Oleh Zainal Yusof
DALAM laporan akhbar (Berita Harian) hari ini, ada desas-desus mengatakan antara calon-calon yang dicadangkan bahagian Umno kepada Ibu Pejabat Umno termasuklah pegawai-pegawai kerajaan, bekas Datuk Bandar dan ahli korporat.
Alhamdulilah. Nampaknya Umno sudah “bersikap terbuka” di dalam memilih calon. Calon yang mereka ketengahkan kepada Ibu Pejabat Umno tentulah yang diterima rakyat dan bukan kerana “nepotisme atau kronisme”.
Cuma satu saya nak bisikkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, hati-hati juga dengan mereka di Ibu Pejabat Umno sekarang. Apa tidaknya, ada yang berangan-angan nak jadi Ketua Menteri Melaka.
Tiap minggu buat program di Melaka, kononnya sudah mendapat restu dari Datuk Seri Mohd Najib supaya dia menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai KM Melaka.
Kalau PM Najib tidak berhat-hati memilih calon, nescaya berulanglah peristiwa PRU 12 yang lalu, mereka yang boleh menang diketepikan manakala mereka yang pandai membodek diketengahkan.
Ini bahaya. PM Najib kena berhati-hati. Kalau calon yang bekerja di Ibu Pejabat Umno Kuala Lumpur kalah, namanya tak tercemar sebab dia memang tidak bernama (tidak terkenal) tetapi nama Umno, BN dan PM Najib yang tercemar.
Calonkanlah sesiapa yang dijangka boleh menang dan boleh membantu parti selepas menang. Bukan mencalonkan seseorang yang boleh menang tetapi kemudiannya membawa mala-petaka kepada parti kerana dia tidak mengenang jasa parti dan ahli parti yang bekerja siang dan malam memenangkannya.
Suka atau tidak, Umno merupakan sebuah parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini. Malangnya, disebabkan beberapa orang sakit menjadi pemimpin di beberapa peringkat parti ini, maka parti ini dilihat mengalami kesakitan yang berpanjangan.
Bila datang PM Najib menggantikan Pak Lah Badawi, Umno seperti dapat penawar. Malangnya, ada beberapa orang sakit yang PM Najib letak di Ibu Pejabat Umno. Walaupun badannya besar, bajunya besar, keretanya besar, cakapnya cakap besar, tetapi orang tahu jasanya kecil, hatinya kecil dan yang lebih malang, ramai ahli Umno tahu budak berbadan besar di Ibu Pejabat Umno ni “temberangnya besar”.
Jangan salahkan Umno. Ini adalah perkara biasa. Mana mungkin Umno meletakkan malaikat bekerja de ngan Ibu Pejabat Umno. Tetapi, ramai yang baik di Ibu Pejabat Umno, tetapi terlindung dek besarnya badan budak yang berjiwa kecil dan angkuh ini.
Selepas ini, PM Najib kena memikirkan balik kesesuaian mengekalkan budak ini di Ibu Pejabat Umno.
Bukan apa, penat lelah Najib menaikkan semula nama dan maruah Umno musnah dek kelakuan budak-budak seperti ini. (Sebenarnya bukan budak-budak tetapi budak).
Insyaallah, BN (Umno) akan menang besar dalam PRU 13 akan datang. Keyakinan rakyat semakin meningkat terhadap keazaman dan komitmen PM Najib terhadap rakyat dan ahli-ahli parti. Cuma, ada sedikit-sedikit kelemahan, jika boleh diperbaiki segera. Kalau tidak, sia-sia kerja baik yang dilakukan tetapi musnah dek perbuatan budak ini.
Satu hal lagi, dalam bab calon, PM Najib kena dengar pandangan Ketua Umno Bahagian. Ini mustahak. Walaupun ada yang tidak suka dengan Ketua Umno Bahagian, tetapi dia adalah Ketua Umno Bahagian. Maknanya, dia menang kerana dia ada pengaruh. Kecuali ada bukti-bukti yang PM Najib tahu, bahawa Ketua Umno Bahagian itu tidak boleh diterima.
Begitu juga dalam soal memilih calon, PM Najib kena utamakan Ketua Umno Bahagian (bagi kawasan Umno).
Sebab apa? Sebab dia yang buat kerja dan dia yang keluar banyak belanja. Yang lain-lain biasanya menumpang aje. Bila ada menteri datang ke kawasan tersebut, barulah muka-muka penumpang ini akan muncul. Muncul untuk bergambar bersama-sama menteri.
Sudah pasti PM Najib akan menyingkirkan beberapa orang menteri dan timbalan menteri. Singkirlah, asalkan jangan disingkirkan tanpa “adap sopan”. Panggil menteri atau timbalan menteri berkenaan, beritahu tahu dia yang khidmatnya sudha tidak diperlukan lagi. Kalau dia menangis minta nyawa, PM Najib berilah sesuatu “untuk sejukkan hatinya”. Paling tidak, hantar dia ke luar negara ketika berlangsungnya pilihan raya dengan alasan mahu berubat.
Kalau ada orang tanya, “sakit apa bekas YB tu,” pandai-pandailah jawab. Jangan kata, sakit mental sudahlah. Kesihan dia!
Seboleh-bolehnya elakkan calon payung terjun! Apa makna payung terjun, saya serahkan kepada PM Najib mentafsirkannya.
Umno juga seboleh-bolehnya “belajar mendisiplinkan ahlinya”. Jangan sabotaj calon. Sabotaj calon adalah sabotaj parti. Parti terlalu banyak jasanya kepada kita, kepada emak bapa kita, kepada anak isteri kita dan kepada keluarga kita.
Pecat sahaja mereka yang mensabotaj parti. Pecat sahaja mereka yang mensabotaj calon. Mereka yang menjalankan kerja-kerja mensabotaj adalah “pengkhianat”. Jangan simpan pengkhianat di dalam parti, walaupun dia mungkin kawan kepada PM Najib sendiri.
Tiada siapa yang lebih penting dari parti. Jadi, kalau ada yang mensabotaj parti, hukumannya “pancung atau kerat”. Bukan pancung atau kerat lehernya tetapi pancung atau kerat namanya. Pengkhianat ni termasuklah mereka yang balik ke Melaka setiap minggu, anjur program kononnya nak jadi KM Melaka. Ini kerja pengkhianat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan