Oleh Zainal Yusof
TERBACA kenyataan Lim Kit Siang, pemimpin DAP yang dikenali sebagai pemimpin perkauman yang cukup dahsyat di Malaysia meminta supaya cuti Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat disambung, menyebabkan saya terpanggil untuk mengulasnya.
Malas saya nak membaca apa yang dikatakan oleh Kit Siang itu kerana saya menunggu kenyataan Kit Siang terhadap dakwaan yang mengatakan cucunya terlibat di dalam mencabul budak perempuan di Pulau Pinang.
Walaupun anak Kit Siang yang bernama Lim Guan Eng sudah menafikan dan sudah mengambil tindakan saman kepada blogger yang membuat dakwaan terhadap cucu Kit Siang itu, tetapi saya ingin juga mendengar penafian dari Kit Siang bahawa cucunya tidak terlibat dalam mencabul budak perempuan.
Dulu, anak Kit Siang yang namanya Guan Eng masuk penjara kerana memfitnah Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik. Dia jadi banduan. Baru-baru ini, Setiausaha Politiknya yang menggunakan nama bekas Menteri Kabinet, Allahyarham Khir Johari kononnya mendakwa Guan Eng dipenjarakan kerana undang-undang Malaysia berat sebelah.
Itulah. Saya selalu sebut dalam tulisan saya kita jangan memfitnah orang. Bila kita fitnah orang, berbuih mulut kita mengutuk orang. Bila kita kena, kita tercunggap-cunggap mahu menafikan. Biasalah, buat baik di balas baik, buat jahat, inilah akibatnya.
Saya tentulah tidak mahu percaya dakwaan mengatakan cucu Kit Siang mencabul. Itulah sebabnya saya tidak mendesak anak Kit Siang, Guan Eng supaya bercuti bagi membenarkan pihak berkuasa menyiasat.
Berbeza dengan Kit Siang, bila suami Datuk Seri Shahrizat didakwa melakukan kesalahan dalam urus niaga dengan NFC, dia mendesak macam-macam supaya menampakkan seriusnya kesalahan yang Shahrizat lakukan. Padahal, Shahrizat bukan ada apa-apa jawatan dalam NFC.
Kalau Kit Siang yang dikatakan cukup perkauman atau rasis ini serius mahu melihat politik Malaysia murni, desaklah anaknya yang bernama Guan Eng bercuti kerana cucu Kit Siang didakwa terlibat mencabul budak perempuan. Atau kalau boleh, minta Karpal Singh keluarkan kenyataan minta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat dakwaan cucu Kit Siang didakwa mencabul budak perempuan.
Lebih mengejutkan, khabarnya ada lagi dakwaan, yang entah betul atau tidak mengatakan cucu Kit Siang terpaksa membayar ratusan ribu ringgit, atau puluhan ribu ringgit kepada keluarga budak perempuan yang dicabulnya itu bagi menutup mulut.
Dari lenggok dan lenggang yang Kit Siang lakunkan selama ini, macam tak betul dakwaan itu tetapi dalam dunia ni macam-macam boleh jadi. Boleh jadi berlaku cabul dan boleh jadi berlaku bayar duit untuk tutup mulut. Maklumlah, bab cabul ni bab nafsu. Bila sebut nafsu, ia tidak hanya ada pada orang Umno atau pada orang MCA.
Mungkin juga ia berlaku pada pemimpin PKR, DAP atau pun pemimpin PAS. Maklumlah, semua ini manusia walaupun ada yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin melakukan apa yang dituduh kepadanya.
Biarlah Anwar Ibrahim. Sekarang kita tengah bercerita mengenai Kit Siang dengan cucu dan anaknya. Kita mahu tahu, kenapa Kit Siang beria-ia sangat mahu menyerang Shahrizat sedangkan lidah Kit Siang sudah diambil oleh beberapa pemimpin Umno untuk menyerang Shahrizat.
Kit Siang dan orang-orang PKR usah risau. Perlantikan wakil atau agen DAP dan PKR dalam Umno sudah berjalan sekarang. Beberapa orang pemimpin Umno di bahagian-bahagian sedang sibuk menyerang Shahrizat seperti yang dimahu oleh Kit Siang dan Zuraidah Kamaruddin.
Saya yakin, Shahrizat akan menjawab semua serangan dari pembangkang. Shahrizat seorang pemimpin Wanita Umno yang gagah. Beliau mempunyai kemampuan menghadapi semua serangan ini. Malahan, mungkin ada skandal pemimpin pembangkang yang akan terlondeh nanti, Shahrizat kerjakan.
Beberapa orang pemimpin PKR memang tidak berani dengan Shahrizat. Mereka sudah mula menyembunyikan muka di bawah ketiak pemimpin-pemimpin utama mereka. Shahrizat juga banyak dapat maklumat mengenai perangai pemimpin pembangkang ini.
Jadi, kalau Kit Siang boleh mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat dakwaan berlaku seorang anak orang besar di Pulau Pinang mencabul budak perempuan, lebih elok saya rasa.
Suara seorang pemimpin yang dikenali sebagai seorang yang cukup rasis akan memberi kesan. Sambil itu, Kit Siang desak juga anaknya, bapa kepada cucunya, supaya bercuti dan sambung cuti sementara siasatan dijalankan. Jangan minta Shahrizat disambung cutinya tetapi mintalah anaknya bercuti kerana cucunya dikatakan mencabul.
Kalau Shahrizat mahu didesak kerana suaminya didakwa oleh PKR, kenapa pula Kit Siang atau Guan Eng tak mahu bercuti. Mereka berdua ini terlalu berkuasa dalam DAP. Bapak, anak dan menentu semuanya dapat bertanding dalam pilihan raya. Sebab mereka ini sama-sama “berkuku” dalam partinya.
Orang Umno, ambil maklumat ini. Gunakan maklumat ini supaya mereka menyerang Kit Siang dan anaknya yang bernama Guan Eng kerana cucu Kit Siang dan anak Guan Eng didakwa mencabul budak perempuan.
Kalau boleh, orang Umno yang minat kat Anwar Ibrahim, bantu juga Anwar Ibrahim mencari jam Omega milik Anwar yang dikatakan sudah disimpan oleh pihak tertentu, kerana tertinggal dalam sebuah bilik yang ada pelacur. Saya tak percaya dakwaan ini tetapi inilah yang diceritakan oleh orang politik di Kuala Lumpur.
Wanita Umno yang takut-takut nak keluarkan kenyataan menyokong Shahrizat, boleh secara senyap-senyap menyokong Kit Siang kerana Kit Siang sedang mencari jalan bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap cerita cucunya mencabul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan