu memilih pekerjaan.
Sebenarnya, kerajaan yang ada sedaya upaya mahu membantu anak-anak Melayu menjadi manusia yang berguna. Mereka diberi pelajaran dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke universiti.
Jadi, tidak ada sebab jika kita yang berpeluang belajar sampai ke universiti mahu menjadi pemberontak hanya kita tak mahu membayar hutang PTPTN.
Memetik hujah YB Khairy Jamaluddin ketika berdebat dengan Rafizi Ramli dari PKR baru-baru ini, yang enggan membayar hutang PTPTN hanyalah enam peratus sahaja. Maknanya, ada 94 peratus lagi mahasiswa sedia membayar.
Yang segelintir inilah yang membuat onar dan menghasur rakan-rakan mereka supaya menentang kerajaan dan menjadi penunjuk perasaan di merata-rata tempat. Apakah para pelajar mahu memalukan kedua ibu bapa yang mengharapkan anak-anaknya menjadi anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran?
Ambil contoh Datuk Mohd Radzif, Pengarah Urusan SME Bank ini. Beliau belajar dan akhirnya mendapat kedudukan yang baik dalam pekerjaan. Tetapi dalam masa yang sama, beliau menghadapi masalah berdepan dengan individu dan syarikat yang mempunyai mentaliti tidak mahu membayar hutang duit kerajaan.
Orang Melayu mestilah merubah cara berfikir dan jadilah manusia yang berguna kepada manusia lain. Dengan membayar hutang, pihak yang memberi pinjaman akan dapat memberi pihak lain yang amat memerlukan pinjaman untuk belajar dan berniaga.

Tiada ulasan: