Khamis, 1 Oktober 2009

Bagan Pinang : Cerita Menarik selepas pengumuman calon


Oleh Zamzuri Damanhuri

BARISAN Nasional sudah membuat keputusan mencalonkan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon di DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil, 11 Oktober ini.
Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dibuat di hadapan lebih 10,000 hadirin yang memenuhi khemah besar di tepi jalan, Batu 6 Teluk Kemang, 29 Oktober lalu, lebih kurang jam 5.15 petang.
Ada yang berpelukan, ada yang berlinangan airmata dan ada yang bersorak gembira kerana mereka semuanya bersatu hati mahukan Mohd Isa yang pernah dihukum dengan mengantung keahlian Umnonya selama tiga tahun, membuat ‘come back’ dalam politik.
Muhyiddin sendiri, kelihatan cukup gembira apabila pertanyaannya kepada hadirin, “siapa yang tuan-tuan mahu dicalonkan di sini?” disambut serentak suara hadirin “Mohd Isa”. Berulang-ulang kali Muhyiddin bertanya dan jawapannya tetap sama dan beliau dengan senyum penuh makna terus menamakan Mohd Isa sebagai pilihan pucuk pimpinan dan mengikut kehendak akar umbi menamakan Mohd Isa.
Paling menarik, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti memilih Mohd Isa sedangkan beberapa kali beliau memberikan pandangan supaya BN jangan memilih Mohd Isa dan Dr. Mahathir juga mahukan Mohd Isa mendesak pucuk pimpinan supaya jangan menamakan beliau sebagai calon.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi yang turut menyokong pandangan Dr. Mahathir supaya BN tidak memilih Mohd Isa kelihatan hadir sama di hari pengumuman calon bersama-sama SUSKnya, Haji Salim Sharif yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Saad ketika Mohd Isa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Kelibat seorang lagi Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (Pengajian Tinggi) yang juga tidak mahu Mohd Isa dicalonkan tidak kelihatan tetapi kenyataan yang dibuatnya sehari kemudian di putrajaya turut menyokong Mohd Isa dan yakin BN akan mencapai kemenangan yang cemerlang dalam pilihan raya kecil kali ini.
Setakat ini, Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang belum mengeluarkan kenyataan selepas nama Mohd Isa dicalonkan kerana beliau juga digambarkan media sebagai tidak mahu Mohd Isa dicalonkan. Bekas Tahanan ISA, Tan Sri Abdullah Ahmad yang dikaitkan dengan ideologi komunis juga dalam tulisannya di Akhbar Sinar Harian menampakkan pendiriannya tidak mahu Mohd Isa menerima tawaran menjadi calon BN.
Tidak tahulah selepas ini, adakah Dollah Kok Lanas yang pernah ‘berperang’ dengan Tan Sri Annuar Musa dalam beberapa tulisannya akan menulis perkara-perkara baik atau sebaliknya mengenai calon BN di DUN Bagan Pinang ini kerana setiap kali dia menulis, dia akan menghina orang lain termasuklah Allahyarham Tun Ghafar Baba, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Baginya, dia seorang sahaja yang pandai dan orang lain tidak. Dollah Kok Lanas ni tidak pernah mendapat ijazah atau diploma dari mana-mana IPTA tetapi disebabkan dia pernah menjadi Setiausaha Politik Allahyarham Tun Abdul Razak maka dia merasakan dialah yang pandai dan setanding dengan kepandaian Tun Razak, agaknya.
Sebenarnya, orang seperti ini tidak ada tempat dalam Umno. Cuba bertanya kepadanya, berapa kali dia menang MT?
Ketika jentara BN akan berkerja keras di Bagan Pinang kerana ingin mencari kemenangan besar, ramai yang tidak berkesempatan datang mendoakan kemenangan berpihak kepada Tan Sri Mohd Isa. Malahan, kemenangan ini nantinya akan memberi nafas baru kepada BN dan Umno walaupun Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapannya di hari pengumuman calon mengatakan Umno dan BN sedang lemah dan tidak kuat.
Yang tidak kuat bukan BN dan Umno tetapi pemimpin macam Mohamad Hasan yang kalah bertanding MT walaupun dia adalah Ahli Majlis Tertinggi yang mempertahankan jawatannya.
Kepada beberapa blogger yang turut tidak menyenangi Mohd Isa dipilih sebagai calon, hari ini mulakanlah tulisan-tulisan yang memperkatakan kebaikan yang Mohd Isa pernah buat walaupun ada sekali dalam karier politiknya beliau telah dikatakan melanggar kod etika pemilihan.
Berjumpa di Bagan Pinang!

Tiada ulasan: