Jumaat, 1 April 2011

Kes Video : Tan Sri Rahim Kena Bertindak

Oleh Saiful Malik Muda




BANYAK tulisan dan komentar yang dapat kita baca mengenai kes video seks yang didakwa melibatkan seorang tokoh pembangkang.
Yang nyata, salah seorang dari tiga Datuk T itu, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik antara yang diserang hebat keperibadiannya oleh mereka yang menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam Malaysiakini sendiri, cara laporan berita yang dikeluarkan Rahim, ditulis dalam bentuk “dendam kesumat” antara wartawan dengan Rahim.

Mereka mengungkit kisah lama, kononnya Rahim tidak didakwa kerana hubungannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, seolah-olah begitulah maksudnya.

Para pembaca turut membuat komen. Ada yang terus menuduh Rahim terlibat dengan kes merogol. Apakah ada keberanian di pihak Rahim untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal dan para komentar ini?

Anak kepada Anwar, Nurul Izah turut membuat laporan polis. Khabarnya laporan itu dikepilkan bersamanya satu surat yang tidak ditandatangan kononnya dari seorang pesaran polis bernama Mat Zin Ibrahim.

Dalam surat itu tertulis bahawa Mat Zin ini bekas seorang pegawai polis berpangkat SAC 11 yang sudah bersara. Dia mendakwa dialah pegawai polis yang pernah menyiasat empat laporan polis yang pernah Anwar buat dalam tahun 1999.

Dia mendakwa dia adalah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur. Dari apa yang saya faham melalui tulisannya ini, amatlah malang PDRM yang pernah mempunyai seorang pegawai berperangai seperti ini. Mungkin dia ada masalah ketika bertugas atau dia pernah mahu berniaga tetapi bengkrap. Ini anggapan saya dan mungkin anggapan ini tidak betul kerana bukan semua anggapan saya betul belaka.
Surat empat muka surat itu, penuh dengan nada kebencian dan dendam kesumat. Tuduhan dan dakwaan yang dibuat terhadap Rahim dan Tan Sri Gani Patail sungguh dahsyat – dan jika benarlah dia seorang bekas pegawai kanan polis, amatlah malang PDRM pernah mempunyai seorang pegawai yang begini rendah moralnya.

Semua benda yang dia tahu, mahu didedahkannya. Lebih-lebih lagi jika perkara yang dia tahu itu ada kaitan dengan Rahim. Dia benci betul dengan Rahim dan Gani, cara dia menulis surat itu.

Kalau betullah dia menulis surat itu sebab surat itu tidak bertandatangan. Tetapi zaman ini adalah zaman internet. Memang banyak surat-surat tidak bertanda-tangan tetapi ia merupakan surat tulin.

Bayangkan, kalau semua anggota dan pegawai polis, kalau dia bersara (lebih-lebih lagi bersara awal), dia mendedahkan perkara-perkara yang dia tahu. Bukankah ada sumpah rahsia dan sumpah memegang jawatan sebagai seorang pegawai polis. Mengapa dia tidak hurmat kepada sumpah tersebut.

Kalaulah Rahim mempunyai pegawai atau kakitangan yang boleh memantau portal dan laman web, tolonglah ambil tindakan terhadap mereka yang menuduh dan memfitnahnya. Kena ajar orang yang biadap ini dengan undang-undang kerana jika tidak, mereka ini akan terus memfitnah.

Sudah banyak kali laman web dan portal yang pro-pembangkang menyerang peribadi pemimpin. Bagi mereka, jika peribadi pemimpin Umno, ia kotor belaka tetapi jika peribadi tokoh pembangkang, ia bersih dan suci.

Tiada sesiapa yang lebih berani dari Rahim dalam hal undang-undang ini. Rahim pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau tentunya mempunyai pengetahuan yang cukup luas kepada skop dan bidang yang “boleh” dan yang “tidak boleh”.
Dulu, Rahim pernah menyaman sebuah majalah luar negara kerana memfitnahnya. Rahim menang dalam saman ini.

Ingat, jasa Rahim yang paling besar ialah “menyumbat” Lim Guan Eng ke penjara. Siapa yang lebih hebat dari Rahim berdepan dengan fitnah? Orang lain bertempik ke sana ke mari tetapi Rahim menyeret orang yang membuat fitnah ke muka pengadilan.
Tapi, biasalah. Orang Umno lupa jasa Rahim. Mereka hanya suka bercakap soal kelemahan Rahim dan tidak langsung mahu mengucapkan terima kasih kepada Rahim kerana menyumbat Lim Guan Eng ke penjara.

Kali ini, kita tengok siapa pula yang akan masuk penjara kerana memfitnah Rahim. Mudah-mudahan Rahim yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka masih mempunyai semangat seperti semangat Hang Tuah yang difitnah!

Tiada ulasan: