Selasa, 8 Februari 2011

Perlantikan Razif… Nasir Jangan ada rasa terkilan

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah




SEBENARNYA tiada apa yang mengejutkan dalam penyusunan semula kepimpinan Umno Terengganu, sebaik sahaja Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Ahmad Razif Abd Rahman dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu.

Tetapi, ada cerita yang mengatakan kedudukan Ahmad Razif yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Terengganu hanya sebagai AJK dalam Bahagian Kuala Nerus menyebabkan perlantikan itu dilihat seperti melukakan hati dan perasaan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim.
Khabarnya Nasir ada bertemu dengan Ahmad untuk meluahkan rasa terkilannya itu kerana kelazimannya, penyandang jawatan Ketua Penerangan biarlah diambil dari kalangan ketua bahagian dan bukan dari kalangan AJK.
Ahmad Razif dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Negeri menggantikan Datuk Ahmad Shabery Chik yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman. Ahmad Shabery dikatakan gagal memainkan peranan yang aktif sebagai Ketua Penerangan kerana beliau juga merupakan Menteri Belia dan Sukan yang terlalu sibuk untuk ke luar negara kerana mengikut pasukan bolasepak dan pertandingan sukan di peringkat antarabangsa, komenwelth dan Asia.
Sepatutnya, Nasir boleh menyuarakan pandangannya kepada Ahmad apabila kedengaran desas-desus Menteri Besar itu mahu melantik pegawai-pegawai di peringkat Umno negeri, tetapi apabila Ahmad sudah memutuskan untuk membuat perlantikan, usahlah digembar-gemburkan lagi isu tersebut.
Belajarlah menghurmati pemimpin kerana Nasir juga sebagai seorang ketua bahagian tentulah mahu dihurmati apabila dia membuat keputusan. Lebih baik, jika Nasir tahu menghurmati pemimpin, Nasir sendiri berusaha menaikkan ‘pangkat’ Ahmad Razif di peringkat Umno bahagian.
Ahmad Razif tentulah berguna untuk Umno Bahagian Kuala Nerus. Sebagai Exco Kerajaan Negeri dan ketua Penerangan Umno Negeri, tentulah pengundi dan rakyat di Kuala Nerus akan dapat banyak faedah dari kedudukan Ahmad Razif.
Cuma, Nasir mungkin rasa tercabar dengan kedudukan Ahmad Razif itu menyebabkan dia menjadi panas punggung sebagai ketua bahagian.
Biasalah Nasir. Dalam politik, tiada apa yang kekal sebenarnya. Nasir sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus tentunya tahu bahawa jika dia baik dan berguna kepada ahli-ahli Umno dalam Bahagian Kuala Nerus, dia akan kekal sebagai ketua bahagian.
Tetapi, jika dia tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada ahli-ahli parti, bukan salah Ahmad Razif tetapi salah dirinya sendiri.
Nasir sebagai seorang yang agak senior di kalangan ketua bahagian selepas Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman) dan Datuk Dr. Rosli Mat Hassan (Dungun), sepatutnya tahu bahawa Umno Terengganu tidak mampu bergolak dan berpecah.
Jika berlaku pergolakan, Umno Terengganu akan kecundang lagi seperti apa yang pernah berlaku dalam tahun 1999, mengakibatkan Pas memerintah Terengganu.
Sebagai seorang pemimpin yang mewarisi kepimpinan Umno dari orang tuanya, tentulah Nasir tidak sanggup menghancurkan Umno hanya kerana ada rasa terkilan di hati dan perasaannya terluka disebabkan perlantikan yang tidak dirundinginya bersamanya.
Itu bukan isu. Isu di Terengganu sekarang perlu dilihat bahawa Ahmad Razif adalah Exco Kanan yang setia bersama kepimpinan Ahmad Said sejak awal-awal Ahmad Said menjadi Menteri Besar. Dulu, ketika Ahmad Said buat kali pertama dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, beliau melantik bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Zubir Embong menjadi Ketua Penerangan.
Pun jadi isu kerana kononnya Zubir tidak berjawatan di peringkat bahagian Kuala Terengganu. Bila lantik Ahmad Shabery pula, dia kurang buat kerja. Jadi, semuanyav salah. Macam mana Ahmad Said nak menggerakkan aktiviti parti di peringkat negeri kalau semua keputusannya tidak dihormati?
Nasir sepatutnya menyokong keputusan Ahmad Said. Ahmad pun menghadapi macam-macam halangan dan rintangan selama beliau menjadi Menteri Besar dan kini sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Jadi, sebagai seorang pemimpin Umno bahagian yang sudah faham permainan politik Umno Terengganu, Nasir perlu ada sifat berkorban untuk kepentingan politik Terengganu. Bukankah Nasir sudah merasakan ‘dikorbankan’ ketika PRU 12 yang lalu, apabila dia bertanding di peringkat Parlimen dan bukan ADUN?
Kalau Nasir terkilan, anggaplah ini rezeki Ahmad Razif. Ketika Nasir merasakan Ahmad Razif mungkin mampu menggugat kedudukannya, Ahmad Said pula mungkin merasakan Ahmad Razif ini berguna kepada Umno Terengganu.
Maka, berkorbanlah perasaan kecewa demi Umno Terengganu. Dan Nasir harus faham sepak terajang politik kerana dari ramai-ramai ketua bahagian yang ada, mungkin Ahmad selesa bekerja dengan Ahmad Razfi, bukan untuk Umno Terengganu sahaja tetapi juga untuk pelajar-pelajar Terengganu di luar negara.
Satu hal lagi, Ahmad mestilah melantik mereka yang Ahmad rasa mampu bekerja dengannya dan setia. Biar pun Ahmad Razif bukan dari kalangan ketua bahagian, namun Ahmad Razif dilihat sebagai seorang anak muda yang faham sepak terajang politik Terengganu dan yang lebih penting enegitik.

Tiada ulasan: