Oleh Zamzuri Damanhuri
KESUNGGUHAN Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membawa pembaharuan dalam janjinya melakukan transformasi politik terbukti dengan pembentangan Rang Undang-Undang Baru Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Isnin 16 April lalu, harus dipuji.
Namun, apakah dengan adanya undang-undang baru (selepas dibahas dan diluluskan nanti), mereka yang sering mencabar dan melanggar undang-undang dapat dikawal dan didakwa kerana melakukan kesalahan?
Pembangkang menempelak kerajaan kerana mengekalkan ISA suatu ketika dahulu, tetapi selama adanya ISA, sejak PRU 11 dan PRU 12 siapakah antara mereka dari kalangan pembangkang yang pernah dikenakan tindakan di bawah ISA?
Di sini rakyat melihat kerajaan seolah-olah takut untuk bertindak terhadap parti pembangkang. Bukankah ISA yang mahu dihapuskan itu merupakan undang-undang pencegahan? Jika ISA sudah tidak ada, diwujudkan undang-undang baru yang dilihat lebih demokratik tetapi pihak yang memegang tampuk kuasa masih teragak-agak mahu mengambil tindakan, nescaya ia tidak berguna juga.
Undang-Undang yang berkesan adalah Undang-Undang yang dikuatkuasakan. Undang-Undang menjadi pameran di muzium jika ia tidak dikuatkuasakan. Pihak yang berkuasa, khususnya Menteri Dalam Negeri janganlah hanya ketawa dan tersenyum lebar apabila melihat mereka yang biadap melanggar undang-undang.
Suatu ketika dahulu, rakyat menjadi resah dan gelisah apabila melihat kerajaan dan pihak berkuasa hanya tahu mengambil tindakan terhadap pelaku-pelaku kesalahan kecil dan tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang menghina Raja-Raja Melayu.
Apa tindakan sudah dikenakan ke atas mereka yang menahan kenderaan Raja Muda Perak dan mereka yang berguling-guling atas jalanraya menghalang kenderaan Di Raja?
Dari satu sudut, ISA sebenarnya masih perlu. Ia perlu kerana masih ada orang yang tidak tahu menghargai keamanan yang ada. Mereka beranggapan keamanan dan kestabilan yang ada ini datang secara semula jadi.
Maka, mereka cuba buat huru-hara. Mereka hasut orang muda menyertai mereka untuk berdemontrasi. Mereka mengajak rakyat yang tidak matang supaya menyertai mereka menentang kerajaan. Kononnya, menentang kerajaan adalah hero. Padahal, menyokong kerajaan dengan mengekalkan keamanan dan keharmonianlah sebenarnya hero.
Rakyat diajar budaya songsang. Mereka yang mengamalkan seks sejenis dianggap betul manakala yang tidak mengikut kehendak mereka, dianggap salah. Ada skandal dengan isteri orang dianggap hero dan yang baik dikatakan jahat.
Mufti Perak yang bernama Tan Sri Harussani Zakaria digelar ‘haramsani’. Pun tidak ada tindakan. Menteri Dalam Negeri hanya tersenyum dan ketawa. Gambarnya sentiasa terbuka mulut dan yang lebih menyedihkan, ada usaha memurtadkan orang Islam yang susah dan miskin.
Tak apalah. Kerajaan sudah memutuskan untuk memansuhkan ISA. Sebagai rakyat, saya fikir ia tentulah setelah kajian mendalam dibuat. Persoalannya, apakah dengan adanya Undang-Undang baru ini, rakyat akan lebih berdisiplin dan tidak melanggar Undang-Undang?
Apakah mereka yang mencabar Perlembagaan Negara juga akan ditahan dan didakwa selepas ini? Banyak perkara sudah dijadikan bahan lawak jenaka sekarang. Hak Istimewa Orang-Orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan pun sudah ada yang mempertikaikannya.
Masalahnya, mereka yang mempertikaikannya terlepas dan tidak dikenakan sebarang tindakan. Apakah Perdana Menteri masih mahu mengekalkan Menteri Dalam Negeri yang ada di situ selama-lamanya? Siapakah yang mereka takut kalau Menteri Dalam Negeri pun mereka persendakan?
Jasa ISA sebenarnya cukup besar kepada negara ini. Tanpa ISA, negara ini mungkin sudah hancur. Mereka yang ingin menghancurkan negara ini sekarang sudah menjadi YB dan berada di dalam Parlimen. Mereka menggunakan strategi baru untuk mengharu-birukan negara ini. Nasib baiklah rakyat negara ini (sebahagian besar darinya) matang dan tidak terhasut dengan ideologi buruk ini.
Banyak kali juga saya terbaca tulisan-tulisan penulis yang mengingatkan rakyat bahawa satu ideologi komunis yang tersohor ialah menghasut rakyat membenci kerajaan. Cara itu memberi kejayaan kepada komunis suatu ketika dahulu. Kini, ia seperti berulang semula walaupun bukan atas nama komunis.
Tidak mustahil mereka yang menghasut rakyat supaya membenci kerajaan ini adalah ideologi komunis. Tiada siapa sedar perkara ini kerana mereka tidak membaca sejarah komunis di Tanah Melayu dan Kalimantan walaupun buku-buku mengenainya banyak dijual di negara ini.
Sekarang ini, pembangkang memainkan peranan lebih dahsyat. Mereka masuk ke universiti. Ketika pelajar-pelajar universiti sudah menerima RM200 nilai voucher buku, mereka yang terhasut dek permainan pembangkang mempersoalkan PTPTN pula.
Mereka bukan mahu belajar tetapi mereka mahu menjadi budak-budak nakal. Ada ibu bapa kepada pelajar ini menyokong usaha anak-anak mereka yang meninggalkan pengajian kerana mahu berjuang. Mereka lupa, mereka sepatutnya menamatkan pengajian dengan mencapai keputusan cemerlang untuk menjadi anak yang berguna kepada keluarga, bangsa dan agama mereka.
Malangnya, anak-anak ini memilih untuk menjadi penentang. Padahal, jika mereka ini yakin dengan Harakah dan Anwar Ibrahim, selepas PRU 13 Pakatan Rakyat akan memerintah, untuk apa penentangan ini semua?
Nanti bila dapat kuasa, ubahlah apa yang hendak mereka ubah. Sekarang ni mereka belum berkuasa lagi, mereka menjerit, berkhemah dan berdemontrasi pun, keadaan tidak akan menjadi apa-apa. Ibarat kata, anjing menyalak bukit.
Lebih baik mereka belajar. Lebih baik mereka berada di universiti daripada mereka duduk di Dataran Merdeka.
Menteri Dalam Negeri buat apa? Menteri tersenyum kerana menteri mahu serahkan kepada rakyat melihat pelajar-pelajar ini beraksi. Dalam masa yang sama, imej Malaysia tercemar teruk dek perbuatan seorang berdua ini yang tidak mengambarkan 1.5 juta pelajar universiti lain di seluruh negara.
Perbuatan ini sebenarnya adalah usaha atau kegiatan guling demokrasi berparlimen yang tidak berlandaskan Perlembagaan.
Kalau mereka hebat sangat, bertandinglah dalam pilihan raya umum akan datang kerana “kuasa rakyat setiap lima tahun sekali” adalah kuasa sebenar menentukan corak pemerintahan negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan