Oleh Ahmad Hj Ishak
ADA beberapa artikel saya baca di blog dan portal mengenai keghairahan mahasiswa Melayu yang ingin memilih DAP sebagai wadah perjuangan. Alasannya, kerana selama ini orang Melayu takut menghampiri DAP kerana dakyah Umno.
Kata mereka, DAP tidak perlu ditakuti tetapi Umno cuba mengambarkan DAP sebagai kumpulan komunis masuk kampung. Inilah pandangan dan kata-kata dari mahasiswa separuh masak yang seronok menghina sebuah parti bernama Umno, yang banyak berjasa kepada diri mereka dan keturunan mereka.
Mahasiswa yang begitu ghairah memuja DAP ini sebenarnya merasakan diri mereka cukup cerdik kerana dapat masuk universiti. Mereka tidak pernah terfikir, siapakah yang menyebabkan mereka dapat belajar dan dapat menjejakkan kaki hingga ke universiti, jika bukan Umno.
Mereka tidak tahu, jika bukan kerana kepimpinan Umno yang merancang untuk membina sekolah di kampung-kampung dan pusat-pusat bidan di pelosok desa, mereka yang sudah masuk universiti ini mungkin sudah mati kerana penyakit.
Memang adat manusia, bila mereka ada kaki, mereka tidak pernah bersyukur bahawa kerana ada kakilah mereka dapat berjalan ke sekolah, berjalan ke masjid dan berjalan untuk membeli-belah. Nanti bila mereka sudah tidak ada kaki, mereka akan kata, aduh, susahnya nak berjalan ke sekolah, aduh susahnya nak ke masjid dan aduh, susahnya nak pergi ambil ubat di hospital.
Sebab apa mereka berfikiran sedemikian? Kerana DAP sudah berjaya mengajar mereka supaya jangan berterima kasih kepada mana-mana pihak dan jangan bersyukur dengan apa yang kita dapat hari ini.
Emak dan bapa kita tidak sempat ke universiti. Tetapi kasih sayangnya kepada generasi mendatang, termasuk mahasiswa universiti ini, maka mereka memilih untuk menyokong Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Kerana mereka tahu bahawa Perikatan dan BN memang mampu mentadbir negara ini dengan baik dan pembelaan kepada bangsa sendiri.
Malangnya, DAP beritahu budak-budak universiti ini mereka bukan komunis dan budak-budak universiti ini pun percaya. Saya juga percaya kerana mereka bukan komunis. Tetapi kalau budak-budak universiti yang terlalu berkeinginan mahu menyertai DAP ini tahu, salah satu strategi komunis untuk menguasai masyarakat ialah menanam rasa benci kepada kerajaan dan menanam rasa benci kepada orang atau parti yang berbuat baik kepada bangsa dan negara.
Saya tidak kata DAP komunis. Tetapi menghasut orang ramai supaya jangan berterima kasih kepada kerajaan dan Umno yang banyak membela orang Melayu dan masyarakat Malaysia, itu merupakan salah satu strategi komunis yang hampir-hampir merampas Malaysia suatu ketika dahulu.
Mereka tidak tahu bahawa hasil kerja kuat Umno, universiti dibangunkan di Malaysia. Satu demi satu universiti di negara ini kerana Umno dan kerajaan tahu keperluan untuk merubah nasib adalah dengan pendidikan.
DAP buat apa dalam hal mengeluarkan rakyat Malaysia daripada dunia buta huruf? Tidak ada. DAP hanya menghasut rakyat supaya jangan berterima kasih dan jangan percaya apa yang Umno cakap mengenai pengorbanan dan perjuangan orang-orang Melayu.
Ada budak-budak univerisiti merasakan DAP lah yang betul dan Umno salah. Kerana bagi mereka DAP tidak mengamalkan rasuah tetapi Umno mengamalkan rasuah. Ini mereka dapat dariapada DAP dan mereka macam “terima wahyu” kalau DAP yang kata tetapi kalau Umno yang kata, mereka tak mahu dengar dan tak mahu percaya.
Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana, mereka yang berfikiran begitu adalah hasil anak didik emak dan bapa masing-masing. Kalau emak dan bapak mereka tidak berjaya mendidik mereka supaya menjadi manusia yang tahu berterima kasih, siapalah saya untuk menasihatkan mereka.
Mereka kagum dengan seorang blogger bernama Aspan Alias. Mereka betul-betul seronok bila Aspan dan seorang bekas wakil rakyat dari Pekan Pahang masuk DAP. Mereka tidak tahu siapa Aspan sebenarnya dan siapa yang beri bantuan Aspan belajar. Mereka juga tidak tahu anak-anak Aspan belajar guna duit Aspan atau Aspan minta sedekah dari orang-orang Umno.
Aspan ini pernah masuk Parti Melayu Semangat 46. Maknanya, dia memang sudah menentang Umno sejak dulu lagi. Mungkin kalau dia duduk dalam Umno, dia tidak ada tempat kerana orang Umno khususnya di Kuala Pilah kenal siapa pelawak ini. Mereka hanya menganggap Aspan sebagai pelawak.
Saya tidak kenal Aspan tetapi saya bertanya dengan beberapa orang Umno dari Kuala Pilah. Kata mereka, Aspan kalau bercakap, sering mendabik dada kononnya dia kenal ramai menteri dan dia pun layak jadi menteri.
Susah juga saya nak percaya, tetapi itulah yang mereka cakap kepada saya. Mengenai seorang bekas wakil rakyat dari Pekan yang masuk DAP itu, kata orang-orang Pekan, biarlah dia pergi. Kata mereka, ada pun tak menambah, tak ada pun tak mengurang. Macam orang kata, memang tak berguna langsung.
Tidak pula saya tahu, apa maksudnya tak berguna langsung itu tetapi saya agak, tidak berguna kepada Umno. Ketika dia nak bertanding, dia memerlukan sokongan orang lain. Tetapi bila dia dah tak bertanding, dia tak mahu menyokong orang lain. Orang macam ini memang sesuai masuk DAP kata mereka.
Namun, tiada pula ada yang mengatakan kedua-dua orang ini elok masuk komunis atau tidak. Mungkin mereka tahu DAP bukan komunis dan komunis bukan DAP. Cuma DAP hasut orang supaya membenci Umno dan membenci kerajaan. Manakala komunis juga menghasut orang supaya membenci Umno dan kerajaan. Macam ada persamaan pula DAP dengan komunis ini walaupun DAP bukan komunis.
Kalau DAP masuk kampung, itu bukan komunis masuk kampung. Kalau komunis masuk kampung, itu juga bukan DAP masuk kampung. DAP adalah DAP dan komunis adalah komunis. Cuma, komunis parti yang diharamkan manakala DAP parti yang dihalalkan.
Bagi saya, kalau ada mahasiswa universiti dari kalangan orang Melayu yang ingin masuk DAP silakan. Kerana mereka tentunya tahu bahawa antara DAP dengan Umno, DAP jauh lebih baik. Maka, itu pilihan mereka kerana sekarang ini mereka masuk universiti mungkin kerana sumbangan dan pertolongan DAP.
Maka, silalah menyokong DAP. Di situ mereka akan mencapai kebahagian yang mereka inginkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan