Oleh Malek Saiful Muda
SEBAGAI seorang rakyat negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang melantik beberapa orang penceramah terkenal untuk bekerja dengan kerajaan negeri.
Saya mendengar berita ini ketika menghadiri satu majlis perkahwinan saudara sepupu saya di Dungun baru-baru ini, bahawa Menteri Besar telah melantik Ustaz Kamal Saidin, penceramah terkemuka dari Pendang, kedah menjadi Pengawai Khas Agama di Pejabat Menteri Besar.
Pernah dahulu saya mendengar ceramah dari ustaz Kamal Saidin, ternyata keputusan YAB Menteri Besar adalah satu keputusan yang cukup bijak. Cara Ustaz Kamal memberi penjelasan satu-satu isu dan menjawab tohmahan PAS, amat tersusun dan berfakta.
Ketika menghadiri majlis-majlis ceramah di PRK Tenang baru-baru ini, saya dapat mendengar sendiri ceramah Ustaz Kamal Saidin.
Oh! Sungguh hebat dan jikalah ada penyokong PAS yang mendengar Ustaz Kamal berceramah, saya yakin mereka akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno kerana PAS banyak berbohong manakala Umno kurang bercakap tetapi banyak melaksanakan.
Bayangkan, kalau membuang duri di atas jalan Allah janjikan pahala, mustahil jika Umno dan kerajaan membina jalan tidak mendapat pahala.
Hujah-hujah Ustaz Kamal bersahaja tetapi penuh dengan fakta dan beliau juga akan menyebut ayat-ayat Quran serta hadiz nabi, apabila memberi penjelasan. Dia bukan tong kosong, macam penceramah PAS yang membaca sekerat-sekerat ayat Quran, yang boleh menguntungkan PAS.
Khabar terbaru, YAB Menteri Besar khabarnya turut melantik bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohd Fairuz Khairuddin yang dibuang dan diberi tekanan oleh PKR kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sukakannya.
Dr. Mohd Fairuz juga seorang pemidato handal yang cukup hebat tetapi mungkin Umno Pulau Pinang tidak memerlukan khidmatnya menyebabkan Umno Terengganu mengambilnya seperti mana Ustaz Kamal Saidin yang dilihat tidak mahu digunakan sepenuhnya oleh Umno Negeri Kedah.
Saya berharap sangat, setiap DUN di Terengganu menyusun program untuk menjemput Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz untuk berceramah dan menyampaikan pidato mereka.
Amatlah rugi rakyat Terengganu jika melepaskan peluang mendengar ceramah dari kedua-dua tokoh terkemuka ini. Bila-bila pun mereka boleh membidas serangan penceramah PAS yang tidak ada kelulusan agama seperti Naib Presiden PAS, Datuk Mahfudz Omar.
Begitu juga dengan pidato Mohamad Sabu yang banyak mengarut dari fakta, tentunya dengan mudah boleh dibidas oleh Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz.
Saya berharap YAB Menteri Besar Terengganu turut memberi kebebasan untuk Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz untuk berceramah ke negeri-negeri lain, termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.
Bagi Kedah dan Pulau Pinang, mungkin penceramah ini tidak diperlukan kerana mereka mempunyai penceramah yang lebih hebat lagi. Itulah sebabnya mereka tidak menghiraukan kedua-dua tokoh hebat ini untuk membantu Umno dan BN di Kedah dan Pulau Pinang hingga Umno dan BN Terengganu nampak kebolehan kedua-dua pemidato ini.
Seorang lagi penceramah yang saya dengar turut menarik perhatian Menteri Besar Terengganu ialah Ruslan Kassim, bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat.
Ruslan Kassim juga merupakan seorang peguam dan berpengetahuan dalam hal-hal agama. Jadi, tidak ada masalah ketiga-tiga penceramah ini jika diletakkan atas satu pentas untuk menyerang PAS.
PAS di Terengganu perlu diserang habis-habisan kerana mereka ternyata tidak mampu untuk mentadbir negeri walaupun sudah pernah diberi kepercayaan untuk memerintah Negeri Terengganu dalam tahun 1999.
Ketiga-tiga penceramah ini perlu juga memberi ceramah di 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana wakil-wakil rakyat itu dahulu memboikot Persidangan DUN dan cuba menjatuhkan kepimpinan YAB Menteri Besar.
Saya difahamkan ke semua 10 ADUN terlibat tidak berkhidmat di kawasan masing-masing sebaliknya sibuk dengan kerja-kerja peribadi masing-masing termasuklah siang dan malam mengadakan mesyuarat untuk memboikot semua aktiviti YAB Menteri Besar dan kerajaan negeri.
Walaupun ada beberapa orang dari 10 ADUN ini sudah tersedar dari kesilapan sendiri, tetapi masih ada yang terus mahu memboikot kepimpinan Menteri Besar.
Terkini, seorang ADUN dari kawasan Parlimen Marang dikatakan tidak menghadirkan diri dalam satu program yang dihadiri YAB Menteri Besar di kawasan DUN yang diwakili.
Penulis terkenal, Datuk A. kadir Jasin dalam tulisannya mengulas perbuatan 10 ADUN ini menyifatkan ADUN-ADUN ini sebagai kurang cerdik.
Saya mengharapkan dengan kehadiran tiga tokoh terbilang ini, Ustaz Kamal Saidin, Dr. Mohd Fairuz Khairuddin dan Ruslan Kassim akan memberikan input baru kepada kepimpinan Umno di semua peringkat termasuk ahli-ahli parti di kampong-kampung dan kawasan-kawasan pendalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan