Sabtu, 5 Februari 2011

Din Adam : Kekalkah di DUN Bukit Besi?

Oleh Ujang Saiful Bahari




RASANYA jika ada yang tidak dapat menerima hakikat mengenai perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, hanyalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Datuk Din Adam.
Tidak mustahil juga, jika Din sudah bersedia menerima dan reda dengan kehendak Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, melantik semula Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai penerajui Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Maklumlah, manusia bernama Din Adam ini serba mungkin. Dia boleh bersetuju dan dia boleh tidak bersetuju. Mengenali dia secara dekat, memang tahu sikapnya, agak keterlaluan terhadap Ahmad Said sejak awal-awal perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dulu.
Din pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Dungun. Beberapa tahun yang lalu, dia bertindak bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun menentang Datuk Dr Rosli Mat Hassan.
Din kecundang. Ketika timbul cerita ada 10 ADUN di Terengganu bertindak memboikot Persidangan DUN, salah seorang darinya ialah Din.
Mengapa ya, Din memilih untuk terlibat memboikot Persidangan DUN Terengganu? Adakah dia kurang cerdik?
Din antara manusia yang menolak tuah. Bila Ahmad Said selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, Din adalah antara ADUN yang dihubungi untuk dilantik menganggotai kerusi Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurut cerita yang boleh dipercayai, Din menolaknya. Ada dakwaan mengatakan penasihat Din yang bernama Abdul Mubin Ismail menasihatkan Din usah menerima perlantikan itu.
Ada juga yang membawa cerita kononnya Abdul Mubin yang menasihatkan Din supaya menolak perlawaan tersebut mempunyai kenyakinan bahawa Din lebih layak menjadi MB Terengganu dari Ahmad Said.
Entah betul entah tidak cerita ini, tiada siapa yang dapat mengesahkannya kerana beberapa pihak yang mengenali Abdul Mubin mendakwa, budak ini pun dua kali lima dengan Din, sebagai antara yang kurang cerdik.
Ini cerita yang dibawa oleh mereka yang mengaku kenal dengan Din dan kenal dengan Abdul Mubin. Itulah sebabnya, dalam blognya, Abdul Mubin yang dikatakan kurang cerdik ini menjadikan Dr. Rosli Mat Hassan sebagai musuhnya untuk dicincang lumat dan dihancurkan personalitinya.
Namun, lebih banyak Abdul Mubin menulis buruk tentang Dr. Rosli, makin cerah bintang Dr. Rosli. Cerahnya bintang Dr. Rosli bukan setakat di Dungun, kerana kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Dungun, malahan dilantik pula menjadi Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA.
Baru-baru ini, apabila PM Najib melantik semula Ahmad Said mengetuai Umno Negeri Terengganu, Din tidak kedengaran bersuara. Ada juga yang mendakwa, dengar Din bersuara menyokong keputusan Najib mengundurkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dari jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, tetapi suara Din itu macam suara orang berbisik aje, macam suara orang dalam kelambu. Perlahan sangat!
Masa Hishammuddin menjadi Pengerusi dulu, Din dikatakan sudah semakin membuka dada kalau berjalan. Lagaknya, macam orang besar-besar kerana orang Terengganu tahu hubungan Din dengan Hishammuddin.
Malangnya, gelagat berjalan membuka dada yang Din amalkan tidak bertahan lama. Hishammuddin terpaksa melepaskan jawatan Pengerusi kerana dia ternyata kurang kewibawaan. Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selama dia menjadi Pengerusi.
Kalau Din boleh menerima dan menyokong perlantikan Ahmad sebagai Pengerusi Umno Negeri Terengganu, ia suatu perkembangan yang cukup sihat. Cuma, takut juga orang ramai yang mengenali Din mengatakan Din kurang sihat kerana berubah haluan dari seorang penentang kepada seorang penyokong.
Dari seorang yang tidak dapat menerima Ahmad kepada seorang yang dapat menerima Ahmad. Jadi macam pelik pula.
Namun, begitulah politik. Biasanya orang politik sentiasa berubah-ubah, macam sesumpah. Warnanya sentiasa berubah mengikut keadaan.
Din bukan sesumpah tetapi jika Din berubah, sekejap menentang dan sekejap menyokong, maka aka nada orang yang menyamakan Din dengan sesumpah.
Namun, sebagai penyokong tegar kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, Din tentunya letih apabila mendengar kenyataan Idris yang dia (Idris) juga sudah dapat menerima perlantikan Ahmad.
Mustahil Din mahu menjadi penentang Idris pula hanya kerana Idris sudah berpatah balik dari seorang penentang kepada seorang penyokong.
Tentulah pening kepada Din. Jadi, kalau pening, ramai yang menasihatkan Din supaya menolak perlawaan jika ada, untuk dia mengekalkan kerusi DUN Bukit Besi.
Cukuplah dua penggal Din menjadi ADUN Bukit Besi. Lagipun, dia memang sudah tidak sesuai untuk menjadi ADUN di situ kerana dalam Umno Dungun, dia ditolak oleh perwakilan.
Kalaulah Din merasakan dia masih mahu menjadi ADUN, lebih elok kalau dia dapat berbincang dengan Idris supaya Idris boleh mengosongkan kerusi Jertih yang Idris wakili untuk diserahkan kepada Din.
Din sanggup berkorban untuk Idris, mengapa pula Idris tidak boleh berkorban untuk Din. Bagilah Din bertanding di Jerteh dan Idris sudah boleh bersara dari politik kerana pencapaian politik Idris sudah sampai klimaks.
Idris sudah pernah menjadi Timbalan Menteri, sudah pernah menjadi Menteri Besar dan sudah pernah menjad Pengerusi MARA.
Apa lagi yang Idris kejar? Masanya sudah berlalu. Berbeza dengan Din, dia masih muda dan jika kena perhitungannya, mungkin dia akan menjadi pemimpin besar dari Besut, jika ada perkiraan yang wajar dibuat.
Din tentunya sedar, sebagai seorang yang kalah di peringkat bahagian, dia usahlah bercita-cita atau memasang angan-angan mahu bertanding lagi dalam PRU 13 akan datang.
Berilah peluang kepada orang lain yang masih diterima di bahagian Dungun dan Din bolehlah menjadi tukang tampal poster sebagai langkah membalas budi parti yang pernah meletakkannya sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, beberapa tahun yang lalu.

Tiada ulasan: