Isnin, 20 Februari 2012

Debat penting atau buat kerja penting?

Oleh Ahmad Hj Ishak



KETUA Menteri (KM) Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi dalam debat terbuka. Dulu dia dah kena teruk dengan bekas KM Tan Sri Koh Tsu Koon tetapi disebabkan media masa tidak begitu berminat dengan Tsu Koon, maka tidak banyak publisiti yang diberikan.
Saya sendiri menonton perdebatan itu dan saya nampak betapa tenangnya Tsu Koon menyerang dan menjawab tohmahan (baca: fitnah) yang dilemparkan Setiausaha Agung DAP kepada Presiden Gerakan dan parti BN, namun ia seolah-olah tidak menarik minat editor dan wartawan.
Mungkin bagi media dan editor, mereka lebih suka kalau Tsu Koon kalah dalam perdebatan tersebut dan Guan Eng menang. Maka, senanglah mereka menyerang kepimpinan Gerakan. Yang saya hairan, blogger yang mendakwa mereka lebih Umno dari Umno dan lebih BN dari BN itu sendiri pun tidak memberi ruang untuk memperkatakan kehebatan Tsu Koon.


Apa sebabnya, saya tidak tahu kerana memang orang di Malaysia, mereka cukup kagum dengan kaki fitnah dan kaki pembohong. Kalau kaki fitnah beri ceramah, mereka sanggup tinggalkan isteri yang demam di rumah untuk menghadiri ceramah tersebut.
Begitu juga kalau mereka dengar ada penceramah yang kuat membohong berceramah, mereka akan lupakan pelajaran anak-anak di rumah asalkan mereka boleh bersama-sama ceramah pembohong tersebut.
Ini seperti sudah menjadi kebiasaan bagi orang Malaysia. Tetapi kalau ada mana-mana penceramah yang mahu menerangkan isu sebenar, menjawab fitnah dan menangkis pembohongan, mereka tidak minat hadir. Kalau kawan-kawan bertanya, kenapa tak datang semalam? Mereka akan jawab, isteri kurang sihat, anak tuisyen dan sebagainya.
Ini sudah menjadi kebiasaan bagi orang Malaysia. Malang sungguh masyarakat seperti ini. Mereka tidak mendapat maklumat yang benar kerana mereka tidak bersedia menerima penjelasan kecuali mereka menambah bahan-bahan fitnah untuk mereka sokong dan sanjung.
Begitu juga dengan perdebatan antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang diadakan di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur. Saya mendapat tahu, Guan Eng tidak berani bertentang mata dengan Soi Lek dan tidak mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan peserta.
Ini kerana membuat fitnah dengan menghadapi realiti memang dua perkara yang berbeza. Perbezaannya bukan sedikit tetapi satu perbezaan yang cukup besar. Jauh jarak perbezaannya. Macam langit dengan bumi.
Tapi bagi mereka yang sudah taksub, mereka tetap akan menyokong Guan Eng dan mereka tidak akan mengaku serangan dan dakwaan yang dibuat oleh Soi Lek sebagai benar. Fitnah sebenarnya memang tidak boleh dijawab, kerana kalau dijawab, mereka akan buat fitnah baru. Sampai bila pin fitnah tidak akan selesai, selagi ada keldai-keldai yang mahu mempercayai fitnah.
DAP memang bercita-cita mahu menawan Malaysia. Apa pun mereka kata, mereka ingin sangat nak menjadi Perdana Menteri kerana mereka tahu selagi mereka tidak berkuasa di Malaysia, selagi itu perjuangan mereka Malaysian Malaysia tidak akan berjaya.
Asyik-asyik mereka akan bercakap mengenai ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat. Rakyat yang mereka sebutkan itu adalah mereka. Melayu bukan rakyat. Mereka anggap, yang rakyat ialah mereka dan selagi mereka tidak menjadi tuan, mereka tidak akan berhenti memperjuangkannya.
Selama ini pun, walaupun Malaysia kekal dengan ketuanan Melayu, nasib Melayu masih macam ni juga. Orang Melayu tidak banyak yang kaya-raya seperti orang Cina. Tetapi orang Melayu tidak pernah mengungkit.
Malangnya, bila DAP berdamping dengan PAS dan PKR, mereka betul-betul berjaya memperkudakan Melayu dalam DAP, PKR dan PAS. Inilah kepuasan yang mereka kejar selama ini. Orang Umno, mereka tidak dapat jadikan keldai tetapi geng mereka sekarang, mereka boleh jadikan keldai.
Inilah kebangaan mereka. Rupa-rupanya kebangaan mereka itu tidak berhenti setakat itu sahaja. Mereka mahu terus mengejar dan mengejek Melayu yang masih kekal dalam Umno. Mereka terus menghina Melayu dan mereka cuba memijak-mijak maruah Melayu.
Mereka boleh letakkan gambar-gambar pemimpin Melayu di lantai dan mereka pijak-pijak. Apa ertinya itu? Maknanya mereka memijak maruah Melayu. Melayu yang bersama-sama mereka, sanggup berguling-guling di atas jalan raya kerana mereka nampak DAP kehilangan kuasa apabila BN berkuasa kembali di Perak.
Ada tak orang Cina yang bergoleng-guling di atas jalan raya ketika itu? Jawapannya nihil. Kenapa? Sebab mereka memang mahu memperkudakan Melayu dan Melayu yang menyokong mereka memang sangggup dijadikan keldai oleh pihak ini.
Melayu juga yang menyerang Mufti Perak apabila Mufti Perak membuat kenyataan yang dilihat tidak menyebelahi pihak mereka. Melayu juga yang menyerang Shahrizat Abd Jalil kononnya NFC itu wujud kerana ia kepunyaan suami menteri.
Hari ini, PKR ingin sangat mahu mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berdebat. Berdebat pula dengan orang yang paling ditakuti oleh 26 juta rakyat Malaysia. Siapa orang yang paling ditakuti oleh rakyat Malaysia itu? Orang itu ialah Anwar Ibrahim.
Kenapa orang takut dengan Anwar? Biasanya orang hanya takut dengan orang gila. Orang tidak pernah takut dengan orang kuat, orang tidak pernah takut dengan orang alim. Orang tidak pernah takut dengan orang kaya. Orang tidak pernah takut dengan orang garang.
Yang orang takut ialah dengan orang gila. Jadi, bila ada orang takut dengan Anwar Ibrahim, saya mengurut-urut dada. Apakah orang yang takut dengan Anwar ini menganggap Anwar macam orang gila sehingga semua orang ada rasa takut dengannya?
Saya tidak kata Anwar gila. Saya tidak kata orang gila itu Anwar. Tetapi saya kata, kenapa orang takiut dengan Anwar dan kenapa orang takut dengan orang gila? Itu yang saya tanya dan kalau ada sesiapa yang boleh menjawab, silalah jawab.
Hati kecil saya mengharapkan PM Najib tidak melayan desakan mengadakan debat antara beliau dengan Anwar. Ia tidak mendatangkan faedah. Tetapi bukanlah debat antara Guan Eng dengan Tsu Koon dan Guan dengan Soi Lek tidak bagus, tetapi PM jangan buat. Kalau Khairy Jamaluddin dicabar, saya setuju tetapi PM Najib jangan sesiapa mencabarnya dan bukan kerja PM menyahut cabaran dari mereka yang dikatakan cukup ditakuti oleh rakyat Malaysia ini.

Tiada ulasan: