Rabu, 7 Oktober 2009

Pilih calon – Anak tempatan atau bukan anak tempatan



Oleh Zainal Yusof
MENJELANG hari pengundian 11 Oktober depan, pengundi di DUN Bagan Pinang diasak dengan cerita bahawa calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dilahirkan di Melaka dan bukan anak tempatan manakala calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar anak kelahiran Negeri Sembilan, tidak mungkin dapat mempengaruhi pengundi menukar selera mereka.
Cerita anak luar dan anak tempatan ini dibawa oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan yang merupakan anak jati Johor tetapi terpaksa bertanding di Kelantan kerana tidak ‘ada tempat dia boleh menang di negeri kelahirannya sendiri’.
Tapi, orang Pas ini biasalah! Dia akan jawab, dia bertanding sebagai Ahli Parlimen tetapi Tan Sri Mohd Isa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Macam mana pula dengan seorang anggota Exco di Kelantan, merupakan seorang anak Kedah tetapi boleh diberi tempat bertanding di Kelantan dan dilantik menjadi Exco?
Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Bukankah dia dilahirkan di Melaka dan untuk menjadi Ketua Menteri Melaka, memang mustahil maka dia bertanding di Pulau Pinang dan menang. Macam mana agaknya Salahuddin Ayob nak mempertahankan hujah ini?
Isu Mohd Isa terpilih bertanding di DUN Bagan Pinang sebenarnya bukan sahaja merisaukan Pas dan PKR tetapi beberapa penulis juga ‘risau’. Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas Ahli Parlimen Kok Lanas, Kelantan) dan seorang kolumnis akhbar Sinar Harian yang bergelar doktor juga ‘macam tak boleh tidur malam’ apabila Barisan Nasional menamakan Mohd Isa sebagai calon BN di situ.
Bukan kerana Mohd Isa tidak layak, tetapi pemikiran mereka ini sudah ‘korup’. Bagi mereka, jika pucuk pimpinan mahu memilih calon, pilihlah yang mereka kira Pas boleh ‘makan’.
Kalau calon BN itu dari kalangan yang Pas boleh ‘makan’, cara menulis dan komentar mereka berlainan. Itulah sebabnya, Barisan Nasional tidak perlu melayan mereka ini, sama ada dia seorang bekas diplomat, atau seorang pensyarah universiti atau dia seorang Naib Presiden Pas.
Mereka tidak ada isu! Mereka sudah ‘korup’ pemikirannya. Mereka menulis ketika mereka duduk di rumah dan tidak ke Bagan Pinang untuk membuat tinjauan dan melihat sendiri pembangunan yang dibuat oleh kepimpinan BN khususnya dalam era Mohd Isa sebagai Menteri Besar.
Biasalah. Mereka yang menentang dan memaki hamun ini adalah dari kalangan orang yang tidak tahu bersyukur. Mengkritik memang senang kerana tidak perlu apa-apa perancangan dan komitmen. Siang mereka tidur dan malam mereka berceramah. Bagi yang mengajar di universiti, mereka makan gaji. Majikan mereka ialah kerajaan Barisan Nasional. Mereka memaki hamun kerajaan yang menyuap nasi ke mulut mereka.
Jika bukan kerana keadilan dan keprihatinan Umno dan BN, mereka bukan sahaja tidak layak menjadi pensyarah atau diplomat, malahan, mereka mungkin tidak merasai keamanan yang negara ini miliki sekarang ini.
Tempohari, jika BN menamakan anak kepada Tan Sri Mohd Isa, Mohd Najib yang mewakili BN di situ, isunya tentulah ‘legasi’ atau kronie atau nepostime. Dalam masa yang sama mereka dari kalangan penulis dan kolumnis di media-media cetak akan cuba melindungi bahawa anak Lim Kit Siang dan menantunya juga merupakan calon DAP dalam pilihan raya, selain dari anak Karpal Singh, seorang menjadi ADUN dan seorang lagi menjadi MP.
Jika mereka tidak tinggal di Malaysia mustahil mereka mempunyai tempat untuk bertanding dan bergelar YB. Mahu mencari kawasan majoriti kaum Sikh, jauh sama sekali tetapi dasar kepelbagaian di Malaysia, meletakkan mereka tiga beranak menjadi YB.
Lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia boleh bertanding apabila isteri dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Anaknya, Nurul Izzah bertanding dan menang di Parlimen Lembah Pantai.
Orang Melayu dalam Umno jangan mudah terpersona dengan cerita Salahuddin Ayob. Dia orang Pontian di Johor. Kenapa dia tidak mahu bertanding di Johor. Banyak kerusi Parlimen Melayu di Johor termasuk Pontian, Johor Bahru, Pulai dan Pasir Gudang.
Isu Mohd Isa dilahirkan di Melaka, bukan atas kehendak Mohd Isa. Khabarnya, dalam PKR ada seseorang didakwa dilahirkan di Filipina tetapi entah macam mana mempunyai kad pengenalan Malaysia yang melayakkannya bertanding di DUN dan Parlimen dalam PRU 12 yang lalu. Nasib baik dia kalah. Kalau tidak, entah-entah rakyat Filipina bersorak gembira kerana rakyat mereka menjadi wakil rakyat di Semenanjung.
Pengundi di Bagan Pinang, jangan peduli apa cerita yang mereka bawa. Siapa yang mereka kenal antara Mohd Isa dengan Zulkefly. Jika mereka merasakan Mohd Isa sentiasa dekat di hati mereka, buatlah pilihan tepat. Jika sebaliknya, hak mereka untuk memilih wakil rakyat mereka sendiri.
Jangan menyesal selepas membuang undi. Lihatlah bagaimana kecohnya mereka yang tidak layak memerintah apabila mendapat kuasa. Menjadi wakil rakyat, mereka banyak masa di tempat lain dan sibuk berceramah. Kawasan ditinggalkan begitu sahaja.
Mohd Isa mempunyai rumah dan kampung halaman di Kampung Baru, Si Rusa. Bila-bila boleh ke situ walaupun dia tidak tinggal di situ kerana mendiami rumahnya di Nilai tetapi tahukan pengundi-pengundi di mana kediaman Zulkefly Mohamad Omar?
Buatlah perkiraan terbaik sebagaimana ibu bapa kita dahulu memilih BN (Perikatan) sebagai kerajaan hingga menyebabkan kita dapat menikmati kehidupan yang cukup aman dan sejahtera. Jika bukan kerana kebijaksanaan tok nenek dan ibu bapa kita, sudah lama negara ini hancur!

Tiada ulasan: