Ahad, 29 Januari 2012

Budak DAP kata DAP pejuang nasib orang Melayu

Oleh Ahmad Hj Ishak



Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari menulis panjang lebar mengenai sejarah perjuangan DAP membela nasib orang Melayu dalam portal pro pembangkang, hari ini. Saya tidak berminat untuk mengulas keselurahan tulisannya itu tetapi saya nak petik satu dua hal yang saya nak betulkan faktanya.

Saya tidak tahu apakah Zairil Khir Johari ini anak kepada bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Khir Johari atau bukan, tetapi saya hanya mahu komen tulisannya dan tidak mahu komen siapa dia dan siapa bapanya.

Saya kenal dengan Allahyarham Tan Sri Khir dan saya tahu hatinya cukup baik dan pandangan terhadap Umno cukup tinggi. Saya mendoakan agar Tan Sri Khir mendapat tempat di kalangan para solehin di alam barzakh.

Zairil dilantik menjadi Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas sebab dia layak barangkali. Saya tidak fikir dia dilantik ke jawatan itu kerana sumbangannya kepada DAP atau kerana dia anak kepada Khir Johari.

Malangnya, dia terlibat sama dengan DAP untuk terus mengajak orang ramai yang membaca tulisannya supaya terpesong fikirannya kerana mahu menjadikan hujahnya, sama dengan hujah tiga budak Melayu yang masuk DAP baru-baru ini.

Zairil membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden Umno mengenai DAP yang kian giat menarik orang Melayu menyertai partinya kebelakangan ini, bukan kerana mahu memperjuangkan nasib orang Melayu, tetapi mahu menguasai politik negeri-negeri yang tidak boleh melantik Menteri Besar dari kalangan bukan Melayu.

Maka, seorang dua budak-budak Melayu (termasuk Zairil) masuk DAP kerana “ada tawaran di sana” setelah mereka ini tidak dipedulikan oleh sesiapa di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mengenai Zairil katakan Guan Eng membela anak gadis Melayu yang dicabul dan akhirnya Guan Eng masuk penjara kerana undang-undang berat sebelah, saya nak tegaskan di sini, kalau kita bodoh, janganlah ajak orang lain bodoh sama.

Di mana Zairil ketika Guan Eng memfitnah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik ketika itu? Guan Eng bukan membela budak perempuan Melayu tetapi Guan Eng memperalatkan perempuan Melayu, nenek kepada budak perempuan ini untuk mendakwa Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik terlibat dengan budak di bawah umur.

Ternyata, fitnah yang dia buat, dia cetak risalah dan dia pergi pusing Malaysia untuk memfitnah itu, akhirnya dia disumbat ke dalam penjara. Dia dibicarakan bukan kerana membela budak perempuan Melayu tetapi didakwa kerana memfitnah.

Dua perkara berbeza yang Zairil perlu tahu (saya percaya dia tahu tetapi buat-buat tak tahu), Guan Eng tidak langsung membela sesiapa kerana budak itu tidak perlu dibela. Malahan, budak itu sendiri sudah berkali-kali mengaku bahawa dia tidak pernah diperkosa dan tidak pernah ada apa-apa masalah dicabul atau sebagainya.

Namun, atas kepentingan politik DAP, Guan Eng yang memang hendak menjatuhkan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dari kerusi Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, mungkin juga ada kaitan dengan usaha beberapa orang dalam Umno, dengan tujuan dan niat yang sama, akhirnya menerima akibat apabila dia didakwa kerana memfitnah.

Bacalah balik pertuduhan yang dikenakan ke atas Guan Eng. Janganlah kerana Guan Enng menjadi banduan dan kini menjadi Ketua Menteri, zairil mahu membelanya hingga berbohong kononnya Guan Eng dijatuhkan hukuman penjara kerana undang-undang yang berat sebelah.

Saya tak tahu Zairil ni faham atau tak pepatah Melayu, tangan yang mencincang, bahu yang memikul. Kalau Guan Eng berani buat (Fitnah), kenapa dia takut untuk menghadapi pendakwaan dan hukuman? Janganlah cuba nak baling batu sembunyi tangan. Janganlah nak mendakwa undang-undang berat sebelah menyebabkan Guan Eng dipenjarakan.

Sekarang ni Guan Eng sedang berdepan dengan dakwaan anaknya terlibat dalam hal mencabul anak orang. Dia sudah menafikan dan Umno dikatakan terlibat dengan cerita ini. Kalau Guan Eng betul-betul berada di pihak yang benar dan anaknya memang tidak melakukan seperti yang didakwa, jangan bimbang.

Undang-undang ada dan seret mereka yang dia dakwa memfitnah itu ke muka pengadilan. Jangan cakap pasal undang-undang berat sebelah atau sebagainya, kerana yang betul akan menang dan yang salah akan didapati bersalah.

Zairil Khir Johari menjadi budak malang dalam DAP jika dia dijadikan perkakas oleh DAP untuk berbohong kepada orang ramai. Kalau saya yang menjadi Pengarang portal pro pembangkang yang menyiarkan tulisan Zairil itu, saya tidak akan melakukannya.

Editor itu tidak bertanggungjawab menyiarkan sesuatu yang tidak betul. Guan Eng masuk penjara bukan kerana membela budak perempuan Melayu tetapi Guan Eng masuk penjara dan menjadi banduan kerana kesalahan memfitnah. Dia memfitnah dalam bentuk tulisan (cetakan) dan ceramah.

Jangan cuba putar-belit fakta. Zairil jangan jadi budak yang diupah menulis perkara yang tidak betul. Saya tahu ramai yang membaca tulisannya itu dan akhirnya akan percaya apa yang dia tulis tetapi dia akan bertanggungjawab dari dunia sampai akhirat dengan pembohongannya itu.

DAP, memang parti ini bukan parti yang mempunyai sejarah membela Melayu dan jika ada orang yang mendakwa DAP sebuah parti pembela orang Melayu, ia seperti ada sesuatu yang perlu dilihat secara menyeluruh. Mungkin yang bercakap itu otaknya sudah “terkena virus” atau “virus sudah masuk ke otaknya”.

Ramai orang yang sudah lupa kenapa Guan Eng masuk penjara. Ada yang tak tahu pun yang Guan Eng pernah masuk penjara. Kesalahan yang dia lakukan, kini sudah berbalik kepada dirinya kerana “anaknya didakwa mencabul”. Kalau dia betul-betul “bersih dan anaknya juga bersih” kenapa nak kecoh-kecoh. Kita jumpa di mahkamah.... beritahu kepada orang yang memfitnah itu.

Tiada ulasan: