Rabu, 5 Januari 2011

Umno Terengganu : MB Kena Buat Pilihan Tepat

Oleh Zamzuri Damanhuri
 

APABILA sah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi Pegerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ramai yang mengharapkan beliau akan melakukan sesuatu kepada jentera parti itu di negeri itu, bagi menghadapi PRU 13.

Tugas besar yang perlu dilakukan ialah menyusun tenaga untuk memperkuatkan jentera. Ramai yang memerhatikan, siapakah pilihan beliau untuk menduduki kerusi Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.
Jika tersalah buat pilihan, Umno Terengganu akan menjadi Umno yang lembap, kaku dan lesu.
Sekarang, jawatan Setiausaha disangdang Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Ketua Penerangan, tidak usahlah kekalkan Datuk Ahmad Shabery Chik kerana tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan sudah terlalu banyak bebanan kerja.
Berilah peluang kepada ketua bahagian lain yang dikira mampu membantu untuk menyegarkan Umno Terengganu. Misalannya, Datuk Md Jidin Shafie atau Datuk Nasir Ibrahim.
Ini sekadar contoh. Bukan bermakna Datuk Wan Farid, Datuk Tengku Putera, Datuk Rosli Mat Hassan dan  Datuk Idris Jusoh tidak layak tetapi, kewajaran memberi peluang kepada Md Jidin atau Nasir dilihat lebih baik.
Apa yang penting, Ketua Penerangan itu mestilah seorang yang tahu apa peranan yang patut mereka mainkan kerana Umno Terengganu adalah Umno negeri yang baru sahaja dilanda kemelut angkara perbuatan segelintir mereka yang berniat mahu menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar.
Menteri Besar juga seharusnya menukarkan bendahari kepada orang lain, kerana bendahari sekarang tidak kelihatan begitu sesuai dengan kedudukannya sebagai timbalan ketua bahagian.
Ambillah dari kalangan ketua bahagian kerana ia tidak akan menjadikan ketua bahagian terasa terpinggir dengan jawatan di peringkat negeri.
Seluruh ketua-ketua bahagian di Terengganu kenalah bersabar untuk menunggu Datuk Seri Ahmad Said mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mendapatkan restu dan amanat sebelum membuat apa-apa pengumuman rombakan kepimpinan Umno Terengganu itu.
Dan belajarlah menerima hakikat dengan menyokong apa juga keputusan yang beliau ambil terutamanya jika beliau mahu mendapatkan khidmat seorang setiausaha perhubungan yang baru, menggantikan Tengku Putera.
Umno Terengganu perlu berinovasi dan bermotivasi dengan perubahan yang bakal dibuat.
  

Tiada ulasan: