BAGI mereka yang mengikuti perkembangan politik Umno Terengganu, tentu ada yang terkejut dengan berita ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid dan ADUN Kuala Berang, Zawawi Ismail bersetuju menerima perlantikan semula jawatan sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Penerimaan jawatan ini berkuatkuasa serta-merta!
Ini seperti dilaporkan Berita Harian Jumaat, 13 November 2009 lalu. Sebelum ini Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Ajil, manakala Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Fatimah Hamat di Kuala Berang.
Kenapa perlu terkejut jika mendengar berita Rosol dan Zawawi menerima perlantikan ini? Apa yang peliknya?
Seorang penjual suratkhabar di Marang berkata, adakah tindakan Rosol dan Zawawi menerima perlantikan itu sudah memberi erti bahawa kemelut politik Terengganu tamat?
Katanya, jika ini yang dikejar Rosol dan Zawawi, kedua-duanya sudah dapat apa yang mereka hendak dan tumpukanlah taat setia kepada parti dan kepimpinan di peringkat negeri kerana rakyat dan pengundi sudah jelak dengan gelagat mereka.
Seorang peniaga buah pula berpendapat, Rosol dan Zawawi sepatutnya meminta izin terlebih dahulu daripada ketua Geng 10, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum menerima jawatan itu kerana dikhuatiri, tanpa persetujuan Idris, hubungan Rosol dan Zawawi dengan Idris akan menjadi masalah kelak.
“Setahu saya ketua dan pemimpin bagi mereka berdua (baca: Rosol dan Zawawi) adalah Idris Jusoh. Kalau mereka berdua tidak merujuk terlebih dahulu keputusan menerima perlantikan ini, nanti timbul pula masalah baru.
“Saya sudah jelak mendengar kemelut seperti ini. Kalau boleh, jangan layan mereka berdua ini,” katanya melahirkan kekecewaan.
Bagi Harun Yusof yang ditemui di Setiu mengharapkan kedua-dua ADUN ini kelak akan bercakap dalam persidangan DUN Terengganu dan bukan ‘menjahit mulut’ masing-masing seperti di persidangan yang lepas.
Kata Yusof, kedua-dua ADUN ini sepatutnya sudah mula menjelajah ke seluruh DUN masing-masing untuk memberi penjelasan sebenar tentang kepimpinan negeri yang banyak menumpukan kepada kebajikan rakyat bagi memperbetulkan persepsi silap selama ini angkara Geng 10.
Menurut laporan itu lagi,
Selain perlantikan itu, Rosol dan Zawawi diberi kuasa melantik Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).
Dengan persetujuan dan perlantikan itu, kemelut politik yang berlaku di negeri ini terutama di bahagian Hulu Terengganu dianggap selesai apabila Tengku Putera dan Fatimah secara sukarela melepaskan jawatan yang disandang sejak tahun lalu kepada Rosol dan Zawawi.
Rosol yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, berkata beliau dan Zawawi bersetuju menerima semula jawatan itu demi kestabilan serta memartabatkan parti, walaupun beberapa syarat diberikan termasuk perlu mengadakan perbincangan sebelum membuat rombakan JKKK.
“Walaupun JKKK dan pegawai APMT yang sedang melaksanakan tugas sekarang dilantik Tengku Putera serta Fatimah, kita bersetuju mengekalkan perlantikan itu sehingga kontrak mereka berakhir pada 2011,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan