HARI ini, Rabu 29 September 2009 adalah hari biasa yang tidak ada apa-apa kelebihannya kecuali kepada dua insan di Negeri Sembilan, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan hadir di DUN Bagan Pinang, dekat Port Dickson, dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang untuk mengumumkan nama calon yang bakal mewakili BN dalam pilihan raya kecil, 11 Oktober 2009.
Jika Muhyiddin menamakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pilihan pucuk pimpinan BN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan bolehlah memilih dua jalan – jalan pertama, sabotaj pilihan raya kecil ini hingga boleh mengalahkan Mohd Isa dan pilihan kedua, berkemas-kemas barang peribadinya dari Pejabat Menteri Besar, untuk dibawa balik ke rumah.
Memilih Mohd Isa, Mohamad Hasan akan mati politinya dan jika memilih untuk menghidupkan politik Mohamad Hasan, nama Mohd Isa jangan sesekali dicalonkan semula di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri, kerana jika dia menang, sekaligus akan membunuh politik Mohamad Hasan.
Menurut cerita mereka yang rapat dengan Mohamad Isa, dua kali Mohamad Hasan menawarkan kepada Mohd Isa untuk disokongnya menjadi calon di DUN Bagan Pinang tetapi dalam masa yang sama, Mohamad Hasan membawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke kediamannya di sambutan Hari Raya, untuk bercakap, “jangan pilih Mohd Isa sebagai calon BN di DUN Bagan Pinang.”
Khabarnya, ada saudara mara Mohamad Hasan memberitahu kawan-kawannya, “mandikan (kalahkan) Mohd Isa jika dia terpilih (bertanding di DUN Bagan Pinang”.
Cerita ini ialah cerita dari mulut ke mulut. Untuk tidak mempercayainya, agak sukar. Kerenggan hubungan Mohamad Hasan dengan Mohd Isa sebenarnya sudah menjadi rahsia umum. Malahan, sebuah laman portal berita Bahasa Malaysia semalam (Selasa, 28 September) memetik kenyataan Mohamad Hasan yang tidak mahu memberi sebarang komen apabila ditanya adakah beliau tahu siapakah calon yang bakal mewakili BN di DUN Bagan Pinang.
Politik Umno di Negeri Sembilan penuh dengan kejadian yang menakutkan! Pernah ada mereka dari kalangan Umno yang kehilangan nyawa akibat ditembak. Perbicaraannya mencatat sejarah perbicaraan paling panjang suatu ketika dahulu.
Kebetulan, di Negeri Sembilan lahir ramai pemimpin terkenal. Mana mungkina nama-nama seperti Tan Sri Napsiah Omar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Khairy Jamaluddin semuanya datang dari Negeri Sembilan.
Mohamad Hassan tidak perlu takut jika nama Mohd Isa kembali timbul disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar kerana ia merupakan perkara biasa di Negeri Sembilan. Suatu ketika dahulu, ketika Mohd Isa menjadi Menteri Besar, dia juga dibandingkan dengan Datuk Yazid Baba, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang dan Napsiah.
Ketika Napsiah, seorang Menteri Kabinet dihantar pulang ke Negeri Sembilan, semua orang yakin bahawa Perdana Menteri ketika itu mahukan Napsiah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, yang sekaligus menamatkan kisah tidak pernah seorang perempuan menjadi Menteri Besar di mana-mana negeri. Malahan, Napsiah dipetik sebagai berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika itu merupakan seorang yang cukup berpengaruh dalam politik Umno) sudah menjanjikan bahawa Napsiah memang bakal menjadi Menteri Besar.
Selepas Napsiah tidak berjaya, Yazid juga gagal dan Abu Zahar dihanyutkan terus oleh ‘Sungai Muar’ yang melintangi Kuala Pilah, Mohd Isa berjaya diturunkan dari takhta Menteri Besar oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bukan setakat diturunkan, malahan Mohd Isa pernah dicatatkan dalam sebuah buku tulisan Rais Yatim sebagai seorang Menteri Kabinet yang paling singkat memegang jawatan yang kemudiannya dipadamkan oleh Datuk Zaid Ibrahim menjadi menteri beberapa bulan sahaja.
Penggal pertama Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar, kedudukannya sering dibandingkan dengan nama Datuk Rais Zainuddin yang merupakan orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi. Namun, dalam PRU 12 yang lalu, Mohamad Hasan berjaya menyingkirkan Rais Zainuddin dari senarai calon BN yang sekaligus menyelamatkan kedudukannya di Negeri Sembilan.
Namun, kekalahan BN di 15 kerusi DUN menyeramkan Abdullah. Selain kehilangan Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, Negeri Sembilan merupakan negeri di mana BN tiada suara 2/3 di DUN. Ramai yang mengharapkan Mohamad Hasan berundur dari kerusi Menteri Besar tetapi lain jadinya kerana bukan Mohamad yang berundur sebaliknya Abdullah sendiri berundur.
Pengunduran Abdullah tidak menyebabkan Mohamad Hasan selesa kerana secara tiba-tiba ADUN Bagan Pinang, Azman Mohamad Nor meninggalkan akibat jangkitan dalam darah. Ia sesuatu yang tidak diduga sama sekali malahan, memang tidak menyenangkan banyak pihak di dalam Umno kerana ketika ini, selepas PRU 12, BN sudah kalah di lapan tempat – antaranya Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti (tidak menyertai pilihan raya kecil ini), Bukit Gantang, Bukit Selambau, Kuala Terengganu dan Manek Urai.
Ketika BN tidak mahu ada lagi siri pilihan raya kecil, Mohamad Hasan tentunya mengharapkan jika berlaku pun kekosongan DUN, janganlah ia berlaku di kawasan Parlimen (Bahagian) Teluk Kemang di mana Mohd Isa adalah Ketua Umno di bahagian tersebut.
Kenapa ketika Mohd Isa dibidas bekas Perdana Menteri, Mohamad Hasan mendiamkan diri? Adakah Mohamad Hasan memang mengharapkan lebih banyak serangan dihalakan kepada Mohd Isa yang sekaligus menjadikan benteng mempertahankan Mohamad Hasan?
Apakah kali ini, Mohamad Hasan yang pernah melantik abangnya Datuk Azman Hasan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Setiausaha Umno Bahagian Rembau yang diketuainya akan berkonfrantasi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Muhyiddin jika kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini menamakan Mohd Isa sebagai calon BN.
Muhyiddin khabarnya terkejut apabila Mohd Hassan masih tidak memberi apa-apa bantuan dan kemudan kepada Umno dan BN Bahagian Teluk Kemang untuk membuat persiapan pilihan raya kecil ini walaupun kebiasaannya peruntukan pilihan raya sudah disalurkan ke cawangan-cawangan apabila persiapan mahu dibuat.
Ketika Mohd Isa mungkin tidak kisah sama ada namanya dicalonkan semula atau tidak, sementelah dia sudah pernah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun, Exco Kerajaan Negeri selama empat tahun dan setahun lebih menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Hasan pula memikirkan kedudukannya dalam politik Negeri Sembilan akan berakhirkah dengan pemilihan Mohd Isa sebagai calon petang ini.
Pengumuman nama calon ini adalah petanda hidup atau mati salah seorang dari mereka tetapi yang paling besar risikonya tentulah Mohamad Hasan kerana dia seperti sudah tahu tarikh kejatuhannya manakala Mohd Isa seperti sudah bersedia menerima hakikat sama ada akan naik semula atau, terus terhukum dengan permainan politik dalam Umno.
Yang lebih menarik, Muhyiddin sendiri sudah pernah ‘dikalahkan’ oleh Mohd Isa apabila Mohd Isa meninggalkannya dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden Umno dalam tahun 2004. Begitu juga Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikatakan amat popular dalam tahun 2004, hanya mampu tersenyum apabila mendapat tempat kedua dalam persaingan tersebut.
Lebih menyedihkan, Naib Presiden tiga penggal berturut-turut (1993-2004), Tan Sri Muhammad Muhd Taib tersingkir dari kedudukannya dengan kehadiran Mohd Isa.
Hari ini, siapalah Mohamad Hasan jika hendak dibandingkan dengan Ali Rustam, Muhyiddin dan Muhammad Muhd Taib jika Mohd Isa membuat kemunculan semula.
Ia cukup merisaukan dan sebelum sesuatu yang lebih dahsyat berlaku, usaha dan kerja keras mestilah dilakukan untuk menyekat Mohd Isa.
Umno, kata Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri tidak akan lemah dengan serangan musuh dari luar tetapi ia akan lemah dengan krisis dalaman. Petang ini nanti, satu lagi peristiwa menarik akan berlaku – walaupun ia di Negeri Sembilan, yang hanya mempunyai lapan kawasan Parlimen, bakal memperlihatkan satu lagi tragedi buat Umno.
Siapa yang akan mati dan siapa yang akan hidup – atau Umno akan tersungkur!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan