Oleh Zainal Yusof
APABILA Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir mendesak CEO Maybank Investment Bank Berhad, Tengku Zafrur Tengku Abdul Aziz supaya meletak jawatan selepas menyerang syarikat milik kerajaan (GLC), sepatutnya sebagai anak jantan, sambutlah cabaran tersebut.
Tindakan Tengku Zafrul mengeluarkan kenyataan bahawa perlantikan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda telah memberi isyarat salah sehingga menyebabkan kebimbangan pasaran dilihat seolah-olah mempertikaikan keputusan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Desakan ini timbul hanya beberapa hari selepas desakan yang sama dilakukan ke atas Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd Yusof kerana mengeluarkan kenyataan senada dengan Tengku Zafrul dalam forum yang sama.
Senator Musa berkata, selaku orang yang dilantik untuk mengetuai sebuah GLC lain, Tengku Zafrul perlu berundur jika dia tidak bersetuju dengan keputusan PM kerana jawatannya sekarang juga adalah atas ihsan Najib.
“Jangan jadi kaduk naik junjung dan perasan hanya dia seorang sahaja yang mahir dalam ekonomi dengan mempertikaikan pengalaman orang lain yang sudah 22 tahun mentadbir sebuah negeri dengan pelbagai cabaran lebih rumit daripada menguruskan sebuah GLC.
“Dia sepatutnya bersyukur kerana kedudukannya hari ini atas perjuangan orang politik malah, ahli keluarganya sendiri adalah orang politik. Jangan nak hipokrit kerana saya yakin dan percaya tanpa sokongan politik Tengku Zafrul tidak akan memiliki kedudukan seperti hari ini.
“Orang seperti ini tidak layak untuk mengkritik Mohd Isa apalagi dibuat secara terbuka atas kapasitinya sebagai peneraju GLC, ini perbuatan tidak beretika dan sepatutnya dia meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Desakan yang dibuat oleh Senator Musa ini merupakan desakan pertama kali datangnya dari seorang yang berjawatan dalam politik kerana Senator Musa adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang kerana sebelum ini, orang-orang politik kelihatan menikus dengan serangan dari Tengku Zafrul dan Zainal Aznam Mohd Yusof.
Orang-orang politik sepatutnya bangkit mempertahan diri mereka sendiri, kerana siapakah manusia lain yang sanggup mempertahankan orang politik selain dari orang politik?
Selama ini, apabila mereka mahu mendapatkan sokongan, mereka mahukan sokongan politik tetapi apabila mereka sudah mendapat apa yang mereka cari, mereka akan mengutuk orang politik.
Seolah-olah orang politik ini tidak pernah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Mereka tidak pernah mahu mengakui bahawa negara ini terbentuk kerana perjuangan orang politik.
Atau, perlukah Zainal Aznam dan tengku Zafrul ini disekolahkan semula untuk mengetahui sejarah perjuangan orang-orang politik dan sejarah perjuangan parti politik dan NGO yang pro politik untuk memerdekakan negara ini?
Jika mereka berdua malu untuk disekolahkan semula kerana mereka sudah merasakan diri mereka hebat, eloklah mereka berundur dari kedudukan yang ada kaitan dengan politik ini, untuk mereka masuk sekolah malam, belajar sejarah negara ini.
Kalau mereka dapat belajar sejarah dan perjuangan orang politik dan bagaimana Felda ditubuhkan atas aspirasi politik, mereka mungkin tak bercakap ikut sedap mulut.
Dalam kehidupan ini, orang-orang yang merasakan diri mereka hebat seperti Tengku Zafrul dan Zainal Aznam memang ramai. Mereka ingat negara ini terjadi dengan sendirinya tanpa perjuangan sesiapa.
Bila kerajaan (baca: Perdana Menteri) melantiknya menganggotai panel penasihat ekonomi negara, mereka merasakan mereka terlalu hebat yang menyebabkan mereka dilantik.
Bukan! Itu silap sebenarnya. Perlantikan itu sebenarnya hanya penghargaan kerajaan kepada rakyatnya yang mendapat pendidikan sempurna. Tetapi, dalam masa yang sama – bukan tidak ada orang lain yang lebih hebat dari mereka berdua ini, tetapi rezeki mereka di situ. Jadi, usahlah memperlekehkan tindakan PM melantik Mohd Isa sebagai Pengerusi Felda kerana PM sendiri mempunyai keyakinan kebolehan seseorang yang dilantiknya.
Itulah sebabnya kata PM, perlantikan orang politik mengetuai GLC dibuat berdasarkan kemampuan dan kebolehan. Kerajaan kata PM, memang tidak terikat dengan mana-mana syarat untuk membuat perlantikan.
Kata-kata PM itu cukup mudah tetapi dapatkan Zainal Aznam dan Tengku Zafrul memahami secara mendalam apa yang dimaksudkan oleh PM itu?
Kalau tak faham, eloklah masuk sekolah balik. Belajar adab dan belajar berhemah. Jangan mendakwa diri pandai ekonomi tetapi tak tahu adab dan tak tahu berhemah.
Dalam hidup ini, kena belajar banyak benda. Banyak perkara kena tahu walaupun kita mendakwa diri kita pakar ekonomi dan sebagainya.
Cara makan pun kena belajar. Cara bercakap pun kena belajar. Cara berjalan pun kena belajar. Cara melihat pun kena belajar. Cara berpakaian pun kena belajar. Cara hidup berjiran dan bermasyarakat pun kena belajar.
Kalau tidak belajar, maka akan ada nanti orang kata kita kurang ajar ketika kita mendakwa bahawa kita ini seorang pakar ekonomi.
Bila ada orang kata kita kurang ajar, kita tentu marah. Lagi-lagi yang mengatakan kita kurang ajar itu adalah orang politik, maka kita akan dedahkan macam-macam cerita orang politik sedangkan orang korporat dan orang-orang terpelajar macam mereka juga tidak kurangnya terlibat dengan pelbagai skandal.
Jadi, bila menyebut kononnya orang politik terlibat rasuah, seolah-olah orang korporat tidak pernah terlibat dalam rasuah.
Bila menyebut orang politik banyak isteri, seolah-olah orang korporat tidak ada yang banyak bini.
Bila menyebut orang politik banyak skandal, seolah-olah orang korporat tidak banyak skandal.
Sebenarnya Tengku Zafrul dan Zainal Aznam, selagi manusia itu namanya manusia, mereka semuanya tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Usahlah menghina orang politik seolah-olah kita sahaja betul dan kita sahaja yang pandai. Akhirnya bukan pandai tetapi pander, kata Tan Sri Mohd Isa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan