Khamis, 3 Februari 2011

Perubahan Untuk UMNO Terengganu Lebih Aktif & Berkesan?

http://teganuku.blogspot.com/

Banyak sudah laporan mengatakan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan melakukan perubahan dalam struktur pengurusan bagi memastikan jentera parti dapat bergerak lebih aktif dan berkesan.

Ini dilakukan dengan melantik muka baru dan lama menduduki jawatankuasa pengurusan peringkat negeri.

Sama ada di Kuala Nerus, Kuala Terengganu atau juga Jerteh, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata struktur pengurusan perlu diubah bertujuan memastikan jentera parti bergerak aktif.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu dikatakan akan mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah kepimpinan ‘kali kedua’ Ahmad Said esok yang antara lainnya akan membincangkan pelantikan itu selain merancang agenda parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari lalu, dikatakan berharap sangat agar mesyuarat pertama itu akan memberi nafas baru kepada perjuangan UMNO Terengganu terutama untuk berdepan dengan pembangkang.

Persoalan yang timbul sekarang ialah, siapakah yang akan terlibat dengan rombakan itu.

Yang pastinya, Timbalan Pengerusi sudah dinamakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak, iaitu Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohd. Dengan sendirinya salah seorang jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri nanti ialah Alias Abdullah.

Alias yang selama ini dikenali sebagai antara ‘Kumpulan 10’ juga pernah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu yang menyebabkan berlaku’pertikaman lidah’ antaranya dengan Ahmad Said.

Malah, Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri (PAC) dikatakan pernah menimbulkan kontroversi apabila menyiarkan laporan mengenai temubual penuh dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda mengenai perbelanjaan pembelian ‘atap biru’ untuk rakyat.

Berbalik kepada jawatan penting lain seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan, cakap-cakap mengatakan ketiga-tiga mereka yang dilantik oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan ditukarkan.

Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Bahagian Hulu Terengganu yang ketika Ahmad Said memegang Pengerusi Perhubungan antara 2008-2009, pernah menjadi Timbalan Pengerusi dikatakan akan ditukarkan ke jawatan lain.

Namun, rasanya spekulasi itu kurang tepat kerana Ahmad Said berdepan dengan masalah melantik Setiausaha Badan Perhubungan yang baru dan sesuai walaupun ada beberapa nama ditonjolkan. Ramai mengatakan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu antara 2008 dan 2009 tidak akan dilantik menggantikan Tengku Putera.

Lagipun, Tengku Putera dilihat tidak ada cacat celanya dalam melaksanakan kerja-kerjanya dan dilihat ‘setia’ dengan kepimpinan Ahmad Said.

Bagi jawatan Bendahari pula, rasanya Ahmad Said mempunyai nama baru dan begitu juga Ketua Penerangan.

Ahmad Said sudah berbincang dengan Presiden UMNO di Putrajaya minggu lalu sebelum menghadiri majlis penyerahan tugas oleh Hishamuddin di sebuah hotel terkemuka selepas itu.

Pastinya, Ahmad Said akan akur dengan nasihat Najib yang mahu melihat ‘orang muda’ diberikan amanah untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

Malah, dikatakan mereka ini perlu didedahkan dengan pentadbiran parti kerana Terengganu yang diyakini akan dipertahankan kuasanya oleh UMNO pada pilihan raya umum ke 13 akan datang memerlukan tenaga muda yang ‘berjiwa besar’.

Kerana itu ada cakap-cakap mengatakan Datuk Rahin Mohd Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) akan digantikan.

Sebab-sebab mereka akan digantikan mungkin kerana faktor ‘membawa masuk orang muda’ selain sebab-sebab lain yang Ahmad Said sendiri ketahui.

Jika mereka digantikan, siapa pula akan dilantik?

Banyak nama disebut-sebut termasuk beberapa ADUN seperti Datuk Zaaba Mohd Adib, Ahmad Razif Abdul Rahman, Rozi Mamat serta juga ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Namun, rasanya Ahmad Said lebih berminat dengan mereka yang menunjukkan ‘kesetiaan’ kepada kepimpinan beliau dan ADUN yang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Kedudukan Rozi ketika ini sudahpun ‘selamat’ dalam Perhubungan UMNO Terengganu kerana secara automatik, jika Tengku Putera dikekalkan, beliau akan menduduki jawatankuasa kerana kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Bahagian.

Ini menjadikan Zaaba dan Razif menjadi tumpuan. Jika demikian, jawatan apakah yang akan disandang mereka.

Apapun, nama-nama pemimpin muda lain tetap diperkatakan mempunyai peluang.

Segala-galanya mungkin sudah ada di kepala Ahmad Said dan esok akan diumumkan hasil perbincangan beliau dengan Najib.

Kita tunggu dan berharap UMNO Terengganu akan semakin mantap.

Yang penting seperti kata Ahmad Said di Jerteh Khamis lalu, UMNO Terengganu perlu merangka beberapa strategi untuk menggempur PAS berasaskan perkembangan semasa terutama mendedahkan pembohongan pemimpin parti itu kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, Ahmad Said menegaskan: “Kepemimpinan baru parti akan memberi fokus kepada usaha menyatupadukan ahli dan pemimpin UMNO supaya sentiasa bersedia pada bila-bila masa menghadapi pihak lawan.”

Beliau percaya, rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masalah rakyat menerusi pelbagai program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan secara berkesan melalui kepimpinannya yang berteraskan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Dipetik dari : http://teganukini.blogspot.com/

Tiada ulasan: