Jumaat, 10 Februari 2012

Wah, semakin ramai mengerjakan Shahrizat

Oleh Zamzuri Damanhuri



TIBA-TIBA hari saya sedih. Semakin banyak saya membaca portal pro pembangkang di Malaysia, semakin banyak saya jumpa “perangai Melayu” yang tidak pernah mahu berubah.

Perangai orang Malaysia, orang yang hendak jatuh, ditolak ramai-ramai. Mereka seronok menjatuhkan seseorang yang mereka lupa sebenarnya mereka sedang menjatuhkan “bangsa dan maruah mereka sendiri”.

SPRM sudah menyiasat. Berilah kepercayaan kepada SPRM untuk menghabiskan siasatan. Polis sedang menyiasat. Berilah kepercayaan kepada polis. Kenapa ada orang di Malaysia, termasuk budak-budak hingusan yang memimpin NGO cuba nak menjadi salah seorang “barua” kepada pihak yang memusuhi politik Datuk Seri Shahrizat, mengecam dan terus mengecam Shahrizat dan mencabar macam-macam perkara?
Saya nak tanya satu soalan kepada orang Melayu yang menyibuk ni, kalau SPRM dan Polis mendapati Shahrizat tidak bersalah atau tidak terkait dengan isu NFC, apakah mereka boleh memulihkan semula imej Shahrizat yang mereka cemari?
Saya tidak mahu bertanya, berapa mereka dapat upah untuk menyerang Shahrizat kerana saya tidak ada bukti tetapi saya syak ada sesuatu yang mereka dapat dari kenyataan demi kenyataan yang mereka keluarkan ini.
Mungkin mereka dapat upah, mungkin mereka dapat habuan, mungkin mereka dapat glamour dan mungkin juga mereka dapat “kepuasan” dari hati busuk dan dengki mereka. Satu sikap orang Melayu, mereka memang suka kalau ada orang Melayu lain berniaga dan rugi. Mereka akan ketawakan ramai-ramai.
Bila ada syarikat orang Melayu buat pinjaman, mereka sakit hati. Bila rugi, mereka ketawakan dan jika gagal, mereka buat kenduri. Apa yang mereka dapat? NFC adalah suatu program kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan bekalan daging dari luar.
Ini kerja mulia. Selama ini kita orang Melayu yang beragama Islam makan daging yang dibekalkan dari luar. Masa daging diimport, ramai yang sangsi tentang penyembelihan dan hahal haram daging yang kita makan.
Maka, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengujudkan satu agensi melalui pihak swasta bagi tujuan mendapatkan bekalan daging tempatan dan sesiapa yang tahu secara mendalam masalah penternakan ini, ia bukan sesuatu yang mudah.
Biasanya orang Melayu memang kurang terjun dalam dunia penternakan ini, termasuk ayam dan burung puyuh kerana pelbagai masalah selain modal dan penyakit ternakan tersebut. Mereka yang menerajui NGO yang semakin lantang sehari dua ini tahu apa mengenai ternakan? Mereka sendiri pun mungkin diternak oleh pihak-pihak tertentu.
Secara zahirnya, Shahrizat memang tidak boleh dikaitkan dengan isu NFC ini tetapi disebabkan hari-hari PKR menyerangnya, sudah ada mereka dari kalangan Umno, MCA dan Gerakan, termasuk NGO yang entah ada pengikut atau pun tidak, sibuk menonjolkan diri untuk membuat kenyataan.
Saya melihat usaha ini adalah usaha memfitnah. Kalau orang PAS yang memfitnah, saya sudah lali. Kalau dari PKR yang memfitnah, juga sudah biasa tetapi kalau datang dari orang Umno, MCA dan Gerakan, saya lihat ini “kesan akibat terikut-ikut” dengan keinginan pembangkang yang mahu mengharu-birukan kestabilan Umno dan BN kebelakangan ini.
Cukuplah! Serahkan kepada SPRM dan Polis. Selepas itu, biarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang membuat keputusan tentang kedudukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sama ada mahu dikekalkan sebagai menteri Kabinet atau tidak.
Timbul syak di dalam diri saya, kenapa ramai sangat yang seronok menyerang Shahrizat? Mengapa mereka seperti “hilang akal” dalam isu NFC. Padahal, apa yang NFC dapat itu adalah pinjaman dan syarikat ini kena bayar balik. Bukan dapat percuma. Saya ulang, bukan dapat percuma.
Kalau sesiapa membaca blog-blog atau portal pro pembangkang, ramai betul “orang sakit jiwa” yang mahu menjatuhkan hukuman kepada Shahrizat. Mereka betul-betul jadi gila dengan dengan isu ini dan tidak sabar-sabar mahu melihat Shahrizat berhenti dan meletakkan jawatan.
Penyakit apa yang sudah menyerang mereka ini? Pertanyaan ini juga saya tujukan kepada beberapa orang Umno yang siap memberi syarat kepada Perdana Menteri, selesaikan dulu isu NFC sebelum adakan pilihan raya.

Mula-mula saya ketawa sendirian dengan kenyataan yang cukup lemah itu tetapi kemudian, saya sedih kerana Umno mempunyai orang-orang yang tidak cerdik di dalam menghadapi isu. Shahrizat belum didakwa. Shahrizat hanya dituduh. Yang menuduh orang PKR. Jadi, sepatutnya orang Umno sibukkan diri masing-masing membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari di mana letaknya jam Omega dan bukan sibuk-sibuk hendak memalukan Datuk Seri Shahrizat.

Saya ingat musuh Umno ialah pembangkang. Rupa-rupanya orang Umno termasuk pemimpin Umno di peringkat bahagian tidak faham ini. Mereka jadikan Shahrizat dan NFC sebagai musuh mereka sedangkan NFC adalah projek kerajaan dan secara kebetulan suami Shahrizat menjadi pengerusi Eksekutif NFC.
Media juga saya lihat berlaku tidak adil kepada NFC. Bila ada serangan kepada NFC, biasanya berita itu keluar di muka depan dan besar saiz beritanya tetapi bila ada jawapan dari Lembaga Pengarah NFC, beritanya keluar muka dalam dan kecil saiznya.
Ini apa yang saya nampak dan saya tidak menuduh. Namun, itu bukan isunya. Isunya sekarang, saya lihat orang Umno, MCA dan Gerakan tidak tahu yang mana musuh mereka dan yang mana kawan yang perlu mereka pertahankan.
Mereka serang kawan yang sepatutnya mereka pertahankan tetapi musuh mereka biarkan menyerang kawan-kawan mereka.
Ingat, kita makan berkawan jangan makan kawan-kawan. Dalam Umno, saat dan ketika ini, saya tengok mereka makan kawan-kawan dan bukan makan berkawan.

Ini tidak sihat. Berubahlah. Bukan orang Umno sahaja tetapi semua orang Melayu. Berubahlah. Kita sakit jiwa sebenarnya jika kita sakit hati melihat kesenangan orang lain. Kita sakit mental sebenarnya bila kita seronok melihat orang lain susah. Kita gila sebenarnya kalau kita makan kawan-kawan kita sendiri dan tidak makan berkawan.
Macam mana rasanya kalau serangan yang kita hamburkan itu dihalakan kepada kita pula? Apa rasa kita? Apa yang kita akan kata ketika itu? Ingatlah, hidup ini ibarat roda. Sesekali di atas dan sekali di bawah.

Hari ini kita jadikan Shahrizat sebagai mangsa kita, suatu hari nanti kita pula akan orang lain jadikan mangsa. Percayalah! Kalau kita menyakiti hati orang, insyaAllah suatu hari nanti kita pula akan disakiti. Giliran ini akan sampai juga.
Waktu itu, baru kita tahu langit ini tinggi atau rendah!

Tiada ulasan: