Oleh Zainal Yusof
KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil tidak perlu berundur dari jawatannya dalam parti kerana desakan yang dibuat oleh naibnya, Datuk Kamilia Ibrahim.
Ini kerana Shahrizat masih diperlukan oleh parti dan Kamilia mungkin esok lusa, boleh disingkirkan kerana tidak menghormati pendirian Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Jumaat lalu, Pergerakan Wanita Umno yang diketuai Shahrizat mengadakan pertemuan dengan Najib dan Najib sudah meminta semua Exconya menyokong Shahrizat dan mengakui Shahrizat seorang yang disenangi parti.
Ketika pertemuan itu, Kamilia tidak bersama-sama kerana berada di luar negara. Jadi, Kamilia tidak mendapat maklumat sebenar mengenai hasil pertemuan tersebut, tiba-tiba macam orang meroyan, membuat kenyataan mahu Shahrizat melepaskan jawatan.
Apa hal Kamilia? Tak sabar ke? Saya sebagai pemerhati politik meramalkan, kalau Shahrizat tidak mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita sekali pun, Kamilia tidak akan menang kerusi Ketua Wanita.
Dia tidak ada kualiti sebagai ketua Wanita. Dia menang kerusi Naib Ketua Wanita dahulu kerana Shahrizat mengosongkan kerusi itu dan dia mendapat sokongan Shahrizat yang menentang Tan Sri Rafidah Aziz.
Kalau ada ketua-ketua Wanita cawangan sekali pun ditakdirkan menentang Kamilia, dia tidak boleh menang jawatan itu. Dia jangan perasan dia hebat seperti hebatnya Shahrizat. Dia jangan ingat, jika dia jadi Pemangku Ketua Pergerakan Wanita Umno, dia boleh jadi menteri, quota Wanita.
Tidak begitu! Kalau kualiti tidak ada, mustahil Perdana Menteri mahu melantiknya menjadi Menteri. Jadi, kalau ada angan-angan nak jadi menteri, sabarlah. Parti tidak mampu bertelagah ketika suasana menghadapi PRU 13 semakin hampir.
Teruk sangatlah pemimpin Wanita seperti ini. Dia nak bercakap, tidak tengok kesesuain. Mana mungkin orang seperti ini layak menjadi Ketua Wanita. Minta dijauhkan. Minta simpang malaikat 44.
Orang akan mentafsirkan dia perasan. Orang akan mentafsirkan dalam Wanita Umno, ada pertelagahan. Ini akan menguntungkan parti pembangkang. Apakah Kamilia tidak tahu ini semua? Dia seorang sahajakah yang sayangkan parti ini?
Malanglah Wanita Umno mempunyai Naib Ketua seperti Kamilia ini. Pemimpin seperti ini perlu dinyahkan jauh-jauh dari pergerakan itu. Dia membawa suara orang yang tergila-gila jawatan. Dulu, Rafidah yang dikalahkan Shahrizat seperti orang gila talak bila bercakap mengenai kedudukan Shahrizat.
Kebetulan, kedua-duanya datang dari Kuala Kangsar. Kenapa agaknya Kamilia tidak membuat desakan supaya Rafidah berhenti sebagai Ahli Parlimen apabila dia kalah sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno dan tidak lagi dilantik menjadi Menteri?
Sabarlah. Kalau sudah rezeki awak, suatu hari ia akan dapat juga. Tetapi kalau ia bukan rezeki awak, tunggang terbalik pun, tak akan dapat. Jagalah maruah parti. Bercakap tu, biarlah mengambil kira kepentingan parti. Bukan bercakap ikut sedap mulut yang tidak pernah wangi itu.
Nak kata kamilia ni budak-budak, dia sudah tua. Nak kata dia tua, dia tidak bertindak macam orang tua dan matang. Jadi, Wanita Umno kena beri perhatian kepada orang ni supaya jangan sesekali diletakkan di peringkat tertinggi parti.
Kalau sampai musim pertandingan, singkirkan orang ini dari kedudukan orang nombor dua. Dia tidak penting dalam Umno.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pun sudah mengeluarkan kenyataan, kenyataan dari Kamilia itu tidak perlu. Mudah-mudahan dia faham apa maksud tengku Adnan apa itu “tidak perlu”.
Kalau dia tidak faham, maknanya dia itu tidak diperlukan lagi. Dia yang perlu berhenti dan bukan Shahrizat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan