Sabtu, 3 Oktober 2009

SOUR GRAPE DAN LEBIH KERAK DARIPADA NASI…

(Dipetik dari http://ohsedapnya.blogspot.com/ dan ia ada kaitan dengan tulisan yang pernah tersiar dalam blog ini. -Redaksi )

Ada pelakon tambahan yang bersikap sour grape dengan kembalinya enam ADUN ke arus perdana politik UMNO Terengganu.

Pelakon tambahan ini, kononnya mahu menjadi dalang tetapi ternyata kantoi dan terkejut dengan tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa Hishammuddin baru-baru ini.

Dia tidak percaya tujuh ADUN berkenaan boleh mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan hala tuju UMNO negeri itu.

Malah, pelakon tambahan ini menulis dalam blognya dengan mempertikaikan kenapa ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam yang mewakili kumpulan ADUN itu boleh membuat kenyataan yang mampu meredakan kemelut politik Terengganu.

Dia bagaikan terkejut dan hampir pengsan apabila pertemuan dengan Hishammuddin itu sebenarnya mahu memperkukuhkan UMNO Terengganu di bawah kepimpinan negeri.

Gelagat pelakon tambahan ini menjijikkan apabila mengucapkan selamat hari raya kepada Menteri Besar mengatakan “Selamat hari raya MB Mat Said. Maaf zahir sahaja deh…”
Hakikatnya, siapa dia ini? Besar sangatkah dia ini? Bijak sangatkah dia ini? Atau mulia dan berpengaruhkan dia ini?

Janganlah nak menjadi ‘lebih kerak daripada nasi…”.

Apabila dua pihak yang berselisih dan kini bercantum kembali, bersyukurlah. Jangan pula ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong…”

Kalaupun mahu membela beberapa orang, janganlah sampai mengherdik atau mencela pemimpin lain yang berusaha menegakkan UMNO demi menjamin Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di Terengganu.

Ingatlah, perpaduan UMNO adalah penting untuk rakyat Terengganu.

Bukan rakyat sahaja yang mahu melihat Terengganu tenang, Pemimpin pusat tenang dan pihak istana juga tenang.

Janganlah terus mahu menjadi pecacai yang cuba melagakan pihak yang sedang mahu berbaik-baik, nanti kita juga yang akan diketawakan.

Ini kerana ketika kita masih dibuai perasaan ingin melaga-lagakan orang, orang yang mahu dilaga-lagakan itu sudahpun duduk semeja dan mentertawakan kita yang bagai tidak bertempat dan beradab.

Selama mana mahu menjadi pelakon tambahan yang wataknya hanya kerja mencucuk jarum memfitnah dan memecahbelah…

Kesian, sudahlah melukut di tepi gantang, tidak tahu mengenang untung dan tidak sedar diri di mana kaki berpijak.

Sedar dan insaflah sedikit, kalau sudah pernah merasai kesenangan dan menerima habuan, berilah peluang orang lain pula merasai nikmat yang sama.

Janganlah kita menjadi jarang anak Melayu yang bersikap memporak-perandakan perpaduan dan persahabatan. Tetapi jadilah jarang anak Melayu yang ingin melihat stabilnya UMNO dan ikatan persahabatan yang semakin erat antara ADUN dan kepimpinan negeri.

Janganlah kita bersekongkol dengan mereka yang enggan tunduk kepada orang lain, termasuk istana, hanya kerana pernah ‘kenyang’ kerana seseorang.

Janganlah persoalkan tidak tentu hala sehinggakan keputusan Sultan melantik seseorang menjadi Menteri Besar pun mahu kita persenda. Tidak baik sebagai rakyat berbuat begitu.
Pihak yang melantik mempunyai sebab tertentu kenapa memilih seseorang. Apakah Baginda Sultan tidak mengambil kira banyak perkara sebelum memutuskan untuk memilih Menteri Besarnya?

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi”. Lebih-lebih lagi kita sebagai pengajar, kalaupun benar-benar berbisa, apa salahnya kerana ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’.

Namun nampak sangat pelakun tambahan ini terlalu bimbang apabila ADUN-ADUN seperti ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, , Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), dan ADUN Hulu Besut, Nawi Muhamad selain Datuk Din Adam (Bukit Besi) kini sanggup melupakan ‘ribut secawan kopi’.

Pelakun tambahan ini terus khayal kononnya dialah hero dan berusaha untuk terus mengeruhkan suasana agar dirinya dipuja sebagai jarang anak Melayu yang sanggup mengetepikan segala perbezaan dan perselisihan.

Apapun apalah daya kita jika dia terus menjadi pelakun tambahan sedemikian rupa. Biarkan, biarkan….

Biarlah dia hanyut sebagai jarang anak Melayu yang tidak mahu berenang ke tepian atau berusaha mencari daratan.

Mungkin baginya kemelut dan perselisihan lebih mulia daripada bersalam-salaman, makan semeja dan ketawa-hilai bersama!

Jadi sesuai sangatlah jika dia menggelarkan dirinya jarang anak Melayu…kerana pada ketika orang lain sudah bertaut semula, dia masih terkapai-kapai dengan sikap dan falsafahnya selain sour grape dengan kumpulan yang kembali ke arus perdana.


Tiada ulasan: