Oleh Zainal Yusof
MENTERI Besar Kelantan, mencadangkan supaya Pas mengadakan EGM bagi membersihkan Pas dari anasir yang prokerajaan perpaduan sepatutnya ditukar kepada EGM untuk mengenepikan Nik Aziz Nik Mat dari Pas kerana beliaulah sebenarnya yang banyak menimbulkan masalah kepada parti itu.
Namun, tentunya Pas tidak mempunyai keberanian tersebut kerana Pas amat memerlukan Nik Aziz untuk kekalkan penguasaan Pas di Kelantan – selain menjamin pengaruh Umno (BN) tidak mampu menggugat kekuatan dominasi parti tersebut.
Nik Aziz, kononnya dikenali sebagai ulama dalam Pas yang disegani sebenarnya sudah semakin mengarut tetapi disebabkan Pas tidak mahu mengundang apa-apa masalah menyebabkan mereka ‘menelan’ semua masalah yang ditimbulkan Menteri Besar paling lama dalam Pas ini.
Jika EGM MCA dan Umno menarik perhatian Nik Aziz, kepimpinan Pas sepatutnya mempertahankan tiga orang pemimpin mereka yang tidak disukai Nik Aziz. Nik Aziz sebenarnya tidak dapat menerima kemenangan Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden mengalahkan Husam Musa dan Mohamad Sabu, manakala Mustafa Ali dirasakannya tidak patut menjadi Setiausaha Agung Pas kerana ‘masalah’ mereka (Presiden dan Setiausaha) datangnya dari Terengganu.
Manakala, Dr. Hassan Ali yang dilihat ‘menimbulkan masalah’ dengan DAP dan PKR di Selangor mungkin menyebabkan Nik Aziz dipengaruhi seseorang supaya menegur Dr. Hassan yang melukakan hati pemimpin DAP di Selangor.
Kebelakangan ini, Nik Aziz cukup kuat mempertahankan mereka yang bukan beragama Islam menyebut sepotong ayat al-Quran ketika berceramah dan turut mempertahankan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan gambar separuh bogelnya tersebar secara meluas.
Nik Aziz tidak mahu sesiapa dari Pas berbaik dengan Umno tetapi dia mahukan mereka mempertahankan habis-habisan mana-mana Exco Wanita dari kalangan pakatan pembangkang yang berbogel kerana Nik Aziz mengatakan tidak salah berbogel di rumah sendiri tetapi tidak pula diketahui sama ada dia bersetuju atau tidak gambar berbogel dirakamkan oleh teman lelaki Exco tersebut.
Dalam Pas, ‘pelan peralihan kuasa’ tidak berani sesiapa membicarakannya seperti Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bercakap ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu menangguhkan hasrat tersebut.
Dalam Pas, Nik Aziz sebenarnya bukanlah ‘orang penting’ walaupun ada satu bahagian (kawasan) Pas di Kuala Lumpur mencadangkan supaya Nik Aziz bertanding jawatan Presiden menentang Abdul Hadi Awang.
Pas bergolak sekarang ini kerana adanya puak ‘endorgan’ yang didakwa mirip Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Banyak pihak mendakwa, pengaruh Anwar cukup terkesan dalam Pas. Bagi mereka yang terpengaruh dengan Anwar, mereka merasakan Pas sepatutnya mesti dipimpin oleh pemimpin seperti Anwar.
Selama ini Pas menyembunyikan masalah dalaman parti mereka. Namun, ‘bangkai gajah’ tidak boleh ditutup dengan nyiru.
Dari segi keputusan PRU 12, dari tiga parti pembangkang yang bertanding – Pas menduduki tempat tercorot kerana pengaruh PKR dan DAP jauh meninggalkan mereka.
Di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Pas pernah menang banyak kerusi dan Ustaz Fadzil dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
Tempat Ustaz Fadzil diambil alih Abdul Hadi apabila Ustaz Fadzil meninggal dunia tetapi dalam PRU, kerusi Ketua Pembangkang dimiliki Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail kerana PKR menang besar, apabila nama Anwar berjaya dijaja sebagai bakal Perdana Menteri jika Pakatan Pembangkang memenangi PRU 12.
Sama-sama kita lihat, apakah jadi EGM diadakan oleh Pas dan adakah perwakilan muktamar khas ini akan mempunyai cukup keberanian untuk menyingkirkan Nik Aziz atau mereka patuh kepada kehendak Nik Aziz, menyingkirkan tiga orang yang kurang disenanginya.
Jika EGM itu diadakan dan apa juga kemahuan Nik Aziz dituruti, lebih baik lantik Nik Aziz jadi Pengerusi Eksekutif Pas – yang mempunyai kuasa veto!
Ahad, 25 Oktober 2009
EGM : Buang Nik Aziz yang banyak timbulkan masalah kepada Pas
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan