Oleh Ujang Shamsul Bahari
BAHAN-BAHAN yang tersiar di blog ini, sebahagiannya dipetik dari blog-blog lain dan sebahagiannya, sumbangan penulis-penulis yang komited dengan pemerhatian politik masing-masing, sebenarnya tidak mempunyai apa-apa agenda.
Cuma, apabila ada isu yang berkaitan dengan politik Terengganu, masing-masing menjadikan isu kemelut politik Terengganu sebagai bahan yang mahu mereka perkatakan dan pastinya ada yang kurang senang dengan ulasan tersebut kerana ia dilihat tidak membantu kepada penyatuan dua puak yang bertelagah.
Maka, tentulah blog dan blogger dipersalahkan, kononnya tidak membantu ke arah penyatuan dan usaha mahu berbaik-baik antara Kumpulan Datuk Seri Ahmad Said dengan Kumpulan Datuk Seri Idris Jusoh.
Komentar terbaru, menyifatkan posting di blog ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada penyatuan dua kumpulan yang bertelagah! Betul ke?
Sebenarnya, tulisan-tulisan yang disiarkan itu tidak pernah berguna kepada sesiapa, jika tidak ada sesiapa di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang tergamak memboikot persidangan DUN.
Ini isunya!
Mungkin mereka yang tidak sukakan tulisan yang dirasakan berpihak, menganggap isu pemboikotan itu sudah lama berlalu dan sudah lama berlaku. Maknanya, ia bolehlah dianggap sudah selesai.
Begitukah?
Hakikatnya, ia tidak begitu. Hakikatnya ia belum selesai sepenuhnya. Hakikatnya, pihak yang tidak puashati dengan kejatuhan Idris Jusoh masih berdendam dengan Menteri Besar (MB). Itulah sebabnya, yang terbaru, timbul cerita ada empat ADUN tidak bercakap langsung dalam Persidangan DUN yang berlangsung dari 13-16 Disember yang lalu.
Itulah sebabnya, selagi ada yang masih berdendam, maka blog dan blogger perlulah memainkan peranan masing-masing. Memang ada seorang dua yang tidak setuju serangan dihalakan kepada Geng Budak Hitam (yang bermula dari 10, tetapi kini mungkin tinggal empat), tetapi sebenarnya, tingkah laku mereka ini lebih teruk kesannya kepada rakyat dan negeri Terengganu secara keseluruhannya.
Apa yang disiarkan di blog ini, tidak menjadi kudis kepada Geng 10 Budak Hitam sebenarnya kerana tidak ramai mana yang melayari blog ini. Tetapi, walaupun hanya 10 orang yang membaca tulisan dalam blog ini, ia sudah dianggap memadai kerana kebenaran perlu dipertahankan.
Kalau Geng 10 Budak Hitam merasakan tindakan mereka memboikot persidangan DUN itu betul, biarlah mereka pertahankan. Tiada siapa yang berani mengambil tindakan kepada mereka.
Jika Idris Jusoh merasakan dia tidak perlu menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu apabila Datuk Seri Ahmad Said menjadi pengerusinya, dia boleh terus melakukannya kerana tiada siapa yang berani menegurnya kerana kononnya, jasa Idris terhadap Terengganu tidak ada tolok bandingnya sejak kewujudan Terengganu itu di bumi ini.
Jika berdiam diri dan melihat sahaja serangan pembangkang terhadap kepimpinan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri itu sesuatu yang baik buat empat ADUN yang datangnya dari Geng 10 Budak Hitam, mereka boleh terus berdiam diri kerana Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri tidak pernah berani mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka.
Ketika Idris dan konco-konconya mahu melakukan apa yang dia fikirkan baik, mengapa usaha dan tindakan penulis, blogger dan blog ini dianggap tidak memberi apa-apa sumbangan kepada penyatuan dua puak yang bertelagah?
Apakah, pandangan mereka yang tidak sukakan posting di blog ini, tindak-tanduk kumpulan ADUN yang mahu merosakan Umno dan BN di Terengganu adalah usaha ke arah penyatuan dua kumpulan yang bertelagah?
Sepatutnya, para komentetar yang tidak sukakan apa yang disajikan di blog ini, turut memainkan peranan supaya memberi komen kepada kumpulan ADUN yang tidak habis-habis membuat onar di Terengganu kerana rakyat Negeri Terengganu memerlukan pembelaan dan pembangunan yang berterusan.
Kalau Idris dan konco-konconya boleh berhenti dari membuat onar, tidak adalah sesiapa yang sanggup membuang masa menulis dan posting artikel dan tulisan untuk menegurnya.
Itulah sebabnya, ada seruan supaya Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Mohd Pehimi Yusof diseru supaya meninggalkan Idris. Bukan kerana Idris itu jahat tetapi kerana banyak lagi tugas yang perlu mereka laksanakan daripada terikut-ikut rentak orang kecewa.
Salahkah seruan meminta Rosol, Din dan Mohd Pehimi meninggalkan Idris? Jika seruan ini mencadangkan Rosol, Din dan Mohd Pehimi meninggalkan Umno dan menolak BN, mungkin ia salah tetapi menyeru mereka bertiga meninggalkan Idris, rasanya demi memperkuatkan Umno dan BN di Terengganu, adalah seruan yang betul.
Ketika ini, kalaulah orang-orang yang masih menyokong Idris dapat bermuhasabah diri, tentulah mereka sedar apa yang berlaku terhadap Idris, adalah pembalasan di atas perbuatannya sendiri.
Ingat! Doa orang yang teraniaya memang tidak ada hijab antaranya dengan Allah.
Jadi, kalau ada sesiapa yang mahu membariskan jasa-jasa Idris di Terengganu, silakan. Tetapi, jika ada orang yang mahu membariskan apa perbuatan Idris yang tidak patut dan tidak wajar, juga silakan.
Bukan ia bertujuan memburuk-burukkan sesiaapa tetapi bagi mempertahankan kebenaran.
Malangnya kita kalau bercakap benar, dipersalahkan kononnya tidak berusaha ke arah penyatuan dua puak tetapi yang melakukan kesalahan, dibela habis-habisan dengan alasan dia pernah membuat jasa.
Perlu diingat, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar pun akhirnya terpaksa keluar dari Umno, apalah sangat dengan jasa Idris Jusoh apabila dia membuat pelbagai onar dan apalah sangat jasa seorang dua ADUN di Terengganu ini, yang sama-sama menerima SMS bernada ugutan hingga sanggup memboikot persidangan DUN.
Bukan setakat itu, siap dengan fitnah kononnya SMS itu datangnya dari Pejabat Menteri Besar – Bukankah itu sebenarnya satu usaha mahu menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Said?
1 ulasan:
Assalamualaikum ,
Sdr sebetulnya harus lebih bijak mengutarakan perimbangan fakta antara kedua2 pihak jika mengujakan dan mendambakan pembaca blog ini menyokong apa yg sdr katakan bahawa "berkata benar dianggap salah, buat salah dipertahankan". Ianya penting agar sdr dilihat tidak memuslihatkan keadaan dan ia akan nampak lebih tulen bahawa sdr tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam hal ini.
Nasihat saya, rujuklah kepada Blogger yang lebih kredibel seperti Rockybru @ Kudakepang etc. Cara mereka mengutarakan senario dan mengupas senario dan memberikan khalayak untuk membuat penilaian amat unik. Mereka tidak memomokkan fakta untuk pembaca menelan sahaja tetapi juga berfikir.
Sdr, juga kena bijak membaca komen2 dari pembaca...baca yang tersirat dan bukannnya dengan emosi lantaran pembaca melihat sesuatu perkara bukan dari kacamata yg sama dengan sdr. Btw, keep it up. UMNO perlukan org2 seperti sdr untuk berhadapan dengan kelompok khalayak yang lebih kririkal, dinamik dan culas pemikirannya. Ikhlas.
Catat Ulasan