Jumaat, 31 Disember 2010

Pelantikan Ahmad Said – Pemimpin UMNO Terengganu Tidak Gembira?

Walaupun dikatakan banyak pihak yang mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang baru, tiada kenyataan pemimpin UMNO Terengganu mengalu-alukannya.

Hanya kenyataan Setiusaha Perhubungan UMNO, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sahaja yang boleh ditatap - sementara yang lain membisu.

Menurut Tengku Putera, pelantikan semula Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan memberi nafas baru kepada UMNO dan negeri ini. Ia membuktikan pucuk pimpinan tertinggi negara yakin dengan kemampuan pemimpin negeri menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.

Beliau menyifatkan pelantikan itu turut melenyapkan pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO negeri seterusnya menjadi permulaan baru untuk parti menyusun dan menggerakkan agenda menghadapi pilihan raya. “Saya rasa pengumuman ini amat dinantikan oleh semua. Menteri Besar sendiri akan mengetuai UMNO negeri dibantu oleh Timbalannya, Yahya Khatib Mohamad.

Mereka merupakan orang yang paling layak untuk menjadi perantaraan antara kepimpinan dan rakyat. Pelantikan ini tentunya ditimbangkan bukan dalam sehari dua dan saya yakin penyerahan kembali jawatan ini amat bermakna dalam perkembangan politik di negeri ini,” katanya.

Kita tidak tahu apa reaksi Ketua-Ketua Bahagian UMNO Terengganu, kecuali Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad yang kebetulan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Negeri.

Menurutnya, walaupun menyedari tanggungjawabnya kini semakin besar, namun dia akan bekerja seperti biasa dan melipatgandakan usaha untuk menyatukan UMNO Terengganu.

Beliau mengakui tidak akan mampu untuk bergerak seorang diri dan memerlukan sokongan di semua peringkat, terutamanya di peringkat bahagian dan semua wakil rak-yat yang telah diberi amanah.

“Kalau dulu, tumpuan saya adalah memperkemaskan UMNO Bahagian Marang, tapi apabila diberi tanggungjawab baru ini, saya perlu memikirkan dan melipatgandakan usaha kerana dalam konteks negeri, ia lebih meluas. Walaupun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang mempercayai dan memberikan saya amanah ini, saya berjanji akan melaksanakannya dengan sebaik mungkin demi UMNO Terengganu dan juga parti,” katanya.
Ketika ditanya gandingannya iaitu Datuk Seri Ahmad Said yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Yahya berkata, dia akan memberikan sokongan sebaik mungkin kepada Menteri Besar Terengganu itu. “Saya sudah biasa bekerja dengannya dan saya tiada masalah untuk bersamanya memperkasakan UMNO, terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Kita akan laksanakannya sebaik mungkin, selaras de-ngan kehendak parti dan juga rakyat,” katanya

Bagaimana pula dengan Exco Kerajaan Negeri yang kebanyakan mereka juga mempunyai jawatan dalam parti di bahagian-bahagian, kalaupun tidak sebagai Ketua Bahagian.

Apa sikap pemimpin UMNO Kemaman sendiri, umpamanya ADUN Cukai, Datuk Mohd Awang Tera?

Juga cuba diintai pendirian pemimpin seperti Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Puteri UMNO mengenai pelantikan itu tetapi ternyata mereka berdiam diri.

Persoalannya apakah pemimpin UMNO negeri Terengganu membisu sebagai tanda setuju seperti ‘anak dara di zaman 50an dan 60an’ yang berdiam diri tanda setuju apabila ada yang masuk meminang?

Kenapakah pemimpin UMNO negeri bersikap membisu seribu bahasa mengenai pelantikan ini kecuali beberapa blog yang mengalu-alukan pelantikan Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkuatkuasa mulai esok (1 Januari 2011).

Kita boleh faham jika puak yang ‘kurang berahi’ dengan Ahmad Said menyepi. Orang seperti Datuk Din Adam (ADUN Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat) , Zakaria Abdullah (Paka), Halim Jusoh (Permaisuri) dan beberapa yang main mungkin tengah telan Panadol. Sebabnya? Demam Tak Kebah!

Mereka tentunya berasa kalah dalam usaha mengetepikan Ahmad Said apabila Presiden UMNO tetap membuat keputusan menggembalikan Ahmad Said ke tempat sepatutnya.

Tentunya mereka ketika ini bagaikan laying-layang yang putus talinya apabila tempat bergantung mereka – Hishamuddin – tidak lagi boleh diharapkan.

Beberapa blog pemimpin Terengganu seperti blog Datuk Rosol Wahid , Ramli Nuh, Datuk Nasir Ibrahim Fikri serta Ahmad Razif langsung tidak menyentuh soal ini.

Walaupun blog Rosol, Nasir dan Razif diupdate, kecuali blog Ramli Noh yang tidak dikemaskini sejak Ogios, tiada langsung komen dan ucapan tahniah terhadap bos mereka.

Razif dan Nasir hanya memperkatakan aktiviti mereka sementara blog Rosol yang mengulas mengenai ‘Tahun baru 2011,Syukur dan Sawit ‘ hanya mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak Malaysia yang menang Piala Suzuki.

Pada blognya bertarikh hari ini 31 Disember 2011, Rosol mengatakan blognya tidak dikemaskinikan kerana ketiadaan masa yang sesuai ditambah pula ketiadaan isu atau perkara yang boleh dibangkitkan.

Rosol bersyukur kerana harga sawit dan getah melambung tinggi. “Anak buah saya di Felda Bukit Bading, Felda Mengkawang, Felda Tersat dan Felda Jerangau Barat serta pekebun kecil getah dan sawit hari ini beritahu (royat) kepada saya bahawa mereka tidak pernah mengimpikan harga komoditi setinggi hari ini.”

Akhir sekali Rosol memetik kata hukamak berbunyi: 'Jadilah orang yang banyak memberi manfaat bukan mereka yang banyak membawa mudarat'.


Kepada dirinya atau kepada siapa beliau berpesan tak siapa yang tahu.

Dalam konteks UMNO Terengganu sekarang, kata-kata yang dipetik Rosol ini menarik kerana baki 10 Budak Hitam sepatutnya mengorak langkah segera untuk meninggalkan peranan mereka selama ini sebagai ‘mereka yang banyak bawa mudarat’ dan kembali ke pangkal jalan.

Kepada pemimpin mereka, Datuk Seri idris Jusoh, sudah-sudahlah. Kalaupun ada dendam kesumat, jangan dilemparkan kepada Ahmad Said kerana yang penting pencapaian UMNO.

Kerja ini kerja berpasukan. Jika Ahmad Said pernah membantu Idris – termasuk sanggup bergaduh pada persidangan DUN ketika menjadi Exco – Idris pula jangan main ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Jangan hanya kerana tidak dapat menjadi Menteri Besar, UMNO Terengganu mahu dikorbankan dan ingatlah kata petikan oleh Rosol agar menjadi ‘orang yang banyak memberi manfaat’.
Dipetik dari : http://teganukini.blogspot.com/

Tiada ulasan: