Selasa, 28 Disember 2010

Pengerusi Perhubungan : Ahmad & Yahya boleh berganding

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah




PENGUMUMAN yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai perubahan tiga negeri dengan pengerusi baru Badan Perhubungan Umno negeri sebenarnya sudah dijangka.
Cuma, penyandang jawatan timbalan pengerusi agak mengejutkan, terutamanya Terengganu, apabila Ketua Umno Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad diumumkan bergandingan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Orang Terengganu tahu, Yahya adalah muka baru dalam Umno Terengganu, kerana dia baru sahaja menang kerusi ketua bahagian, mengalahkan Datuk Abdul Rahman Bakar.
Namun, ramai yang yakin, Yahya boleh berganding bahu dengan Ahmad Said kerana kedua-dua mereka, berada dalam saf kepimpinan kerajaan negeri.
Ahmad sebagai Menteri Besar manakala Yahya adaah Exco kerajaan negeri. Gandingan yang boleh dikatakan selangkap dan sederap.
Itupun kalau tidak ada ‘syaitan’ yang berbisik ke telinganya – dia bakal menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.
Ramai yang melihat, kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyusun perlantikan ini.
Ambil contoh Pahang, beliau menamakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang dan menamakan Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin sebagai timbalan. Sharkar merupakan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Padahal, kalau Najib mahu, ramai lagi pemimpin bahagian yang boleh dinamakan sebagai timbalan pengerusi di Pahang kerana ramai juga orang Pahang yang berjawatan di peringkat Pusat, termasuk Datuk Saifudin Abdulah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).
Begitu juga Terengganu, Najib boleh sahaja menamakan Datuk Ahmad Shabery Vhik sebagai timbalan pengerusi kepada Menteri Besar tetapi, tentulah ada kebijaksanaan Najib tidak melakukannya.
Berbeza di Perak, ketika Najib mengekallkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai pengerusi, timbalan pengerusinya seorang menteri, iaitu Datuk Seri Husni Hanadzlah. Kenapa Najib tidak menamakan mana-mana ketua bahagian lain di Perak yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak?
Jadi, jika Yahya dapat merenung secara mendalam perkara ini, dia akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Najib dan Ahmad Said atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Kenyataannya bahawa “Saya menerima perlantikan ini dengan rendah diri dan menyedari jawatan ini bukanlah jawatan suka-suka, sebaliknya ia datang dengan tanggungjawab penting.” Patutlah di hurmati.
Jika dalam PAS, apabila Mursyidul Amnya diserang, ramai askarnya bangkit mempertahankan Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yahya sepatutnya boleh tampil menjadi penglima kepada Umno Terengganu, mempertahankan Umno Terengganu dan Menteri Besar dari serangan PAS dan dari serangan mereka yang sentiasa tidak senang dengan kepimpinan Ahmad.
Yahya tentunya tahu, siapa yang memusuhi Ahmad di Terengganu. Yahya juga tentunya tahu, betapa teruknya Ahmad ketika mula-mula mahu mengemudikan Umno Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Tidak guna menerima jawatan ini, tetapi dalam masa yang sama Yahya memasang badan untuk menjadi pemimpin nombor satu di Terengganu.
Ingat! Manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Jika Yahya ditakdirkan suatu hari nanti bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, tiada kuasa yang boleh menghalangnya.
Begitulah, apa yang berlaku ke atas diri Ahmad Said. Walaupun pelbagai ancaman dan ugutan dihalakan kepadanya, tetapi kuasa Allah tiada siapa yang dapat mengatasinya.
Ahmad Said tidak penting tetapi sokonglah beliau atas kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Institusi Menteri Besar itu jauh lebih penting dari cerita-cerita lama yang sudah menjadi catatan sejarah.
Ada orang mengatakan, sebenarnya tiada krisis dan tiada kemelut di Terengganu tetapi krisis dan kemelut itu boleh wujud semula jika ada yang sengaja mahu terus hidup dalam krisis dan kemelut.
Yahya tidak rugi apa-apa mempertahankan Ahmad Said kerana mustahil dia boleh menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu tanpa sokongan dan dokongan Ahmad Said.
Yahya tidak rugi apa-apa menyokong Ahmad Said, kerana tanpa sokongan dan persetujuan Ahmad Said, mustahil dia boleh menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Ramai lagi ketua-ketua bahagian di Terengganu yang lebih kanan dari Yahya tetapi Najib menamakan Yahya. Tentulah ada sebabnya. Barangkali, kerana dia dilihat mampu memberi sumbangan kepada kepimpinan Ahmad Said.
Ketua-ketua bahagian di Terengganu mungkin sukar untuk bekerja di bawah Yahya tetapi, mana mungkin mereka tidak boleh bekerja di bawah Ahmad Said kerana dari segi senioriti, Ahmad paling senior di kalangan mereka yang ada di Terengganu sekarang.
Yahya boleh menasihatkan ‘budak-budak yang masih belum cerdik’ di Terengganu, tidak ada faedahnya berpolitiking sepanjang masa.
Banyak agenda pembangunan rakyat yang perlu diberikan tumpuan daripada jatuh menjatuh sama-sama sendiri.
Ingat, Allah berkuasa menaikkan seseorang dan Allah berkuasa menjatuhkan seseorang. Yahya juga duduk dalam satu bahagian dengan Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zuber yang sedang didakwa atas kes SMS bernada ugutan yang menyebabkan berlaku pemboikotan 10 ADUN dalam Persidangan DUN Terengganu tidak lama dahulu.
Jadi, Yahya kenalah berhati-hati dalam tindak-tanduknya selagi orang yang sedang didakwa tidak digantung jawatannya.
Suka atau tidak, saat ini, Menteri Besar Terengganu ialah Datuk Seri Ahmad Said. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, juga Datuk Seri Ahmad Said. Maka, curahkanlah taat setia kepada kepimpinan beliau kerana beliau bukan sahaja tidak meminta untuk menjadi Menteri Besar, malahan, beliau tidak pernah mencaturkan siapa naik dan siapa yang perlu disingkirkan dari politik Terengganu sebelum ini.

Tiada ulasan: