Rabu, 27 April 2011
Zin Mampu Lakukan Sesuatu di Selangor
Oleh Norhaizat Abd Samad
NAMA Datuk Sri Ir Mohd Zin Mohamad bukan nama baru dalam politik negara ini. Beliau mencipta nama sebagai salah seorang pemimpin muda yang berpotensi ketika masih menjadi Exco Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, lebih 10 tahun yang lalu.
Hari ini, selepas memenangi kerusi Majlis Tertinggi (MT), tiba-tiba Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mengekalkannya sebagai Menteri Kerja Raya – hingga menimbulkan tanda-tanya.
Namun, sebagai seorang ahli politik yang matang, Mohd Zin kelihatan tenang apabila digugurkan, kerana dalam satu ketika lain, beliau merupakan lagenda politik Melayu (Umno) kerana berjaya menjadi Menteri Kerja Raya, satu-satunya jawatan menteri kabinet yang dikuasai MIC sejak sekian lama.
Ramai yang terkejut, kerana dalam ramai-ramai pemimpin Umno, kenapa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh melantiknya – satu jawatan yang agak kanan.
Tentulah PM ketika itu mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap kemampuan Mohd Zin yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya – dan kemudiannya menjadi Menteri Kerja Raya, yang kini tempatnya digantikan seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Shaziman Mansor.
PM Najib tentulah mempunyai agendanya sendiri, mengapa Mohd Zin digugurkan, walaupun ada yang mengatakan Mohd Zin lebih dikenali sebagai “orang Pak Lah” daripada “orang Najib” tetapi, sesiapa sahaja yang mengenali Mohd Zin pastinya tahu, Mohd Zin adalah orang PM Najib sejak sekian lama.
Hari ini, PM Najib yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, tiba-tiba melantik Mohd Zin menjadi Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan terkini, melantik Mohd Zin menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor.
Jika PM Najib menjadi Pengerusi dan Mohd Zin menjadi Setiausaha, ia bererti satu gandingan yang rapat, macam dagu dengan janggut. Pengerusi mana boleh bergerak tanpa Setiausaha dan begitulah, dagu (lelaki) tidak sah sebagai dagu jika tidak berjanggut. Makin dicukur, makin tumbuh ia.
Mengenali Mohd Zin, beliau seorang yang tegas dan teliti. Dari satu pihak yang rapat dengannya memberitahu, beliau sekarang bekerja keras, mencontohi PM Najib, memastikan Barisan Nasional (BN) di Selangor kembali memerintah negeri termaju di Malaysia itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), tidak lama lagi.
Dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), khabarnya Mohd Zin sudah mengenal pasti boleh menang 31.
Apakah Mohd Zin ambil kira sokongan pengundi Cina dalam India ketika membuat perhitungan ini?
Jadi, ketua-ketua bahagian di Selangor, sama ada yang masih bergelar Yang Berhurmat atau tidak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor sepatutnya sentiasa mendekati Mohd Zin untuk membincangkan gerak-kerja yang mantap bagi memastikan kawasan yang mereka wakili boleh menang semula.
Manakala mana-mana kawasan DUN yang tewas, boleh diambil semula jika kena cara bekerja, tahu menyusun kerja dan kenal pasti potensi pengundi dan penyokong yang bakal mengundi BN.
Baru-baru ini, Mohd Zin membawa Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melawat Selangor sehari suntuk.
Bermula di Sepang dan Sijangkang, Muhyiddin mengakhiri lawatannya di Cempaka, sekitar Pandan dan Ampang yang memperlihatkan ribuan rakyat jelata menghadiri perjumpaan tersebut.
Apakah Mohd Zin seronok dengan sambutan tersebut? Kata seorang kawannya, Mohd Zin cukup puashati dengan sambutan yang rakyat Selangor berikan terhadap Muhyiddin tetapi beliau berjanji mahu mengadakan perhimpunan lebih besar apabila membawa PM Najib turun ke Selangor kelak.
Kata orang yang kenal dengan Mohd Zin, Mohd Zin pernah mengakui, Umno Selangor merupakan Umno yang tersusun gerak-kerjanya. Tidak sukar untuk menyusun strategi dan memenangi hati pengundi muda dan mereka yang pernah merajuk suatu ketika dahulu.
Khabarnya, Mohd Zin juga mendapat maklumat, pegawai-pegawai kerajaan negeri juga sudah kembali menyokong BN kerana mereka sudah nampak gerak kerja kerajaan negeri sekarang tidak sama dengan gerak kerja kerajaan BN.
Mereka sedar, tidak banyak pembelaan terhadap rakyat dapat dilakukan jika mengekalkan kerajaan pembangkang sekarang, sebaliknya jika memilih BN, banyak perancangan yang pernah diatur suatu ketika dahulu, dapat diteruskan.
Hari ini, jika ADUN-ADUN BN sentiasa mendampingi Mohd Zin dan menerima arahan darinya, bukan sahaja kawasan yang mereka wakili dapat dikekalkan dengan majoriti yang bertambah malahan, DUN-DUN di sekitarnya akan dapat ditawan semula.
Melihat kepada kebijaksanaan PM Najib yang berjaya menarik balik keyakinan rakyat kepada BN, tidak mustahil perlantikan Mohd Zin disebabkan keyakinan PM Najib terhadap kemampuan dan kebolehan Mohd Zin menterjemahkan agenda PMNajib di peringkat Negeri Selangor hingga ke akar umbi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Mutu juga mengenali maknikam
Catat Ulasan