Khamis, 30 Disember 2010

Ketua Penerangan Umno Johor : Jangan lebih sudu dari kuah

Oleh Ali Omar



SEGAMAT : Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan Umno Negeri Johr, Datuk Shamsul bahari Jamali bahawa bakal calon-calon yang disenaraikan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Tenang adalah anak tempatan disifatkan sebagai ‘lebih sudu dari kuah’.
Sebenarnya, isu anak tempatan di Johor tidak pernah timbul kerana bukan sahaja Allahyarham Datuk Sulaiman Taha (bekas ADUN Tenang) merupakan anak Negeri Sembilan, tetapi ramai orang luar menjadi wakil rakyat di Johor.
Beberapa pihak mendakwa, kenyataan Shamsul Bahari itu seolah-olah menafikan peluang Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis Rosedin Mahamud yang juga merupakan anak Negeri Sembilan.
Di Mersing, bekas Ahli Parlimen Mersing dan bekas ADUN Endau, Allahyarham Kadri Sabran merupakan anak jati Selangor boleh menang mudah apabila dicalonkan.
Di Sungai Benut (kini Simpang Renggam), Datuk Abd Hamid Abd Rahman adalah orang Baling, Kedah bertanding dan menang kerusi Parlimen dan DUN.
Begitu juga Datuk Shahrir Abdul Samad dilahirkan di Pahang tetapi kekal dan menang di Johor Bahru.
Tan Sri Syed Hamid Albar yang kini Ahli Parlimen Kota Tinggi tidak dilahirkan di Johor tetapi diterima baik di Johor.
Sepatutnya, isu anak tempatan dalam Umno tidak perlu ditimbulkan kerana Umno sentiasa sedia menerima sesiapa sahaja yang sanggup menjadi pemimpin. Rosedin boleh menang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Labis dan pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian yang sama tanpa apa-apa isu anak tempatan atau pun tidak.
Sepatutnya, sebagai Ketua Penerangan Umno negeri, Shamsul Bahari tidak perlulah mendahului Menteri Besar dalam membuat kenyataan kerana ia tidak menguntungkan parti.
Dalam MCA dan MIC, calon-calon luar menang selesa di Johor antaranya Tun Dr. Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Ka Ting adalah anak kelahiran Perak tetapi menang di Johor.
Begitu juga Datuk Dr. S. Subramanian yang menjadi Ahli Parlimen Segamat dan Menteri Sumber Manusia bukan anak Johor tetapi menang di Segamat.
Mengapa, ketika Umno kehilangan seorang ADUN, isu anak tempatan dan bukan anak tempatan perlu dijadikan isu?

Tiada ulasan: