Khamis, 1 Oktober 2009

Pas mengharapkan Umno Terengganu terus berpuak-puak


Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

PERLANTIKAN beberapa Pengerusi Biro Umno Negeri Terengganu seperti yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak membawa apa-apa perubahan besar dalam konflik yang berlaku terhadap parti itu, kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau berkata, perlantikan itu sekadar bersifat penyelesaian sementara sedangkan kemelut di Terengganu sukar diatasi kerana sikap pemimpin Umno itu sendiri yang berpuak-puak.

Menurutnya, perlantikan baru yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu semata-mata menagburi mata rakyat.

“Rakyat Terengganu tahu apa yang berlaku, terutama membabitkan kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan kumpulan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.”

Dari kata-kata Syed Azman ini, membuktikan perbuatan Geng 10 yang kini tinggal Geng Empat sudah berjaya mengambarkan Umno di Terengganu dilanda kemelut dan tingkah laku Geng Empat yang masih berkeras mahu menunjukkan mereka tidak mahu menerima kepimpinan Datuk Ahmad telah menjadikan Pas kaya dengan modal baru untuk menyerang Umno.

Hakikatnya, bukan Umno yang berkemelut di Terengganu tetapi perbuatan cetek fikiran Empat ADUN yang tidak memegang jawatan penting dalam Umno, kecuali seorang dua yang diserang penyakit ‘gila talak’ kerana kehilangan jawatan.

Geng Empat mungkin takut diserang blogger yang mengharapkan mereka terus berusaha menggugat kepimpinan Datuk Ahmad. Malahan, perubahan sikap Datuk Din Adam yang kembali mahu bersama-saa kepimpinan Umno dan kerajaan di Terengganu diserang bekas pembantunya sendiri, Abdul Mubin Ismail melalui blognya, http://jaranganakmelayu.blogspot.com.

Blog http://besutlonih.com juga menyerang Datuk Ahmad dengan memberi tempoh seminggu untuk Datuk Ahmad meletakkan jawatan kerana baginya kepimpinan Datuk Ahmad tidak diterima oleh orang Besut. Kebetulan, Ketua Umno Bahagian Besut ialah Idris Jusoh, seorang pemimpin yang disifatkan oleh para penyokongnya yang taksub sebagai ‘pemimpin Besut yang bertaraf dunia’ dan banyak mencipta tamadun.

Malangnya, ketika mereka yang memuja-muji Idris Jusoh sedang beratib dan berzikir memuji Idris, tiba-tiba bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak runtuh.

Selang beberapa hari, Pusat Akuatik pula bocor dan diarahkan tutup. Kemudian Lapangan Terbang Sultan Mahmud pula tercabut dan berterbangan bumbungnya. Semua ini dibina di zaman seorang pemimpin yang bertaraf dunia dan pencipta tamadun di Terengganu.

Namun, blogger yang menyokong taksub Idris menyifatkan semua keruntuhan berlaku kerana ‘bala diturunkan oleh Allah’ kerana kepimpinan Datuk Ahmad tidak mendapat rahmat. Mereka tidak pula mencari sebab mengapa ia runtuh dan adakah ketika pembinaannya, berlaku unsur-unsur rasuah.

Blogger Abdul Mubin pula menyindir kononnya di era kepimpinan Datuk Ahmad, tiada apa yang akan runtuh, walaupun kandang kambing kerana tiada apa kompleks dan bangunan yang Datuk Ahmad bina sepanjang setahun menjadi Menteri Besar.

Mereka terus menyerang Datuk Ahmad. Bermula dengan Geng 10, memboikot persidangan DUN Terengganu dan menyebarkan cerita kononnya mereka takut keselamatan diri mereka terancam ekoran penerimaan SMS bernada ugutan, yang didakwa oleh Geng 10 ini diterima dari Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Datuk Ahmad juga digertak oleh mereka ini (ketika itu mungkin Geng 10 sudah bertambah menjadi Geng 11) kononnya mereka sudah berunding dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bersedia pada bila-bila masa, melompat ke PKR untuk bergabung dengan Pas, bagi menubuhkan kerajaan pembangkang di Terengganu.

Namun, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib menyifatkan mereka yang lompat melompat parti ini sebagai kumpulan jijik yang sekaligus membantutkan usaha Geng 10.

Jangan terkejut, Geng Empat ini tidak akan berputus asa untuk merosakkan imej kepimpinan Datuk Ahmad seterusnya walaupun mereka sedar, tidak ada apa lagi yang boleh mereka lakukan kecuali menabur fitnah kononnya pegawai-pegawai kerajaan di Terengganu tidak menerima Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar.

Tiada ulasan: