Khamis, 3 Februari 2011

Struktur Baru UMNO Terengganu Untuk Menang PRU ke 13

"Mesyuarat memberikan keyakinan bahawa UMNO Terengganu cukup mantap untuk menghadapi Piliharaya Umum ke 13 dengan penyusunan baru dan perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh ketua-ketua bahagian yang hadir." - Ahmad Said

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam mengumumkan struktur baru badan itu dengan mengekalkan Setiusaha, menukar Ketua Penerangan dan Bendahari selain mengumumkan satu lagi jawatan penting badan berkenaan

Sidang pertama pimpinan Ahmad Said selepas mengambil alih ‘kali kedua’ badan itu ditungu-tunggu apabila timbulnya pelbagai spekulasi dan teka teki dibuat berikutan pengumuman beliau sebelum ini yang mengatakan akan berlaku rombakan.

Ternyata apa yang diramalkan oleh teganuku kelmarin menjadi kenyataan, kecuali jawatan baru yang diumumkan agak memeranjatkan.

Ini bermakna Bahagian UMNO Dungun mempunyai wakil yang kuat dalam badan itu apabila Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian mempunyai kedudukan penting dalam badan berkenaan.

Semua Ketua-Ketua Bahagian dari lapan bahagian di Terengganu hadir pada mesyuarat semalam.

Ahmad Said yang juga Menteri Besar mengekalkan Ketua Bahagian Hulu Terengganu, Tengku Putera Awang sebagai Setiausaha sementara Timbalan Ketua Bahagian Dungun yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib (gambar kiri) dilantik Bendahari.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Ahmad Razif Abul Rahman (gambar kanan) diumumkan sebagai Ketua Penerangan. Beliau adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Kuala Nerus.

Ini bermakna Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Rahin Said digugurkan sebagai Bendahari dan begitu Timbalan Ketua Bahagian Kemaman yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebelum ini Ketua Penerangan.

Ahmad Said membuat pengumuman itu sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat UMNO Negeri kali pertama malam semalam sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi badan itu berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Ahmad Razif, 46, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Kawasan Seberang Takir yang kali pertama bertanding dan menang dalam PRU yang lalu. Beliau ialah Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri.

Za’abar adalah ADUN Rantau Abang serta Exco Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman memberitahu wartawan, satu jawatan baru diwujudkan iaitu Pengarah Strategik UMNO Terengganu.


Ia disandang oleh Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan (gambar kiri), sekaligus menduduki jawatankuasa Pengurusan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Yahya Khatib Mohamad.

Rosli pada ketika Ahmad Said memegang jawatan Pengerusi Badan itu antara 2008-2009 sebelum digantikan sementara oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein ialah Setiausaha badan berkenaan.

Ahmad Said berkata mesyuarat semalam memberikan keyakinan bahawa UMNO Terengganu cukup mantap untuk menghadapi Piliharaya Umum ke 13 dengan penyusunan baru dan perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh ketua-ketua bahagian yang hadir.

“Saya mengucap terima kasih kepada semua ketua-ketua bahagian yang hadir dan tahniah kepada semua yang dilantik, termasuk Timbalan, Yahya Khatib Mohamad”.

Sementara itu, Tengku Putera Awang diminta mengulas mengenai pengekalannya sebagai Setiausaha BPUNT berkata, kini UMNO Terengganu begitu jelas berada dalam penyatuan di semua peringkat.

“Segala kemelut yang digembar-gemburkan selama ini telah pun berakhir dan kita sudah bersedia untuk menghadapi PRU 13 dan Pengerusi sendiri member jaminan akan mengambilkira semua peringkat parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengulas pelantikan dan penyusunan semula BPUNT berkata:“Insya Allah akan menyerlahkan lagi semangat baru untuk mempastikan kemenangan cemerlang dalam pilihanraya umum akan datang”.

Daripada teganuku

Dipetik dari : http://teganukini.blogspot.com/

Tiada ulasan: