Selasa, 7 Februari 2012

Salahudin Ayub bakal MB Johor

Oleh Ahmad Hj Ishak



BAGI orang PAS, mereka yakin PAS akan menang di Johor dalam pilihan raya umum akan datang (PRU 13) kerana mereka nampak jika Selangor, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan boleh dimenangi Pakatan Rakyat (PR) kenapa tidak Johor.


Maka, bermesyuaratlah mereka ini untuk mencari seorang bakal Menteri Besar (MB). Antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Kubang Krian, Kelantan, Salahudin Ayub yang berasal dari Pontian Johor untuk dilantik menjadi Menteri Besar Johor.
Kenapa tiba-tiba PAS memberi fokus kepada Johor tetapi tidak kedengaran di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis atau Terengganu? Adakah benar mereka boleh menang di Johor, selepas dua DUN Umno terlepas ke tangan PAS dalam PRU 12 yang lalu?

Jawapannya mudah. Sebenarnya bukan PAS yang yakin menawan Johor tetapi DAP. DAP yang menang banyak kerusi pembangkang di Johor dalam PRU 12 yang lalu menyebabkan PAS berangan-angan bahawa DAP tidak akan mempunyai calon MB maka, PAS lah yang sepatutnya mencalonkan orangnya untuk menjadi MB Johor kelak.
Ini sama seperti apa yang berlaku di Perak dalam PRU 12 yang lalu, bila DAP tidak mempunyai calon Melayu menyebabkan mereka membenarkan Mohd Nizar Jamaluddin dilantik menjadi MB Perak, walaupun hanya 11 bulan.

DAP beruntung kerana mempunyai seorang wakil rakyat PAS bernama Mohd Nizar yang betul-betul berperwatakan macam DAP, boleh bercakap Cina dan rupanya pun seperti orang Cina. Maka, banyak tindak-tanduk Mohd Nizar selama menjadi MB Perak, dilihat seperti seorang Cina yang tentunya disukai oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Banyak juga penulis blog yang mencadangkan supaya Mohd Nizar menjadi ahli DAP dan meninggalkan PAS. Ia lebih selamat berada di dalam DAP kerana nyata dia mempunyai penyokong dari kalangan pemimpin DAP sendiri. Dalam PAS, dia tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. Tentulah ini menjadi tandatanya.

Kali ini, mungkin Salahudin juga dilihat mempunyai darah Cina, dicalonkan oleh PAS sebagai MB selepas mereka, menyakini DAP akan menyokong jika Salahudin dilantik menjadi MB Johor jika Pakatan Rakyat dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor.
Mungkin juga PAS sudah tidak mahukan Salahudin bertanding di Parlimen Kubang Krian lagi kerana Tok Janggut Nik Aziz Nik Mat khabarnya pernah berkata bahawa kali ini PAS Kelantan akan menolak calon-calon luar dari bertanding di Kelantan seperti Nasaruddin Mat Isa (Bachok), Saifuddin Nasution Ismail (Machang) dan Salahudin (Kubang Krian).
Jadi, bagi tidak mengecilkan hati Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, barangkali dengan cara menawarkan dia menjadi MB Johor. Itupun tentulah atas restu DAP kerana mustahil PAS boleh menang lebih banyak kerusi dari kerusi yang bakal dimenangi DAP. Ini rekod 2008.
Bolehlah orang-orang PAS di Johor memasang angan-angan dan Salahudin Ayub juga bolehlah kerap balik ke Johor selain Pontian untuk meninjau-ninjau apa yang harus dilakukan apabila menjadi Menteri Besar Johor dalam mimpi PAS nanti.
Untuk mempertahankan dua kerusi PAS yang dimenangi dalam PRU 12 yang lalu di DUN Maharani dan DUN Sungai Abong pun sukar, bagaimana begitu mudah PAS memasang angan-angan mahu menawan Johor?
Adakah ini merupakan strategi PAS untuk mengalihkan perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin supaya jangan kerap sangat menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak?
Mungkin mereka beranggapan, jika timbul rasa takut kepada Muhyiddin yang negeri di mana datangnya dia, maka lebih baik dia kerap balik ke Johor dan tidak terlalu menyerang negeri-negeri Pakatan rakyat, maka ringanlah sedikit beban Pakatan Rakyat mempertahankan negeri-negeri yang mereka kuasai itu.
Tapi orang Umno Johor jangan ambil mudah hal ini. Walaupun Umno Johor masih kuat tetapi MCA dan Gerakan di Johor nampaknya semakin goyang. Namun, jika orang Melayu Johor bersatu bersama Umno, MCA dan Gerakan di Johor juga akan selamat. Begitu juga kerusi MIC.

Orang Umno Johor jangan banyak ragam. Jangan banyak karenah. Jangan banyak buat fiil. Maka, BN akan menang besar dalam PRU 13 akan datang kerana Johor, walaupun kerusi Parlimen Bakri terlepas ke tangan DAP, namun ia pasti boleh diambil kembali jika orang Melayu di Bakri bersatu dan tidak buat perangai.
Bekas Ahli Parlimen Bakri, Datuk Chua Jui Meng sudah menyertai PKR. Dia kini bekerja keras untuk memastikan PKR diterima di Johor. Dari rekod kerjanya, Chua Jui Meng mungkin cemerlang di Bakri tetapi dia tidak begitu terkenal di seluruh Johor.
Masa dia menjadi Menteri Kesihatan dahulu, ada tiga Menteri Kabinet dari MCA juga dari Johor. Ong Ka Ting dan Dr Ling Liong Sik ada Menteri Kabinet dari Johor juga. Kemudian, Dr Chua Soi Lek. Maknanya, bukan Jui Meng sahaja Menteri Kabinet (MCA) dari Johor, sebaliknya ramai lagi. Ini belum disenaraikan bekas Timbalan Menteri (MCA) dari Johor ketika itu.
Jui Meng bermasalah dengan MCA. Dia bertanding jawatan tertinggi dalam partinya. Dia kalah dan dia merajuk barangkali menyebabkan dia tidak mahu terus kekal sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri.

Jadi, orang PAS yang sedang memasang angan-angan kononnya PAS akan menjadi MB Johor selepas ini mungkin bertambah kuat kerja mereka untuk memastikan mereka menang di Johor, sekurang-kurang satu kerusi bagi melayakkan mereka menjadi MB Johor kalau DAP mampu menguasai politik Johor.

Kalau PAS sedar diri mereka, mereka tidak mungkin memasang angan-angan menjadi Menteri Besar Johor tetapi mungkin juga ini arahan DAP.
Maklumlah, banyak hal PAS terpaksa akur dengan arahan DAP macam mana Mohd Nizar patuh kepada DAP sewaktu menjadi MB Perak dulu.

Orang Umno Johor macam mana? Mungkinkah mereka tidak ada rasa bimbang dalam hal ini? Adakah mereka masih mahu bergaduh sama sendiri merebut jawatan? Adakah mereka masih mahu sabotaj calon dalam pilihan raya? Tak mahu belajar bagaimana dua kerusi DUN boleh terlepas ke tangan PAS dalam PRU 12 yang lalu?

Tiada ulasan: