Ahad, 8 November 2009

Sathianathan ‘perli’ bila bercakap, kesudahannya…


Oleh Zainal Yusof

KETIKA memberi komen kemenangan pasukan Kelantan mengalahkan pasukan Perlis dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia, jurulatih Kelantan, Sathianathan bercakap dalam nada memperli.
Kononnya, pasukan di bawah tunjuk ajaknya bukan bermain bersungguh-sungguh, pun boleh mengalahkan pasukan Perlis…agaknya, kalau bermain dengan bersungguh, menang besar.
Pantuan Melayu;
Beras hancur, beras kasar
Buat jamuan masa kenduri
Inilah akibat bercakap besar
Akhirnya kita malu sendiri.
Ketika banyak pihak meramalkan pasukan Kelantan akan mengalah pasukan Nageri Sembilan dengan kelebihan dua gol (2-0), mereka lupa bahawa pasukan Negeri Sembilan di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan lebih selesa bercakap dengan penuh hemah dan tidak berlagak.
Hari ini, pasukan Kelantan boleh berbangga kerana kebangkitan semula mereka menyebabkan para penonton kian membanjiri stadium dan mereka datang dengan semangat mercun. Mereka tidak dibekalkan dengan bom tangan atau bom atom.
Dengan publisiti tiket-tiket dibeli penyokong Kelantan seolah-olah menyebabkan tiada penyokong Negeri Sembilan yang dapat masuk ke stadium.
Pelbagai dorongan diberikan kepada pasukan Kelantan, termasuk dari Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan sendiri, setelah melihat Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berjubah ke stadium, menyaksikan pasukan Kelantan bertemu Perlis.
Masing-masing mahu menumpang nama. Tan Sri Annuar Musa yang banyak perniagaan kelihatan tersenyum gembira dengan hasil kerjanya yang menyebabkan pasukan Kelantan yang selama ini terbiar, tiba-tiba menjadi begitu gah.
Para penyokong pasukan Kelantan yang mempunyai kepakaran membakar bas, memecahkan cermin kereta dan bertumbuk tidak pernah serik apabila Persatuan Bolasepak Kelantan pernah didenda – dan Stadium Sultan Mohamad bukan lagi vanue yang dibenarkan untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.
Ada pemain Kelantan yang pernah mengambil tindakan mahkamah terhadap KFA juga dibenarkan bermain semula – termasuk selepas didapati bersalah menumbuk pemain Negeri Sembilan.
Hari ini, bukan dengan mercun, lontaran air mineral dan membakar kenderaan penonton yang menjamin kemenangan Kelantan – termasuk bercakap macam memperli dengan memperkecil-kecilkan pasukan lain, seperti yang ditunjukkan Sathianathan, sebaliknya bermain dengan semangat kental, semangat kesukanan dan berhemah – menyebabkan yang ‘tidak dijulang awalnya’ akhirnya menjulang Piala Malaysia.
Semak semula laporan dan ramalan mereka yang bercakap di dada-dada akhbar – kecuali Datuk Soh Chin Auan meramalkan skuad Wan Jamak ada sedikit kelebihan.
Tahniah Negeri Sembilan, tahniah mereka yang berdisiplin, tahniah mereka yang bersemangat kesukanan dan tahniah buat mereka yang sentiasa membayar gaji pemain – hingga membawa hasilnya!

Tiada ulasan: