Rabu, 29 Disember 2010

Puji Idris Jusoh, Lupakan dia bersalah

Oleh Zamzuri Damanhuri




SERONOK juga saya mengikuti polemik antara mereka yang bersimpati dengan bekas Menteri Besar (MB), Datuk Seri Idris Jusoh dengan mereka yang mempertahankan kebenaran.
Bukanlah niat saya mahu menyebelahi sesiapa dalam isu ini, tetapi sukalah saya mengingatkan pelayar-pelayar blog ini, bahawa mereka bebas menyatakan pendapat, tetapi biarlah ada fakta yang mahu dihujahkan.
Persoalan yang ditimbulkan di sini, ialah mengapa berlaku pemboikotan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia tidak dijawab tetapi ada komentar yang menulis untuk menyenaraikan jasa dan apa yang telah Idris lakukan.selama dia menjadi MB.
Itu semua orang sudah tahu dan stadium yang runtuh bumbungnya juga adalah pembinaan yang dilakukan di zaman Idris sebagai MB.
Sehingga hari ini, walaupun ia diulang-ulang ceritanya, mengapakah berlaku pemboikotan persidangan DUN. Soalan ini perlu dijawab oleh para penyokong taksub Idris dan mereka yang terlibat di dalam isu ini.
Kenapa berdiam diri? Kenapa bila ada penulis atau blogger menyentuh tentang isu pemboikotan persidangan DUN, mereka marah-marah kononnya – penulis atau blogger mengulang-ulang cerita lama.
Apabila mereka menulis itu Idris buat, ini Idris buat, tidak pula dianggap mengulang-ulang apa yang orang kampung sudah tahu. Di mana kewarasan mereka ini? Apakah kerana Idris buat macam-macam, dia boleh membokiot persidangan DUN?
Apakah kalau Idris membawa temadun ke Terengganu, selepas itu dia tidak perlu lagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu?
Apakah kerana jasa Idris merampas Terengganu dari tangan PAS menyebabkan Idris boleh melakukan apa sahaja di Terengganu termasuk berdiam diri di dalam persidangan DUN dengan mendengar sahaja pembangkang membelasah kepimpinan negeri?
Betul, Idris menerima perlawaan menerajui Umno Terengganu ketika Terengganu tewas ke tangan PAS. Waktu itu, memang betul orang lain tidak sanggup menerima jawatan itu (seperti dakwaan para penyokong Idris yang jumud) sedangkan, amanah itu bukan amanah untuknya seorang, tetapi untuk semua pemimpin di Terengganu.
Malangnya, ketika orang makan berkawan, Idris makan kawan. Kawan-kawannya, khususnya mereka yang menjawat jawatan Ketua Umno Bahagian, ditendangnya seorang demi seorang.
Apakah para penyokong Idris mahu menafikannya? Apakah mereka yang menyokong Idris tidak mahu menerima hakikat bahawa Idris tidak pernah sekali pun menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, ketika Datuk Seri Ahmad Said menjadi pengerusinya?
Apakah kerana jasa Idris terlalu besar di Terengganu, dia boleh berbuat apa sahaja, termasuk mengadakan ceramah membelasah Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar?
Bila ada penulis yang menulis, menegur dan menyerang Idris, penulis dan blogger ini dianggap jahat, busuk hati dan pendendam.
Padahal, apa yang Idris dan kawan-kawannya lakukan selama ini, termasuklah memboikot persidangan DUN adalah satu kerja jahat yang bertujuan memburuk-burukkan imej Umno Terengganu, imej BN Terengganu dan imej Kerajaan Negeri Terengganu.
Pernah sesiapa mendengar cerita, ada segelintir mereka yang terlibat dengan pemboikotan persidangan DUN ini telah mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang (PKR)?
Apakah kerana mereka sudah pernah membuat jasa, maka pertemuan dan perbincangan dengan PKR dibolehkan?
Para simpatisan Idris, usahlah membutakan mata dan memekakkan telinga bila kesalahan seumpama ini dibuat oleh mereka yang satu kem dengan Idris.
Janganlah kerana simpati dengan Idris, apa sahaja yang Idris dan kawan-kawannya lakukan, semuanya boleh dan dibolehkan kerana kononnya, terlalu besar jasa-jasa Idris terhadap Terengganu.
Hakikat sebenarnya, kekalahan Terengganu ke tangan PAS dalam tahun 1999, bukanlah kesalahan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad seorang. Banyak faktor lain yang menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri itu, dari BN kepada PAS.
Idris juga perlu dipersalahkan kerana dia juga berada di dalam Umno dan BN Terengganu ketika itu. Janganlah, apabila Umno Terengganu menang semula, dia mahu mendabik dada kononnya, di tangan dialah Umno Terengganu menang semula.
Kerja parti ini adalah kerja berpasukan. Jika kalah, semua kena bertanggungjawab menerima akibat dari kekalahan tersebut.
Begitu juga apabila menang, semua pihak kena mengakui bahawa kemenangan itu adalah disebabkan kemenangan bersama.
Dalam PRU 12, Mac 2008, apabila calon BN kalah di kerusi Parlimen Marang, atas sebab Idris menolak Datuk Abdul Rahman Bakar yang menang kerusi itu mengalahkan Datuk Seri Abd Hadi Awang, apakah Idris tidak mahu memikul tanggjawab kekalahan tersebut?
Calon yang menang dibuang. Dia kemudiannya meletakkan Setiausaha Politiknya bertanding di situ. Kemudian, kalah. Apakah ini boleh dimaafkan kerana jasa Idris terlalu besar di Terengganu hingga apa sahaja yang dia buat, kita kena sokong.
Memang susah berhujah dengan mereka yang jumud. Sudahlah jumud, menulis ketika makan goreng pisang pula. Sepatutnya, usah dilayan sahaja apa yang diulasnya tetapi pembaca lain yang mahukan hujah rasional perlu dilayan, mengatasi kepentingan mereka yang menulis sambil makan goreng pisang.
Sesiapa sahaja boleh bariskan jasa seseorang. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu besar jasanya kepada negara, juga diserang apabila beliau mengambil keputusan yang silap termasuk bertindak keluar dari Umno sedikit waktu dahulu.
Siapa Idris Jusoh yang mahu diagung-agungkan jika perangai buruknya diketahui dengan karenah dalam politik Terengganu yang cukup menyusahkan?
Hebat sangatkah Idris yang cukup dikenali sebagai seorang pemimpin yang suka melontar batu sembunyi tangan?


1 ulasan:

anak bukit besi berkata...

Tahniah dan syabas atas penulisan dan penghujahan tuan admin. Yg jumud akan tetap jumud sambil makan goreng pisang!!