Ahad, 15 November 2009

Stadium : Kontraktor asal kena baik pulih


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek memberitahu, kabinet sudah memutuskan bahawa kontraktor asal yang membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak diarahkan membaik pulih bumbung yang runtuh, awal Jun lalu.
Ini kerana stadium itu masih dibawah tanggungjawab kontraktor kerana belum diserah sepenuhnya kepada kerajaan negeri.
Runtuhan bumbung tersebut yang menjadi berita hangat buat beberapa ketika kerana ia baru sahaja setahun digunakan dan pembinaannya menelan belanja RM292 juta – dibina di zaman Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu.
Pelbagai cerita timbul kerana beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khabarnya berhajat untuk memanggil ke pejabat mereka tiga bekas Exco Kerajaan Negeri – Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh juga mengeluarkan kenyataan dia sudah bersedia untuk dipanggil SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap perlantikan kontraktor dan perkara-perkara yang boleh membantu siasatan ekoran keruntuhan tersebut.
Tidak lama kemudian, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor melahirkan rasa kecewanya kerana kejadian runtuhan bumbung stadium ini cukup memalukan imej negara di mata luar.
Selain bumbung stadium runtuh, kolam renang di Pusat Akuatik pula merekah dan bocor hingga menjejaskan gerai-gerai bersebelahan dan tidak lama selepas itu bumbung Lapangan Terbang pula berterbangan.
Bekas Exco Islam Hadhari Negeri, Rosol turut melahirkan rasa hairan mengapa banyak pihak mahu mengaitkan dirinya dengan kontraktor yang mendapat projek pembinaan stadium ini.
Dalam perkembangan yang sama, Wan Hisham juga tidak suka sesiapa mahu mengaitkan dirinya dengan tender dan kontrak pembinaan stadium yang mulanya berharga tidak sampai RM200 juta tetapi apabila siap, ia mencecah harga RM292 juta.
Blogger ‘jaranganakmelayu’ yang pernah bekerja di Pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu ketika Idris menjadi Menteri Besar mendakwa, keruntuhan ini mungkin kerana Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar tetapi kalau Idris yang menjadi Menteri Besar, barangkali keruntuhan ini tidak berlaku.
Malangnya, tiada media yang melaporkan apakah Idris, Rosol, Wan Hisham dan Din Adam pergi melawat atau tidak kawasan runtuhan ini kerana beberapa pihak menjadikan kesan runtuhan itu sebagai lokasi perlancongan dan tempat fotografi yang menarik.

Tiada ulasan: