Oleh Abdullah Kiram
TERBACA oleh saya, ada tulisan yang disiarkan dalam blog, keputusan Presiden Umno melantik semula Menteri Besar (MB) Terengganu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu tidak disambut gembira oleh ‘mereka’ di Terengganu.
‘Mereka’ di Terengganu, termasuk Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tidak mengeluarkan kenyataan yang menampakkan kegembiraan pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu.
Ketua-ketua bahagian, juga dikatakan tidak menyambut baik perlantikan ini, kecuali Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh seorang sahaja yang dipetik sebagai berkata, perlantikan Ahmad Said ini tepat dan ia akan memudahkan Menteri Besar untuk menjalankan tugas yang selari dengan kepentingan kerajaan dan parti.
Apakah ketua-ketua bahagian yang lain, termasuk Yahya Khatib Mohamad tidak mahu mengucapkan tahniah atas perlantikan Ahmad Said ini? Kenapa yang, politik Umno Terengganu begini teruk?
Berbeza dengan Kedah dan Pulau Pinang, pengumuman yang dibuat Tengku Adnan disambut baik oleh kebanyakan mereka yang memegang jawatan dalam parti. Sekurang-kurangnya, mereka mengharapkan tahun baru 2011 ini akan memberikan nafas baru kepada jentera Umno negeri masing-masing dengan perlantikan tersebut.
Kalau saya membuat komentar nanti aka nada yang menyifatkan saya sebagai berhasrat mahu melaga-lagakan kepimpinan Umno Terengganu.
Tetapi, hakikatnya, Tuhan telah menguji Datuk Seri Ahmad Said dengan ujian yang cukup berat.
Mudah-mudahan, Ahmad Said dapat mengenali secara lebih dekat siapa kawan dan siapa lawan dalam Umno Negeri Terengganu.
Jangan nanti, apabila sampai tarikh pilihan raya, Ahmad masih memberi peluang mereka ini bertanding dan dalam masa yang sama, beliau melupakan pengorbanan kawan-kawannya yang selama ini mempertahankan dirinya, parti dan kerajaan negeri.
Cukup-cukuplah! Usah dilayan mereka yang bebal dan tidak tahu berpolitik itu. Ketepi dan cantas mereka awal-awal lagi. Beri peluang kepada mereka yang mampu berbakti dan tiket paling mustahak, setia kepada kepimpinan.
Umno sebenarnya memerlukan pengikut yang setia. Jika mereka pandai dan bijak tetapi tidak setia, ia tidak mendatangkan faedah kepada Umno.
Ahmad sudah boleh mengenal pasti, dalam ramai-ramai ADUN Umno di Terengganu, siapakah yang paling setia.
Menteri Besar juga boleh menilai, ketika ada yang setia ini mahu berbakti, apakah mereka juga layak menjadi wakil rakyat dan amanah dalam menjalankan tugasnya.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Ahmad Said kenalah mengenal pasti, siapakah pemimpin pelapis di Terengganu yang boleh diharapkan apabila sampai masanya nanti.
Hentikan segala bentuk adu-dumba dan jangan takut-takut menghukum mereka yang pernah melakukan kesalahan.
Jangan biarkan perosak-perosak parti kekal menjadi YB kerana tingkah laku mereka cukup memualkan.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Ahmad perlu mengarahkan semua bahagian-bahagian mengadakan pemukiman dengan tujuan mencari dan mengenal pasti kelemahan parti di peringkat cawangan dan bahagian masing-masing.
Ahmad juga perlulah merombak barisan Exconya bagi memberi lebih pendedahan kepada mereka untuk lebih faham akan tugas dan tanggungjawab.
Jika perlu, tukar mereka dengan muka-muka baru bagi memberi peluang tenaga muda menjadi Exco untuk sama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan negeri.
Idris Jusoh yang pernah menjadi MB Terengganu bolehlah membantu Ahmad untuk terus membangunkan Terengganu kerana Idris, walaupun banyak melakukan kesilapan ketika era pentadbirannya, perlu mengenepikan perkara-perkara buruk dengan mengenengahkan perkara-perkara yang baik.
Ingat! Kepentingan peribadi harus diketepikan jika masing-masing ikhlas untuk membangunkan Terengganu.
Rakyat di bawah memang mengharapkan pemimpin Umno kembali bersatu, walaupu ia cukup susah dan sukar.
Kata orang, ada dua tiga orang lagi yang masih bodoh sombong. Masih mahu tunjuk kepala batu. Masih tidak sedar diri yang mereka itu bukan mewarisi takhta yang ditinggalkan kedua ibu dan bapa mereka tetapi dipilih oleh rakyat kerana mewakili Umno, sebauh parti yang terbukti memang berjuang untuk rakyat.
Kalau boleh, buat tanda pangkah kepada wajah-wajah ‘penderhaka’ yang bodoh sombong ini. Beritahu rakyat, penderhaka ini akan dihukum akibat dari perbuatan bodoh masing-masing.
Jangan nanti mereka mahu menyalahkan orang lain jika mereka terhukum, kerana mereka memilih jalan yang berliku ketika ada jalan yang lurus, yang boleh mereka lalui.
Idris bolehlah meninggalkan kesemua budak-budak yang tidak cerdik ini, kerana Idris patutnya malu kerana mempunyai penyokong yang bodoh dan dangkal fikirannya.
Sebagai seorang yang sering bercakap soal ketamadunan di Terengganu yang diciptanya, Idris jangan pula dilihat asyik bersama dengan mereka yang tidak bertamadun, tidak tahu yang mana kaca dan yang mana permata.
Datuk Seri Ahmad Said, buktikan diri itu adalah seorang pemimpin lama yang cukup banyak pengalaman.
Tidak elok berdendam tetapi, jangan kerana tidak elok berdendam, maka Ahmad menjadi seorang pemimpin yang terlalu pemaaf. Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, Ahmad perlu zalim kepada mereka yang menzaliminya, menzalimi Negeri Terengganu dan menzalimi Umno.
Amatlah malang , kalau Ahmad Said masih mahu menjaga hati mereka yang busuk hati. Teruk sangatlah Ahmad kalau beliau masih mahu memberi peluang kepada mereka yang tidak pernah mahu mengakui kesilapan dan enggan belajar dari kesalahan lampau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan