Oleh Wan Yusof Wan Ngah
KALAU saya ahli PAS, saya akan bangkit menyokong langkah Presiden PAS, dulu dkenali dengan panggilan Yang DiPertua (YDP),Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang berundur dari kerusi Ahli Parlimen dan ADUN, dan kalau boleh sebagai Presiden.
Walaupun alasan Hadi, sebab sudah lama sangat berkecimpung dalam politik, tetapi sebenarnya di tangan Hadilah PAS berubah menjadi sebuah parti politik kerana himpitan PKR dan DAP yang ingin sangat menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dari segi rekod politik, Hadi sebenarnya pernah didakwa berminat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan antara PAS dengan BN tetapi disebabkan tidak dipersetujui Tok Janggut dari Kelantan, maka Presiden PAS dari Terengganu ini terkelu lidahnya, tergamam dia diserang oleh Tok Janggut.
Sebelum PAS hancur, memang eloklah Hadi bersara. Kemampuannya sudah mula dipertikaikan dan jangan nanti kerana dia, PAS akan kalah teruk dalam PRU 13 dek terlalu bergantung kepada DAP dan PKR.
Satu masalah paling besar yang Hadi ada ialah dia tidak secerdik Allahyarham Datuk Fadzil Nor. Jauh sangat kalau nak banding Hadi dengan Ustaz Fadzil. Begitu juga dengan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dan Allahyarham Ustaz Yusof Rawa yang fasih berbahasa Inggeris.
Dari segi pencapaian politik, dia sudah mencapai banyak kedudukan tinggi. Pernah jadi Menteri Besar Terengganu, pernah jadi Ketua Pembangkang DUN Terengganu, pernah jadi Ketua Pembangkang dan pernah menang dan kalah kerusi Parlimen Marang.
Dari segi kerja, rakyat di kawasannya tahu dia bukan seorang wakil rakyat yang bagus tetapi disebabkan namanya gah di persada politik nasional, maka pengundi mengundinya. Tetapi, apakah khidmat baktinya di kawasannya?
PAS akan terus sesat jika orang seperti Hadi menjadi Presiden. Jika kepimpinan ulama diharapkan selepas Allahyarham Asri, Hadilah ulama yang terkahir menjadi Presiden parti itu. Usaha mahu menegakkan negara Islam sudah dilupakan di zaman Hadi dan menukarkan kepada Negara Berkebajikan, Hadi akan dicaci oleh generasi akan datang selepas ketiadaannya kelak.
Jika dia seorang pemimpin yang cerdik, dia sepatutnya bekerjasama dengan Umno dan BN selepas PRU 12 yang lalu. Apa tidaknya, namanya akan harum kerana dia menyelamatkan kuasa politik Melayu dan Islam. Tetapi, disebabkan terlalu takut dengan himpitan DAP dan PKR, maka PAS menjadi seperti sekarang dengan Tok Janggut dari Kelantan menguasai arah tuju politik PAS.
Tok Janggut Kelantan ini sudah terlalu tua. Dia uzur dan dia tidak boleh berfikir dah. Itulah sebabnya dia didakwa pernah berkata, Nabi Muhammad itu ketika kecilnya sama seperti mamat di kampungnya, kat Kelantan.
Pun, Hadi yang mempunyai ilmu agama yang tinggi tidak berani menegur keceluparan dan keterlanjuran Tok Janggut dari Kelantan itu. Sebab apa, sebab Hadi takut dengan pengaruh Tok Janggut dalam PAS.
PAS bakal menghadapi kesukaran dalam mengharungi politik akan datang. PAS tidak dapat menangkap perangkap yang dipasang oleh kawan-kawannya yang kemaruk nak menjadi Perdana Menteri. Kalau dulu, PAS turut bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, sekarang PAS sudah mula kecut kerana mereka mungkin terkepung dek serban dan jubah yang mereka pakai.
Saya hormati keputusan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali menjelajah ke seluruh negara menerangkan cerita “parasit”. Ya, suatu hari nanti parasit yang ada dalam PAS ini akan menyebabkan PAS berpenyakit dan mati.
Jadi, kesimpulannya, memang elok kalau Hadi bersara. Bersara dan berundur teruslah dari kepimpinan parti. Serahkan sahaja kepimpinan parti kepada sohibul samahah Mohamad Sabu yang disanjung tinggi oleh orang-orang PAS sekarang. Secara kebetulan Mohamad Sabu dan Anwar Ibrahim datangnya dari Pulau Pinang. Biar mereka jadikan PKR dan PAS ini sebagai “pasukan boria”. Sesuai sangat dengan Lim Guan Eng yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ketiga-tiga mereka datang dari Negeri Nasi Kandar...... dahsyat putaran politik pembangkang ini.
Orang Kelantan dan orang Terengganu termasuk mereka dari Kedah, yang selama ini mendominasi politik PAS, bolehlah bungkus tikar bantal, menunggu saat-saat PAS terjun ke laut bersama-sama siluncai yang mereka pilih untuk menerajui parti-parti mereka.
Hadi tentu sedar dia tidak layak menjadi calon Perdana Menteri. Kata orang Umno kepada Hadi, pakai seluar pun tak berapa pandai, nak jadi Perdana Menteri macam mana? Saya tidak pula tahu apa maksud yang mereka katakan Hadi tidak tahu pakai seluar.
Dalam PAS hari ini, orang sekular nampaknya terlalu berkuasa. Maka, para ulama yang berserban ini semakin ketepi. PAS akan menafikan semua ini tetapi sesekali PAS kena mengakui hakikat bahawa mereka bukan sebuah parti yang digeruni sekarang kerana terlalu takut dengan DAP.
Itulah sebabnya, pemecatan Dr. Hasan Ali dikatakan ada kaitan dengan himpitan PKR melalui Azmin Ali dan DAP, melalui beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Selangor yang tidak setuju dengan Dr. Hasan.
Apakah Hadi tidak malu apabila PKR yang menjadi Exco Agama Islam di Selangor? Apakah PKR tidak percaya dengan kemampuan orang PAS sebagai Exco Agama Islam? Walaupun macam-macam alasan boleh mereka reka tetapi mereka juga kena mengakui hakikat bahawa jawatan itu sepatutnya di kalangan mereka yang sandang.
Apa yang Khalid Ibrahim boleh lakukan mengenai Hal Ehwal Agama Islam dengan kesibukannya sebagai Menteri Besar?
Lagipun Khalid menerima jawatan itu (sebenarnya dia melantik dirinya sendiri) kerana himpitan demi himpitan yang dia terima.
Maka, eloklah Hadi berundur.... kalau boleh, sekarang. Lagi cepat lagi baik buat PAS. Hadi sudah tidak mampu... eloklah beri laluan kepada Mohamad Sabu yang lebih enegetik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan