Ahad, 29 Januari 2012

MB Terengganu minta blogger jangan fitnah

Oleh Zainal Yusof



TERKEJUT saya bila menonton TV1 sebentar tadi (Berita Jam 1) yang melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengadakan pertemuan dengan 80 blogger dari dalam dan luar Terengganu.

Maklumlah, blogger saya ini, sejak sekian lama merupakan antara blog yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad tetapi tidak dipelawa untuk hadir sama dalam pertemuan tersebut. Walau bagaimana pun, saya mengambil sikap mahu terus menyokongnya kerana saya nampak beliau seorang pemimpin yang ikhlas.

Tak apalah. Mungkin bukan beliau yang menguruskan jemputan kepada blogger yang menghadirkan diri ke majlis itu tetapi diuruskan oleh orang lain dan orang itu tidak kenal dengan saya. Ini semua perkara kecil dan saya tidak perlu berkecil hati.

Cuma, saya nak ulas mengenai kenyataannya kepada blogger supaya jangan memfitnah. Saya memang cukup berminat untuk berbicara dan berbincang mengenai fitnah di kalangan penulis-penulis, khususnya penulis media baru.
Para blogger yang mungkin tidak terlatih secara khusus dalam bidang penulisan, cubalahmenyelidik dahulu apa yang hendak ditulis dan apa yang hendak diulas. Jangan buat dulu dan kemudian baru nak siasat. Jika sudah tersiar, tentu ada yang tersentuh dan tentu ada yang terkena.
Setiap kali saya menulis, saya memang sering mengingatkan para blogger, berhati-hati menulis dan jangan sesekali memfitnah.
Saya juga meminta jangan mereka menyambung fitnah yang kadang-kadang dibuat oleh pembangkang.
Dalam konteks Terengganu, pernah berlaku seorang pegawai kepada Menteri Besar difitnah dan kesnya dibicarakan di mahkamah.
Alhamdulilah, peringkat awal, pemfitnah sudah dijatuhka hukuman dan ternyata orang yang membuat fitnah itu adalah dari kalangan orang Umno sendiri. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpengaruh dengan pesanan ringkas (SMS) yang mereka terima dan membuat laporan polis.
Kecoh seketika politik Terengganu. Sedikit sebanyak, Datuk Seri Ahmad Said juga terganggu dengan tugasnya yang banyak. Namun, beliau bersabar dan meneruskan kerja-kerja yang beliau perlu lakukan.
Ada seorang blogger yang pernah berkhidmat kepada salah seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu pula tak habis-habis menimbulkan pertanyaan apakah bertahan Datuk Seri Ahmad said sebagai MB Terengganu. Diserangnya sesiapa sahaja ketua-ketua bahagian yang dilihat menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad.

Ada pula blogger yang menuduh Datuk Seri Ahmad Said ditangkap khalwat. Blogger yang didakwa penyokong pembangkang dan berlagak macam seorang ustaz itu sedang menanti kesnya disebut di mahkamah kerana Datuk Seri Ahmad mengambil tindakan menyamannya.
Tak tahulah, apakah kes ini berkesudahan dengan keputusan bagaimana, kerana kemungkinan para blogger yang berlagak macam ustaz ni akan mungkin memohon maaf seperti mana yang dilakukannya kepada Presiden KITA, Datuk Zaid Ibrahim.
Itu tak penting. Dia nak mohon maaf dan nak buat lagi, buat isunya tetapi mereka ini sudah jadikan fitnah sebagai budaya penulisan mereka.

Sebenarnya ramai penulis dan blogger yang kaki fitnah. Nasib mereka baik kerana mereka tidak dikenakan tindakan saman oleh mereka yang kena fitnah.

Baguslah bila ada seorang pemimpin seperti Datuk Seri Ahmad Said yang mengingatkan blogger supaya menyelidik sesuatu dakwaan sebelum menulis mengenainya.

Jika tidak, ia akan menjadi fitnah dan fitnah itu berdosa. Saya tidak tahu apakah blogger ini tahu dosa itu apa. Saya takut mereka tidak tahu apa itu dosa dan mereka tidak sedar apa itu fitnah.
Saya berharap selepas ini, blogger yang sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, menulislah sesuatu yang baik untuk Negeri Terengganu yang teruk kena fitnah. Seorang ADUN PAS disaman oleh Menteri Besar Terengganu kerana merasakan tuduhan berlaku penyelewengan dalam pengagihan pakaian sekolah anak-anak miskin di Terengganu.
Saya lihat Menteri Besar Terengganu ini cukup banyak menghadapi halangan dan rintangan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.
Macam-macam fitnah dilemparkan kepadanya. Namun dengan tenang beliau menghadapinya. Satu ketika, ada desas-desus mengatakan Perdana Menteri akan memecatnya sebagai Menteri Besar. Ada juga kejadian seorang ADUN Umno bertindak memalukannya di depan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika Hishammuddin menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Yang ajaibnya, Datuk Seri Ahmad tidak menjawab dan tidak mempertahankan diri ketika difitnah. Malahan, beliau khabarnya masih boleh tersenyum dan tabah menerima serangan yang memalukannya itu.
Saya tidak hairan kalau ada orang-orang Umno yang tidak bersetuju dengan Datuk Seri Ahmad akan mendapatkan khidmat dari orang-orang PAS untuk memburuk-burukkan beliau.
Mengenali Datuk Seri Ahmad Said, walaupun ramai tahu beliau seorang yang keras dan tegas tetapi dalam banyak hal, beliau meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadinya.
Itulah sebabnya, kurang betul publisiti mengenainya tetapi banyak isu-isu pembangunan dan pendidikan diberikan publisiti.
Rakyat Terengganu tentunya bertuah dianugerahkan seorang pemimpin seperti Datuk Seri Ahmad Said. Beliau betul-betul dekat dengan rakyat dan sentiasa mendampingi rakyat.
Beliau menterjemahkan hasrat Perdana Menteri yang mahu pemimpin merasai denyut nadi rakyat.

Tiada ulasan: