Selasa, 29 Mac 2011

Isu Insuran Kereta Lama : Rakyat Bersyukur

Oleh Hassan Md Hussein


RAKYAT Malaysia sepatutnya bersyukur. Bersyukur kerana mempunyai seorang wakil rakyat, seorang Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz yang sering bercakap di Parlimen, isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Dua minggu lalu, Datuk Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Umno menyentuh mengenai sikap tidak wajar syarikat insuran yang enggan memperbaharui insuran kereta dan motosikal yang berusia lebih 10 tahun.
Jika mereka mahu memperbaharuinya pun, harga insuran itu dinaikkan, dari tidak sampai RM100 sebelum ini, kepada RM300 – satu kenaikkan yang paling tidak wajar dan betul-betul mencekik darah.
Apabila Datuk Mohamad menimbulkan perkara ini di Parlimen, ramailah yang turut menyokong isu ini tetapi yang pentingnya, bukan sokongan dari pihak lain termasuk pembangkang, sebaliknya apakah ia mendapat perhatian Bank Negara dan Kementerian Kewangan.
Syarikat Insuran, kebanyakkannya melantik agen, mengaut bukan sedikit keuntungan dari insuran kereta lama ini, sejak kerajaan memperkenalkan rebet suatu ketika dahulu. Rebet ini diperkenalkan kerajaan dalam era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Shahrir Abd Samad menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Barangkali, syarikat insuran merasakan bahawa mereka tidak mengambil wang rakyat tetapi mereka mendapat wang kerajaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat, khususnya golongan susah yang masih menggunakan kenderaan-kenderaan lama.
Syarikat insuran, tanpa mengambil kira bahawa mereka sudah ‘kenyang makan’ insuran kereta ini, tetapi masih mahu terus makan tanpa mengambil kira khidmat social, sebaliknya mahu terus mengaut keuntungan.
Memang betul ada pengguna menggunakan kereta lama sebagai permulaan mereka menggunakan kereta, tetapi ada juga yang menggunakan kereta yang sama, sejak mula dibeli hinggalah ia berusia lebih 10 tahun.
Apakah tidak puas-puas lagi syarikat insuran ‘kenyang makan’ dari semua kenderaan ini hingga mereka mahu menyiksa pengguna yang kurang berkemampuan untuk terus membeli kereta baru?
Kementerian Kewangan dan Bank Negara sepatutnya malu dari apa yang ditimbulkan Datuk Mohamad ini. Beliau tentunya menerima aduan dari rakyat di kawasannya atau mungkin juga dia kutip semua aduan dan keluh kesah ini ketika dia berkempen di Tenang, Melimau dan Kerdau.
Rakyat yang menggunakan kenderaan lama ini, termasuk motosikal yang suatu ketika dahulu insuran hanya berharga sekitar RM50, kini terpaksa membayar lebih dari RM180 untuk membeli insuran sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.
Barangkali wakil-wakil rakyat lain, tidak mengetahui masalah yang dihadapi rakyat ini. Mereka pun tidak tahu kesusahan rakyat ini kerana mereka menggunakan kenderaan baru dan tidak ada kenderaan yang berusia lebih dari 10 tahun.
Nasib baik ada seorang wakil rakyat Melayu dan faham erti kesusahan membawa isu ini ke Parlimen. Seperti biasa, ramailah yang menyokongnya dan mengambil kesempatan dari isu ini untuk mencari populariti.
Malahan, ada yang bercakap di luar, kononnya isu ini mereka lebih dahulu dari Ahli Parlimen Sri Gading memperjuangkannya.
Pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan dan Bank Negara terlalu sibuk dengan tugas mereka. Mereka sibuk hendak memperbetulkan tali leher dan mereka sibuk dengan cerita kehidupan mereka.
Mereka tidak ada masa mahu memikirkan soal rakyat yang tersiksa dengan karenah syarikat insuran ini. Malahan, mereka pun tidak ada idea untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya memberikan lesen syarikat insuran kepada Pejabat Pos atau mana-mana syarikat yang bersedia menjalankan perkhidmatan ini.
Lupakan sahaja syarikat-syarikat insuran yang besar-besar dan gah ini. Mereka sudah cukup kaya dan boss-boss mereka semuanya menggunakan kenderaan mewah yang berharga jutaan RM. Apakah mereka masih mahu melayani penderitaan orang-orang miskin dan orang-orang susah ini?
Kalau boleh, kerajaan memikirkan apakah boleh agensi-agensi kerajaan diberikan lesen insuran. Selain Pejabat Pos, mungkin MARA juga boleh diberikan lesen kerana dari keuntungan yang bakal diperolehi nanti, bolehlah MARA beri biasiswa kepada pelajar-pelajar bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang insuran.
Ini satu cadangan dan saya percaya jika Datuk Mohamad Aziz tahu cadangan ini, dia pasti bersetuju dengan idea ini kerana syarikat insuran sebenarnya untung besar dari perniagaan insuran mereka walaupun mereka tidak mengakuinya.
Mereka memang tidak akan bersedia menjalankan khidmat social. Mereka sanggup terus menipu pengguna dengan tawaran ‘tow trak’ tetapi hakikatnya semua itu penipuan. Mereka hanya sedia ‘memberi perkhidmatan menarik kereta’ kalau kereta itu rosak di sekitar bandar tetapi kalau kenderaan yang rosak itu lebih dari 50 KM dari bandar, mulalah mereka berbelit-belit bercakap yang akhirnya meminta bayaran.
Maknanya, tawaran ‘tow trak’ ini mereka beri kepada kenderaan yang mereka yakin tidak akan rosak di tengah jalan kerana usianya baru tetapi tawaran tow trak ini tidak ada jika kenderaan itu sudah ‘tua dan uzur’.
Terima kasih Datuk Mohamad Aziz dan bawalah sama cerita ‘tow trak’ ini jika Datuk masih ada peluang bercakap soal syarikat-syarikat insuran ini. Mudah-mudahan YB Datuk akan dipilih lagi bertanding mewakili BN di Parlimen Sri Gading kerana perjuangan yang Datuk lakukan amat menyentuh hati-nurani rakyat seperti saya.

Tiada ulasan: