Isnin, 3 Januari 2011

Baguslah kalau sedia melupakan…

Oleh Wan Yusoff Hj Wan Ngah




YA, baguslah kalau semua pihak, yang bersalah dan yang tidak bersalah boleh memaafkan dan melupakan…seperti tulisan Hambali Abd Latif dalam blognya …sudah-sudahlah!
Tetapi bagi penulis yang mengikuti perkembangan politik Umno Terengganu ini secara dekat, mustahil mereka yang terlepas kerusi Menteri Besar, Exco dan macam-macam kedudukan selesa, boleh melupakan walaupun boleh memaafkan.
Kalau mereka ikhlas, tidak perlu menunggu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, baru mereka hendak bersatu, baru mereka hendak bermaaf-maafan dan mahu melupakan.
Kenapa kena menunggu semua ini? Kenapa tidak mahu bermaaf-maafan sejak dahulu?
Terbaru, bagaimana masih ada ADUN yang enggan mengambil peranan ketika persidangan DUN Terengganu 13-16 Disember 2010 yang lalu? Bukankah ini menunjukkan mereka ini masih tidak dapat melupakan…memaafkan dan enggan berdamai?
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya sudah bertindak, jika mempunyai cukup keberanian mengambil tindakan terhadap mereka ini…yang sejak awal-awal lagi menimbulkan suasana tidak harmoni dengan merancang untuk memboikot persidangan DUN.
Bukan bertujuan mengungkit-ungkit perkara yang sudah lama berlalu tetapi setiap kesalahan, perlukan hukuman.
Kesalahan sudah berlaku dan hukuman perlu dikenakan. Kenapa takut hendak mengambil tindakan terhadap 10 ADUN ini? Apakah mereka ini bebas melakukan kesalahan dan kesilapan yang mereka sendiri rancang.
Bagaimana agaknya jikalau Ahli-Ahli Parlimen BN memboikot Persidangan Parlimen yang diketuai Najib?
Begitu juga dengan tindakan ADUN-ADUN BN di dalam DUN Terengganu yang mengambil bahagian berucap dengan tujuan mahu membelasah kerajaan negeri dan kepimpinan MB.
Bukankah semua YB BN perlu berdisiplin? Ingat, bagaimana dua orang Ahli Parlimen BN dipanggil dan diberi amaran oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) selaku Ketua Whip kerana mereka menyokong cadangan Lim Kit Siang di Parlimen?
Sebenarnya, 10 ADUN ini, termasuk beberapa orang yang berucap dengan tujuan menyerang Menteri Besar dengan fitnah dan tohmahan, tidak layak menjadi ADUN mewakili BN.
Itu pandangan banyak pihak yang dapat berfikir dengan rasional. Tetapi bagi mereka yang menulis dan mengeluarkan pendapat dan pandangan sambil makan goreng pisang, semua pandangan dan cadangan ini dianggap sebagai “tidak menyokong ke arah perdamaian”.
Mereka ini, tidak kiralah 10 atau sekarang tinggal empat, sudah tidak layak bergelar YB dan wakil rakyat sebenarnya. Lebih baik mereka ini menjadi pembangkang atau menjadi wakil pembangkang kerana lebih baik pembangkang yang berguna kepada rakyat daripada menjadi wakil BN yang bertindak “berpeluk di depan tetapi menikam dari belakang”.
Kalaulah apa yang dihasratkan Hambali dan beberapa blogger lain supaya mereka yang terkilan kerana kehilangan jawatan Menteri Besar, Exco dan lain-lain jawatan dapat melupakan segala apa yang sudah berlaku, penulis juga merasakan ia suatu yang cukup hebat.
Tetapi janganlah bercakap sahaja seolah-olah mahu melupakan segala sengketa tetapi tidak melakukan sesuatu yang boleh membantu kepimpinan Menteri Besar yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Bagi mereka yang sering membuat sms palsu kononnya Menteri Besar Terengganu akan meletakkan jawatan dan jawatan itu akan disandang oleh orang lain, bertaubatlah. Cukup-cukuplah membuat dan menyebarkan fitnah.
Tetapi, semua ini dibuat kerana mereka yang melakukannya tidak berada mereka bersalah. Mereka merasakan orang yang mempunyai PHD pun boleh didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar sms bernada ugutan, mengapa mereka tidak boleh melakukannya?
Jika orang biasa melihat ada ADUN BN berucap di Sidang DUN Terengganu, menyerang MB dan Kerajaan Negeri, mengapa mereka sebagai orang biasa tidak boleh melakukan perkara yang sama di kedai-kedai kopi?
Itulah sebabnya, penulis merasakan cukup sukar untuk mereka “yang tersesat di hujung jalan ini” mahu balik ke pangkal jalan.
Mereka sudah terlanjur dan mereka merasakan tiada siapa yang berani mengambil tindakan terhadap mereka.
Jadi, jika Najib dan Muhyiddin tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap ADUN-ADUN BN yang melakukan kesalahan ini, diharapkan Menteri Besar, datuk Seri Ahmad Said mempunyai cukup keberanian untuk bertindak – mengenepikan mereka ini walaupun “mungkin ada harga yang cukup mahal” perlu dibayar.
Umno dan BN Terengganu tidak memerlukan kesemua mereka yang “tidak cerdik ini” ketika Terengganu mahu terus Merakyatkan Pembangunan.


1 ulasan:

Admin PahangKu berkata...

Salam tuan,
mohon dilinkkan blog Pahang-ku ~ http://pahang-ku.blogspot.com