Ahad, 25 Oktober 2009

Ibrahim Ali : Umno perlukan, Pas sedih kehilangan


Oleh Zamzuri Damanhuri


AWANG Selamat memberi ulasan yang cukup menarik mengenai Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di ruangannya Bisik-Bisik Mingguan di Mingguan Malaysia, Ahad 25 Oktober 2009 bertajuk Ke mana Ibrahim Ali?

Maknanya, isu Ibrahim ini bukan isu Pasir Mas, bukan isu Negeri Kelantan dan bukan isu Umno sahaja. Tetapi ia sudah melampaui isu negara dan menjadi begitu penting kerana wataknya, boleh dan berani menegur sesiapa sahaja dan parti apa sekalipun.

Ada yang tidak mengemari Ibrahim tetapi ramai juga yang tidak berselindung untuk mengatakan kehebatan dan yang lebih penting, keberaniannya.

Kadang-kadang, orang mengatakan takut untuk mendekati Ibrahim kerana wajahnya tetapi bagi mereka yang sudah mengenalinya, tidak segan silu untuk menerima budinya. Cuma, mereka yang sudah termakan budi, buat-buat lupa untuk membalas budi dan tidak mahu mengenang budi.

Orang seperti ini bukan sahaja tidak pandai berbudi malahan, budi orang lain mahu disembunyikan hanya kerana iri dan mencemburuinya.

Ketika beliau bercakap soal takut jika ‘pisang berbuah dua kali’ menimpa hidupnya lagi, Ibrahim sebenarnya masih tertanya-tanya mengapa Umno Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Mustapa Mohamed dan datuk Zaid Ibrahim suatu ketika dahulu mencadangkan namanya digugurkan daripada jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas dalam tahun 2003.

Presiden Umno Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno ketika itu hanya memberi alasan, untuk membuat perubahan, Ibrahim terpaksa digugurkan dan tempatnya diganti Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

Malangnya, Abdul Rahim yang ketika itu menjadi timbalan kepada Ibrahim di Pasir Mas dan seluruh AJK Umno bahagian tidak pula bermati-matian mahu menentang keputusan MT yang dicadangkan Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan atas pengguguran Ibrahim.

Ini bererti, dalam Umno, tiada kawan yang kekal dan mereka yang pernah menikmati budi Ibrahim di Pasir Mas, turut berdiam diri hingga menyebabkan Ibrahim bertindak berani membela nasib dirinya sendiri, demi maruah peribadinya, bertanding atas tiket Bebas dalam PRU 11, 2004 bagi menghantar mesej kepada pucuk pimpinan, “manusia bernama Ibrahim Ali bukan budak-budak” yang boleh ‘dipanggil datang di suruh pergi’.

Perjuangan Ibrahim akhirnya mendapat restu Pas, apabila Pas membalas budi Ibrahim kerana ‘bekerjasama’ dengannya dengan membenarkan Ibrahim menggunakan lambang Pas dalam PRU 12 yang lalu dan Pas tidak meletakkan calon di Pasir Mas.

Dari luar, mungkin mereka yang tidak tahu kisah sebenar perjuangan Ibrahim akan mengatakan ‘besarnya pengorbanan Pas kepada Ibrahim’ tetapi tiada siapa yang tahu apakah sumbangan Ibrahim kepada Pas hingga Pas sanggup ‘membayar’ harga sumbangan Ibrahim tersebut dengan memberi laluan kepadanya dalam PRU 12 yang lalu.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Parlimen baru-baru ini, Ibrahim mengakui hubungan dan kerjasama antaranya dengan Pas sudah berakhir. Mungkin orang-orang Pas mengatakan Ibrahim jenis manusia yang lupa daratan tetapi Ibrahim yang tidak mahu mendedahkan ‘sumbangannya’ kepada Pas menyifatkan Pas sebagai ‘tidak boleh ditegur’ dan suka melenting kalau kena tegur.

Mengenali Ibrahim, beliau seorang yang ‘degil walaupun lembut hatinya’. Kelantangannya merisaukan. Malahan, jika beliau menyerang Pas, beliau tidak pernah berlindung. Begitu juga dengan jika beliau menyerang sesiapa yang beliau nampak tidak berguna kepada bangsa Melayu, akan menjadi sasarannya.

Ketika Timbalan Perdana Menteri mengatakan Ibrahim mungkin sudah insaf dan menyedari hanya Umno sahaja yang merupakan parti pembela orang-orang Melayu, seorang pegawai kerajaan menyifatkan Umno juga perlu insaf supaya jangan ‘sesuka hati menghukum dan menggugurkan’ seseorang yang tidak disenangi oleh mana-mana pemimpin.

Satu ketika Umno ‘membuang’ Ibrahim tetapi ketika berdepan dengan pembangkang, Umno tumpang gembira apabila keberanian yang Ibrahim tunjukkan membuatkan orang-orang Umno berseronok menumpang gembira.

Begitu juga ketika Umno seronok menghukum Tan Sri Isa Samad, siapa sangka akhirnya maruah dan imej Umno dijulang atas kemenangan besar Isa di Bagan Pinang. Jika Muhyiddin mengatakan Ibrahim sudah insaf, Muhyiddin juga perlu mengajak kepimpinan Umno supaya insaf sebelum menghukum dan menggugurkan sesiapa sahaja yang mereka ‘kurang senangi’.

Memetik kata-kata Ibrahim, “saya sayangkan parti yang sayangkan bangsa, agama dan jegara,” jelas Ibrahim membayangkan yang beliau masih sayangkan Umno. Siapa di kalangan Umno sekarang yang mampu menandingi keberanian dan kelantangan Ibrahim?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin sebenarnya bolehlah memikirkan untuk ‘menjemput’ Ibrahim untuk kembali ke pangkuan Umno dan hantarlah Mustapa menjadi wakil peminangan. Jika kerajaan boleh memberi PR dan warganegara kepada mereka yang berjasa kepada negara termasuk ahli-ahli sukan, apakah rugi jika Najib dan Muhyiddin ‘membentangkan’ permaidani merah untuk memberi laluan kepada Ibrahim?

Kadang-kadang hanya kerana mahu menjaga ego masing-masing, kita mahu menafikan kebolehan dan keistimewaan orang lain. Kelebihan yang ada pada Ibrahim cukup ketara dan jauh lebih baik dari mereka yang berada di dalam Umno.

Ketika Umno memerlukan Ibrahim, Pas pula sedih akan kehilangannya!

Tiada ulasan: