Oleh Ahmad Ishak
PERTELAGAHAN antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu dilihat dari sudut ‘polemik’ – iaitu perbahasan ilmiah yang mempunyai fakta dan bukan serangan peribadi.
Bagi saya, alasan ke 10 Ibrahim bahawa Menteri Besar itu telah gagal mengujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan walaupun hampir 20 tahun memerintah sehingga menyebabkan lebih 100,000 rakyat negeri itu berhijrah ke negeri lain mencari rezeki perlu diperhatikan secara serius.
Apabila perdebatan atau pertelagahan berlaku antara Nik Aziz dengan sesiapa sahaja, orang lebih melihat kononnya Nik Aziz adalah ulama. Disebabkan dia ulama, maka tiada apa yang salah kalau dia bercakap, walaupun kadang-kadang percakapannya banyak yang tersasar dari perkara sebenar.
Jika ini dianggap sebagai kelebihan, untunglah Nik Aziz sebagai seorang ahli politik. Dia tetap disokong dan dipertahankan walaupun dia melakukan kesilapan. Malahan, ramai pula yang tampil mempertahankannya termasuk mereka yang tidak arif dalam hal-hal yang diperkatakan.
Berbanding dengan Ibrahim pula, apabila beliau bercakap, orang melihat kononnya dia seorang ahli politik serba mungkin. Sekali beliau menyokong Pas, sekali lagi, kelihatan beliau membelasah parti pembangkang itu. Ini cukup merisaukan Pas dan Nik Aziz dijadikan ‘meriam buluh’ oleh orang-orang Pas, untuk ‘menembak’ Ibrahim.
Persoalannya, apakah salah dakwaan Ibrahim mengatakan Nik Aziz telah gagal mengujudkan perluang pekerjaan kepada 100,000 rakyat Kelantan yang kini terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari rezeki?
Apakah perancangan Nik Aziz ketika mula-mula dilantik menjadi Menteri Besar dan adakah perancangan itu berjaya? Jika tidak Berjaya, apakah Nik Aziz tidak mahu membuat perncangan lain hingga membolehkan 100,000 rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan kembali ke negeri asal mereka untuk bekerja?
Fakta ini yang perlu dijawab oleh Nik Aziz dan bukan meminta Ibrahim mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenangi Ibrahim atas tiket Pas dalam PRU 12, Mac 2008 yang lalu.
Jika Nik Aziz merasakan dia tidak mempunyai idea untuk mengujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan, mengapa tidak mencari konsultan dari dalam atau luar negeri bagi membantunya mencetuskan idea bagi tujuan murni ini?
Baguslah rakyat Kelantan mempunyai seorang Ibrahim Ali yang berani menegur Nik Aziz yang dianggap oleh penyokong Pas sebagai ‘tengok gambar pun dapat pahala’ sedangkan rakyat terus sengsara kerana ketidak cekapannya mentadbir negeri.
Menjanjikan syurga dan neraka sahaja tidak memadai. Mengatakan Ibrahim makan gaji haram dan dia (Nik Aziz dan orang-orang Pas) makan gaji halal tidak menyelesaikan masalah rakyat Kelantan yang mengharapkan negeri itu dapat memberi mereka peluang pekerjaan.
Hari ini, jika Nik Aziz merasakan dia telah gagal, hanya dapat memajukan Kelantan dengan terbinanya KB Mall, Giant dan Tesco, mengapa tidak Nik Aziz mendapatkan khidmat pembantu dan penasihat berkaliber supaya Kelantan lebih maju dari sekarang.
Jika Kelangan maju, Nik Aziz tidak perlu meletakkan jawatan. Kalau Kelantan maju, Ibrahim tidak perlu menyerang Nik Aziz. Jika Kelantan maju, 100,000 rakyat Kelantan yang merantau ke negeri-negeri lain bolehlah terus menyokong Nik Aziz dan tidak perlu memintanya meletakan jawatan.
Nik Aziz tentunya tidak mahu mengaku dia gagal membangunkan Kelantan. Nik Aziz juga tentunya tidak mahu mengaku dia tidak berkemampuan untuk menjadikan Kelantan membangun. Maka, alasan terbaik yang boleh diberikan kepada rakyat ialah ‘pembangunan insan’ yang suci akidahnya dan bersih jiwanya! Cerita ini samalah dengan kisah seseorang yang membuat kajian (penyelidikan) tetapi tidak membangunkan apa yang diselidiknya. Hakikatnya, kajian atau penyelidikan yang tidak pernah dibangunkan (R & D) adalah kajian atau penyelidikan yang sia-sia.
Nik Aziz perlu memberitahu umum, penggal pertama, apa yang dibuatnya. Berapa ramai yang mendapat pekerjaan hasil dari pembangunan yang dilaksanakan. Penggal kedua, pembangunan apa lagi yang dibuatnya dan berapa ramai lagi yang dapat nikmat dari pembangunan tersebut. Penggal ketiga dan keempat, apa yang dibuatnya dan berapa ramai lagi yang menghirup nafas kelegaan dengan pembangunan yang dilaksanakan.
Perkara ini mudah kerana pembangunan mestilah nampak di depan mata. Jika yang ditunjuk hutan yang gondola kerana penebangan balak dan bukit yang ditarah kerana tanah-tanah diagih-agihkan kepada taikun-taikun, selain patung besar di Tumpat – itu bukan pembangunan namanya tetapi lambang kegagalan.
Kalau Nik Aziz berjaya membuktikan, bukan Nik Aziz yang kena berundur tetapi Ibrahim yang patut malu dengan serangannya yang tidak berasas.
Jumaat, 2 Oktober 2009
Rakyat Kelantan mencari kerja di luar – Ibrahim
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan